Selasa, 30 September 2008



Tiada kata seindah zikir,

Tiada bulan seindah ramadhan,

Untuk itu izinkan kedua tapak tangan bertaut,

Memohon maaf untuk lisan yang terlanjur,

Janji yang terabai,

Hati yang berprasangka,

Dan semua sikap yang menyakitkan.


Selamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir dan Batin!

Selasa, 23 September 2008

Tanda pudarnya perjuangan UMNO.....

Adalah sangat menyedihkan apabila UMNO tidak lagi mendapat kepercayaan untuk memperjuangkan asas perjuangan parti.

HULU KLANG 22 Sept. – Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia yang telah diluluskan oleh Pendaftar Pertubuhan (ROS) pada 12 September lalu akan menjadi benteng terakhir bagi mempertahankan hak orang Melayu dan agama Islam di negara ini.

Presiden Penajanya, Datuk Ibrahim Ali berkata, pertubuhan tersebut akan mempertahankan Kedudukan Hak Istimewa Orang Melayu sebagaimana termaktub di bawah Akta 153 sebagai Undang-Undang Tertinggi Negara (Supreme Law of The Land) dalam Perlembagaan.

Beliau menegaskan, pertubuhan itu yang berpaksi kepada perjuangan `Pribumi Perkasa Negara’ turut mendaulatkan asas-asas Perlembagaan yang sejak akhir-akhirnya telah diganggu-gugat.

“Terlalu banyak perkara yang disentuh sekarang ini bukan sahaja Akta 153 tetapi juga Akta 152, begitu juga dengan Artikel 121 (1A) Perlembagaan Persekutuan.

“Kerana itu, pada saya pertubuhan ini akan memainkan peranan penting sebagai benteng terakhir untuk mempertahankan agenda Melayu-Islam,’’ katanya kepada pemberita selepas mesyuarat pertama pertubuhan itu dan majlis berbuka puasa bersama media di sini malam ini.

Jawatankuasa penaja pertubuhan itu terdiri daripada bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Klang, Datuk Fuad Hassan dilantik sebagai Timbalan Presiden.

Dua Naib Presiden pula ialah Datuk Suib Lazim dan Datuk Mokhtar Samad manakala Setiausaha Agungnya pula ialah Syed Hassan dan Syed Ali.

Ibrahim yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas menambah, pertubuhan itu boleh disertai oleh sesiapa sahaja tanpa mengira ideologi politik masing-masing.

“Ini bukan pertubuhan politik tetapi lebih kepada perjuangan bangsa Melayu dan agama Islam untuk mempertahankan hak yang termaktub dalam Perlembagaan,’’ katanya.

Sehubungan itu beliau meminta orang ramai yang mahu memperjuangkan nasib bangsa Melayu dan agama Islam supaya menyertai pertubuhan itu.

Sebarang pertanyaan katanya, orang ramai boleh datang sendiri ke pejabat pertubuhan itu di Tingkat 4, Wisma Central, Jalan Ampang atau menghubungi talian 014-9218508.

- Utusan

p/s: UMNO... Dulu, kini dan selamanya...... Ahli UMNO... Dulu, kini tetapi tidak selamanya....


Khamis, 18 September 2008

Segelintir Yang Faham

Artikel berikut adalah tulisan oleh seorang bukan melayu yng telah dipapar di Utusan Malaysia (18 September 2008). Saya berpendapat penulis adalah segelintir dari rakyat Malaysia baik melayu atau bukan melayu yang faham akan fakta dan sejarah Negara.


Jangan padam fakta negara

PRESIDEN MCA, Datuk Ong Ka Ting berkata, sebab utama komuniti Cina berang dengan kenyataan Datuk Ahmad Ismail yang menganggap mereka sebagai pendatang adalah kerana "nenek moyang mereka telah berkorban untuk negara ini lama sebelum negara ini mencapai kemerdekaan."

Saya tidak pasti sama ada boleh bersetuju dengan pendapat Ka Ting itu. Sebagai generasi muda keturunan bukan Melayu saya ragu-ragu dengan kebenaran kenyataan itu.

Benarkah nenek moyang kita telah berkorban untuk negara ini melalui kerja keras setelah berhijrah dari benua China ke Malaysia, dulunya Tanah Melayu?

