Selasa, 16 September 2008

Mencari Ketua Pemuda UMNO.

Berikut adalah artikel tulisan wartawan Zulkiflee Bakar yang di siarkan di dalam Mingguan Malaysia. Artikel ini sangat menarik terutamanya di tempoh mesyuarat Pemuda Bahagian yang bakal tiba

Mencari ketua Pemuda
(Mingguan Malaysia)

Apabila Datuk Mukhriz Mahathir mengumumkan secara rasmi bertanding jawatan Ketua Pemuda UMNO yang dikosongkan oleh Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, maka bermulalah pertarungan sebenarnya bagi merebut jawatan yang dianggap semakin penting berikutan perkembangan politik semasa selepas Pilihan Raya Umum Ke-12 pada 8 Mac lalu.

Setakat ini selain Mukhriz, bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr. Mohamad Khir Toyo juga telah menyatakan hasrat untuk bertanding jawatan itu dan pada masa yang sama ahli-ahli Pemuda masih menunggu pendirian Naib Ketua Pemuda, Khairy Jamaludin yang dijangka mengumumkan pendiriannya dalam tempoh dua tiga hari lagi.

1. Tidak kisah siapapun bertanding, apa yang pasti keputusan pilihan raya umum lalu menunjukkan Pemuda UMNO yang sebelum ini diterajui oleh Hishammuddin selama 10 tahun harus diberi nafas baru.

2. Selain itu pertarungan merebut jawatan ketua Pemuda bukan sekadar meneruskan demokrasi dalam UMNO tetapi juga bagi menyediakan barisan kedua yang benar-benar mampu memperjuangkan nasib parti di masa depan terutamanya dalam berhadapan keampuhan parti pembangkang pada pilihan raya umum akan datang.

3. Rentetan sejarah perjuangan Pemuda telah diwarnai dengan pelbagai peristiwa malah suatu ketika dulu suara Pemuda amat digeruni dan dihormati oleh kawan dan lawan.

4. Pemuda dianggap kumpulan pendesak yang sentiasa berada di barisan hadapan bagi menjayakan visi dan misi UMNO serta Barisan Nasional (BN).

Malah jika kedudukan parti diancam atau tergugat manakala kerajaan BN dikecam oleh mana-mana pihak, Pemudalah paling hadapan tampil melakukan pembelaan.

5. Dalam kedudukan UMNO kini berikutan apa yang berlaku dalam pilihan raya umum lalu, pemilihan ketua Pemuda kali ini amat penting. Pemuda tidak memerlukan pemimpin yang hanya bijak bercakap atau dilihat berani memberi pandangan semata-mata.

6. Sebaliknya Pemuda memerlukan ketua yang mampu memimpin, merancang dan bertindak bagi memastikan UMNO kembali mendapat tempat di hati rakyat terutamanya generasi muda yang bakal menjadi pengundi penentu dalam pilihan raya umum akan datang.

Justeru ahli-ahli Pemuda harus menilai dengan bijaksana siapakah yang sepatutnya dipilih memimpin mereka.

Kepimpinan

1. Dalam soal ini, sudah pastilah UMNO memerlukan barisan kepimpinan Pemuda yang berwibawa dan dihormati atau bak kata orang mempunyai semangat kunyit – nampak gebu tetapi mampu memberi kesan dalam jangka panjang.

2. Ertinya, ketua Pemuda yang bakal dipilih harus bijak mengatur strategi dan menjayakan misi yang diamanahkan oleh parti. Jika mereka membangkitkan atau mempertahankan sesuatu isu biarpun nampak ‘lembut’ tetapi kesannya amat memberangsangkan seperti mana warna kunyit yang sukar dihapuskan.

3. Sudah sampai masanya, Pemuda melahirkan semula semangat perjuangan sebagai wira yang dihormati oleh kawan dan lawan. Pemuda tidak boleh lagi dilihat terlalu ‘bermain cara selamat’ demi untuk menjaga hati pihak tertentu.

4. Jika apa yang hendak diperjuangkan adalah satu kebenaran demi agama, bangsa dan negara serta kepentingan BN, maka mereka perlu ke hadapan dan bukannya sekadar menjadi pemerhati semata-mata. Ketika diminta mengulas isu ini seorang ahli Pemuda di sebuah bahagian di Negeri Sembilan berkata, sama ada hendak diakui atau tidak, Pemuda sekarang tidak lagi digeruni.

‘‘Kita bukannya mahu Pemuda menjadi pendesak tidak tentu fasal tetapi biarlah apabila Pemuda bersuara orang akan berasa gerun dan menghormatinya,” kata beliau ketika dihubungi.

5. Oleh itu Pemuda memerlukan satu barisan yang benar-benar berwibawa, bertanggungjawab dan tegas dalam menegakkan perjuangan.

6. Pemuda sudah tidak ada masa lagi untuk berlenggang-lenggok dalam perjuangannya. Sebaliknya sayap paling kanan UMNO itu harus memainkan peranan yang benar-benar berkesan sebagai benteng parti.