Atau kerja keras yang dilakukan itu adalah pengorbanan untuk membebaskan diri mereka daripada kehidupan yang melarat sewaktu berada di negara asal mereka sehingga ada antara kita menjadi kaya raya dan tidak mahu lagi balik ke China atau India atau Indonesia?

Sebagai pelajar sejarah, saya lebih cenderung untuk percaya bahawa nenek moyang saya yang datang ke negara ini bekerja siang malam bukan sangat ingin berbakti kepada Tanah Melayu, seperti yang didakwa oleh Ong Ka Ting, tetapi lebih untuk memajukan diri supaya kesengsaraan kehidupan mereka sebelum itu berjaya diatasi.

Pengamatan ini saya buat setelah membaca buku V. Purcell berjudul Chinese in Malaya. Dalam buku itu, pengarang Inggeris itu antara lain merumuskan, " in Malaya their main concern was to make enough to retire to China as soon as possible ."

Menurut Purcell, matlamat Inggeris membawa pendatang asing China dan India adalah untuk memeras kerajinan mereka bekerja bagi meraih keuntungan ekonomi kepada kuasa Eropah itu. Tidak tertulis - secara tersurat atau tersirat yang pendatang China itu dibawa ke Tanah Melayu untuk memberi pengorbanan bagi membangunan negara ini.

Dengan kata-kata lain, kedatangan komuniti dari China ke negara ini bukan untuk berbakti untuk Tanah Melayu seperti yang didakwa oleh Kah Ting tetapi untuk meneroka atau malah memeras kekayaan negara Melayu ini, membuat sebanyak mungkin kekayaan pada waktu yang singkat, kemudian hidup untuk senang lenang di negara asal mereka.

Ka Ting dan warga Malaysia keturunan Cina yang lain patut menerima hakikat itu, bukannya memandai-mandai membuat kesimpulan untuk menyedapkan hati masyarakatnya dengan menolak hakikat sejarah. Usahlah kita menipu sejarah atau menggunakan sejarah sebagai expidient politik untuk menghalalkan tentangan kita terhadap persetujuan asas yang telah kita capai sewaktu negara ini mencapai kemerdekaan.

Fakta

Benar, generasi keturunan pendatang itu sekarang mungkin sudah menjadi warga negara Malaysia. Tetapi kita tidak akan dapat memadamkan fakta bahawa warga Malaysia keturunan Cina adalah berasal usul pendatang. Apa yang saya tahu tidak ada antara mereka yang berhijrah ke Tanah Melayu dulu dengan niat untuk berkorban membangunkan Tanah Melayu. Mereka datang untuk mencari kehidupan yang lebih baik. Setelah menemuinya, mereka membuat keputusan untuk tinggal terus di sini.

Tuan rumah pula bersetuju untuk mengiktiraf mereka bukan sebagai penumpang, tetapi sebahagian daripada warganya. Alangkah bertuahnya kita. Kalau orang luar berhijrah ke negara China, mereka belum tentu lagi diberi layanan yang sama.

Lihatlah bagaimana pihak berkuasa China melayan komunis Melayu yang tinggal dalam buangan di negara China. Setelah berpuluh-puluh tahun menetap di Beijing, mereka tidak diberi pengiktirafan sebagai warga negara. Mereka dilayan seperti sampah.

Akhirnya, pejuang komunis seperti Musa Ahmad, Khadijah Sidek dan ramai lagi terpaksa pulang ke Malaysia kerana berasa dianaktirikan oleh pihak berkuasa Republik Rakyat China walaupun mereka pernah berjuang untuk kepentingan ideologi yang sama.

Lantaran usahlah kita emosional kerana hakikatnya warga keturunan bukan Melayu memang bangsa luar dari alam Melayu ini. Cuma status kita sudah bertukar yang memberi kita hak untuk menetap di negara ini, sama seperti yang dimiliki penduduk pribumi. Kita sepatutnya bersyukur kerana dapat bernaung di bawah kepimpinan Melayu, dulunya Raja-raja Melayu sekarang UMNO. Kita dibenarkan membuat kekayaan mengatasi orang Melayu itu sendiri. Alangkah beruntungnya kita.

Jadi bagi saya sebab yang lebih munasabah mengapa orang Cina di Malaysia patut berang kalau dianggap sebagai pendatang bukan kerana nenek moyang kita pernah berkorban untuk Tanah Melayu, tetapi kerana mereka sudah menjadi warga negara Malaysia. Sebagai warga negara tentulah tidak kena jika label pendatang dipakai untuk kita.

Hak-hak kita sebagai warga dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan. Tentulah tidak ada jaminan yang lebih kudus daripada apa yang terkandung dalam undang-undang utama negara itu. Tiada siapa yang boleh menarik balik atau membatalkan apa yang tercatat di dalamnya.

Bagi saya apa yang saya pasti ialah pemberiaan kewarganegaraan kepada penduduk imigran Cina secara liberal berdasarkan prinsip jus soli adalah satu lagi bukti hasil kemurahan hati pemimpin Melayu pada 1957 telah membolehkan kita tinggal di bumi Melayu tanpa berasa takut diusir ke tempat lain. Kita hendaklah menjadi manusia yang tahu mengenang budi kerana dengan satu coretan pena, 1.5 juta penduduk imigran telah menjadi warga negara Tanah Melayu. Jika tidak, datuk nenek kita kita dulu mungkin menjadi orang tanpa warga negara. Bayangkan kesusahan yang akan kita alami.

Atau jika tidak besar kemungkinan nenek moyang kita terpaksa balik ke negara China dan kita tidak ada hak untuk tinggal di negara yang bernama Malaysia ini.

Hak istimewa

Bagi saya pemberian kewarganegaraan berdasarkan prinsip jus soli ini adalah hak istimewa yang diberikan oleh orang Melayu kepada penduduk imigran ketika itu. Kita menikmatinya serta merta, tidak seperti hak istimewa orang Melayu yang diabaikan pelaksanaannya oleh pemimpin Melayu itu sendiri pada tahun-tahun awal kemerdekaan sehingga terpaksa diperkenalkan Dasar Ekonomi Baru (DEB) pada 1970.

Warga Malaysia keturunan Cina patut berterima kasih dengan orang Melayu kerana pemberian kewarganegaraan itu adalah muktamad dan tidak boleh dipersoalkan.

Malah membangkitkan status kewarganegaraan kepada orang Cina sama seperti mempersoalkan kedudukan Raja-Raja Melayu, hak istimewa orang Melayu/bumiputera, kedudukan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan agama Islam sebagai agama Persekutuan, adalah suatu kesalahan di bawah Akta Hasutan 1948.

Sebagai mengenang budi pemberian orang Melayu, marilah kita akur dengan apa yang telah dipersetujui oleh nenek moyang kita dengan para pemimpin Melayu sewaktu negara mencapai kemerdekaan. Marilah kita belajar untuk menerima hakikat bahawa kedudukan hak istimewa orang Melayu adalah sesuatu yang sudah selesai dan tidak harus mempertikaikan lagi.

GENERASI MUDA REALISTIK

Shah Alam

Selasa, 16 September 2008

Mencari Ketua Pemuda UMNO.

Berikut adalah artikel tulisan wartawan Zulkiflee Bakar yang di siarkan di dalam Mingguan Malaysia. Artikel ini sangat menarik terutamanya di tempoh mesyuarat Pemuda Bahagian yang bakal tiba

Mencari ketua Pemuda
(Mingguan Malaysia)

Apabila Datuk Mukhriz Mahathir mengumumkan secara rasmi bertanding jawatan Ketua Pemuda UMNO yang dikosongkan oleh Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, maka bermulalah pertarungan sebenarnya bagi merebut jawatan yang dianggap semakin penting berikutan perkembangan politik semasa selepas Pilihan Raya Umum Ke-12 pada 8 Mac lalu.

Setakat ini selain Mukhriz, bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr. Mohamad Khir Toyo juga telah menyatakan hasrat untuk bertanding jawatan itu dan pada masa yang sama ahli-ahli Pemuda masih menunggu pendirian Naib Ketua Pemuda, Khairy Jamaludin yang dijangka mengumumkan pendiriannya dalam tempoh dua tiga hari lagi.

1. Tidak kisah siapapun bertanding, apa yang pasti keputusan pilihan raya umum lalu menunjukkan Pemuda UMNO yang sebelum ini diterajui oleh Hishammuddin selama 10 tahun harus diberi nafas baru.

2. Selain itu pertarungan merebut jawatan ketua Pemuda bukan sekadar meneruskan demokrasi dalam UMNO tetapi juga bagi menyediakan barisan kedua yang benar-benar mampu memperjuangkan nasib parti di masa depan terutamanya dalam berhadapan keampuhan parti pembangkang pada pilihan raya umum akan datang.