Dalam soal ini, tidak perlulah kita menoleh sejarah yang ditinggalkan oleh Hishammuddin. Sepanjang 10 tahun, beliau sudah melakukan segala-galanya untuk memastikan barisan Pemuda menjadi satu pasukan yang berjaya. Tetapi perkembangan politik negara memerlukan tuntutan dan pendekatan baru.

1. Bakal ketua Pemuda UMNO nanti mestilah memiliki karisma yang mampu menarik generasi muda memberi sokongan kepada parti tersebut dan membuang imej parti itu yang dilihat milik golongan elit.

2. Dalam soal ini, seseorang calon yang mempunyai sifat rendah diri, memiliki moral yang tinggi dan berwibawa perlu menjadi pilihan utama kepada ahli-ahli Pemuda.

3. Mereka tidak harus menilai personaliti seseorang itu secara peribadi semata-mata.

4. Tindakan membuat penilaian seumpama itu dibimbangi akan mengorbankan calon yang berwibawa untuk memimpin sayap tersebut.

5. Ahli-ahli Pemuda perlu bijak menilai dan mengkaji siapakah yang paling layak untuk memimpin mereka.

6. Sebarang keputusan yang hendak dibuat harus berasaskan kepada pertimbangan jangka panjang mengenai peranan serta tanggungjawab besar yang menanti pergerakan itu.

7. Ahli-ahli Pemuda tidak wajar terpengaruh dengan apa-apa juga tawaran berbentuk material yang sudah pastilah hanya demi kepentingan peribadi mana-mana calon untuk meraih jawatan.

8. Sebaliknya mereka perlu memilih seorang calon yang mampu membentuk satu barisan Pemuda yang mempunyai visi dan misi yang cukup jelas bagi meletakkan pergerakan itu sebagai satu pasukan yang akan sentiasa dihormati.

9. Apa yang perlu difahami, pemilihan Pemuda kali ini bukan sahaja mendapat perhatian ahli-ahli UMNO tetapi juga rakyat terutamanya generasi muda.

10. Mereka ingin melihat sejauh mana bijaknya ahli-ahli Pemuda memilih pemimpin yang bakal diketengahkan. Jika ketua yang dipilih itu berwibawa dan mempunyai wawasan sudah pasti generasi muda akan menyokong UMNO dan BN.

11. Kepada calon-calon yang menawarkan diri pula, mereka perlu ikhlas dan bukannya menjadi pemilihan Pemuda sebagai medan untuk menyambung hayat politik mereka.

12. Sebaliknya, penawaran diri tersebut adalah berasaskan keyakinan bahawa beliau mampu melakukan sesuatu bagi memartabatkan Pemuda UMNO.

13. Mereka tidak perlu menjanjikan bulan dan bintang semata-mata untuk meraih undi sebaliknya membentangkan agenda yang hendak dilakukan jika terpilih. Agenda itu bukan sekadar untuk memperkasakan Pemuda UMNO sahaja tetapi juga Pemuda BN.

14. Penawaran diri kali ini harus disertakan dengan penyenaraian agenda-agenda itu supaya ahli-ahli Pemuda mampu membuat keputusan yang tepat.

15. Kalau sekadar menawarkan diri semata-mata tanpa memberitahu apa yang hendak dilakukan adalah lebih baik calon tersebut tidak bertanding.

16. Ini kerana tindakan sedemikian mungkin akan menyebabkan ahli Pemuda tersalah pilih calon kerana terpedaya dengan personaliti sedangkan calon itu ibarat tin kosong, bunyi sahaja kuat tetapi isinya tiada.

17. Apa pun keadaannya, pemilihan Pemuda kali ini terlalu penting untuk UMNO dalam usaha untuk meraih kembali sokongan rakyat kepada parti Melayu itu serta BN.

18. Jika dalam pilihan raya umum akan datang, generasi muda masih terus menolak UMNO dan BN, maka ketua yang dipilih itu harus belajar untuk bertanggungjawab dengan mengundurkan diri secara sukarela.

19. Senario politik negara tidak memerlukan lagi pemimpin yang hanya pandai bercakap kerana rakyat sekarang sudah terlalu bijak dalam soal membuat penilaian mengenai politik.

Kini terserahlah kepada ahli-ahli Pemuda untuk menentukan siapa yang ingin mereka pilih tetapi apa-apa pun mereka perlu memahami Pilihan Raya Umum Ke-13 bukanlah lagi gelanggang memperkukuhkan UMNO dan BN tetapi medan memulihkan kembali sokongan rakyat kepada kedua-dua parti tersebut.

2 ulasan:

Kembara Politik berkata...

Assalamualaikum & Salam Ramadhan.

Saya minta kebenaran meletakkan blog anda dalam senarai 'list blog' bagi blog saya.

http://kembarapolitik.blogspot.com/

Melaka British Classic Bike berkata...

Ini apa punya blog ni... macam karangan jer. Kalau tak berani bantai, belasah, komplen.. buat la kata puji2an yg melambung.. baru kontra. Tak feel langsung