3. Rentetan sejarah perjuangan Pemuda telah diwarnai dengan pelbagai peristiwa malah suatu ketika dulu suara Pemuda amat digeruni dan dihormati oleh kawan dan lawan.

4. Pemuda dianggap kumpulan pendesak yang sentiasa berada di barisan hadapan bagi menjayakan visi dan misi UMNO serta Barisan Nasional (BN).

Malah jika kedudukan parti diancam atau tergugat manakala kerajaan BN dikecam oleh mana-mana pihak, Pemudalah paling hadapan tampil melakukan pembelaan.

5. Dalam kedudukan UMNO kini berikutan apa yang berlaku dalam pilihan raya umum lalu, pemilihan ketua Pemuda kali ini amat penting. Pemuda tidak memerlukan pemimpin yang hanya bijak bercakap atau dilihat berani memberi pandangan semata-mata.

6. Sebaliknya Pemuda memerlukan ketua yang mampu memimpin, merancang dan bertindak bagi memastikan UMNO kembali mendapat tempat di hati rakyat terutamanya generasi muda yang bakal menjadi pengundi penentu dalam pilihan raya umum akan datang.

Justeru ahli-ahli Pemuda harus menilai dengan bijaksana siapakah yang sepatutnya dipilih memimpin mereka.

Kepimpinan

1. Dalam soal ini, sudah pastilah UMNO memerlukan barisan kepimpinan Pemuda yang berwibawa dan dihormati atau bak kata orang mempunyai semangat kunyit – nampak gebu tetapi mampu memberi kesan dalam jangka panjang.

2. Ertinya, ketua Pemuda yang bakal dipilih harus bijak mengatur strategi dan menjayakan misi yang diamanahkan oleh parti. Jika mereka membangkitkan atau mempertahankan sesuatu isu biarpun nampak ‘lembut’ tetapi kesannya amat memberangsangkan seperti mana warna kunyit yang sukar dihapuskan.

3. Sudah sampai masanya, Pemuda melahirkan semula semangat perjuangan sebagai wira yang dihormati oleh kawan dan lawan. Pemuda tidak boleh lagi dilihat terlalu ‘bermain cara selamat’ demi untuk menjaga hati pihak tertentu.

4. Jika apa yang hendak diperjuangkan adalah satu kebenaran demi agama, bangsa dan negara serta kepentingan BN, maka mereka perlu ke hadapan dan bukannya sekadar menjadi pemerhati semata-mata. Ketika diminta mengulas isu ini seorang ahli Pemuda di sebuah bahagian di Negeri Sembilan berkata, sama ada hendak diakui atau tidak, Pemuda sekarang tidak lagi digeruni.

‘‘Kita bukannya mahu Pemuda menjadi pendesak tidak tentu fasal tetapi biarlah apabila Pemuda bersuara orang akan berasa gerun dan menghormatinya,” kata beliau ketika dihubungi.

5. Oleh itu Pemuda memerlukan satu barisan yang benar-benar berwibawa, bertanggungjawab dan tegas dalam menegakkan perjuangan.

6. Pemuda sudah tidak ada masa lagi untuk berlenggang-lenggok dalam perjuangannya. Sebaliknya sayap paling kanan UMNO itu harus memainkan peranan yang benar-benar berkesan sebagai benteng parti.

Dalam soal ini, tidak perlulah kita menoleh sejarah yang ditinggalkan oleh Hishammuddin. Sepanjang 10 tahun, beliau sudah melakukan segala-galanya untuk memastikan barisan Pemuda menjadi satu pasukan yang berjaya. Tetapi perkembangan politik negara memerlukan tuntutan dan pendekatan baru.

1. Bakal ketua Pemuda UMNO nanti mestilah memiliki karisma yang mampu menarik generasi muda memberi sokongan kepada parti tersebut dan membuang imej parti itu yang dilihat milik golongan elit.

2. Dalam soal ini, seseorang calon yang mempunyai sifat rendah diri, memiliki moral yang tinggi dan berwibawa perlu menjadi pilihan utama kepada ahli-ahli Pemuda.

3. Mereka tidak harus menilai personaliti seseorang itu secara peribadi semata-mata.

4. Tindakan membuat penilaian seumpama itu dibimbangi akan mengorbankan calon yang berwibawa untuk memimpin sayap tersebut.

5. Ahli-ahli Pemuda perlu bijak menilai dan mengkaji siapakah yang paling layak untuk memimpin mereka.

6. Sebarang keputusan yang hendak dibuat harus berasaskan kepada pertimbangan jangka panjang mengenai peranan serta tanggungjawab besar yang menanti pergerakan itu.

7. Ahli-ahli Pemuda tidak wajar terpengaruh dengan apa-apa juga tawaran berbentuk material yang sudah pastilah hanya demi kepentingan peribadi mana-mana calon untuk meraih jawatan.

8. Sebaliknya mereka perlu memilih seorang calon yang mampu membentuk satu barisan Pemuda yang mempunyai visi dan misi yang cukup jelas bagi meletakkan pergerakan itu sebagai satu pasukan yang akan sentiasa dihormati.

9. Apa yang perlu difahami, pemilihan Pemuda kali ini bukan sahaja mendapat perhatian ahli-ahli UMNO tetapi juga rakyat terutamanya generasi muda.

10. Mereka ingin melihat sejauh mana bijaknya ahli-ahli Pemuda memilih pemimpin yang bakal diketengahkan. Jika ketua yang dipilih itu berwibawa dan mempunyai wawasan sudah pasti generasi muda akan menyokong UMNO dan BN.

11. Kepada calon-calon yang menawarkan diri pula, mereka perlu ikhlas dan bukannya menjadi pemilihan Pemuda sebagai medan untuk menyambung hayat politik mereka.

12. Sebaliknya, penawaran diri tersebut adalah berasaskan keyakinan bahawa beliau mampu melakukan sesuatu bagi memartabatkan Pemuda UMNO.

13. Mereka tidak perlu menjanjikan bulan dan bintang semata-mata untuk meraih undi sebaliknya membentangkan agenda yang hendak dilakukan jika terpilih. Agenda itu bukan sekadar untuk memperkasakan Pemuda UMNO sahaja tetapi juga Pemuda BN.

14. Penawaran diri kali ini harus disertakan dengan penyenaraian agenda-agenda itu supaya ahli-ahli Pemuda mampu membuat keputusan yang tepat.

15. Kalau sekadar menawarkan diri semata-mata tanpa memberitahu apa yang hendak dilakukan adalah lebih baik calon tersebut tidak bertanding.

16. Ini kerana tindakan sedemikian mungkin akan menyebabkan ahli Pemuda tersalah pilih calon kerana terpedaya dengan personaliti sedangkan calon itu ibarat tin kosong, bunyi sahaja kuat tetapi isinya tiada.

17. Apa pun keadaannya, pemilihan Pemuda kali ini terlalu penting untuk UMNO dalam usaha untuk meraih kembali sokongan rakyat kepada parti Melayu itu serta BN.

18. Jika dalam pilihan raya umum akan datang, generasi muda masih terus menolak UMNO dan BN, maka ketua yang dipilih itu harus belajar untuk bertanggungjawab dengan mengundurkan diri secara sukarela.

19. Senario politik negara tidak memerlukan lagi pemimpin yang hanya pandai bercakap kerana rakyat sekarang sudah terlalu bijak dalam soal membuat penilaian mengenai politik.

Kini terserahlah kepada ahli-ahli Pemuda untuk menentukan siapa yang ingin mereka pilih tetapi apa-apa pun mereka perlu memahami Pilihan Raya Umum Ke-13 bukanlah lagi gelanggang memperkukuhkan UMNO dan BN tetapi medan memulihkan kembali sokongan rakyat kepada kedua-dua parti tersebut.

Yang Berbudi Di Tinggal-Tinggalkan, Yang Membakar Kelambu Di Timang-Timangkan...

Sungguh menghairankan apabila dilihat perlakuan kepimpinan Pak Lah; Yang Berbudi (Tun Dr M) Di Tinggal-Tinggalkan, Yang Membakar Kelambu (Datuk Zaid Ibrahim) Di Timang-Timangkan...

Terlalu ramai masyarakat Melayu amnya dan ahli UMNO khususnya, tua mahupun muda, yang menyambut baik perletakkan jawatan Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang bertanggungjawab perihal undang-undang tersebut. Malah yang tua ramai memang asalnya tidak setuju Zaid, setelah digantung kedudukan partinya kerana mengamalkan politik wang, diangkat menjadi Menteri, apatah lagi dalam hal undang-undang serta kehakiman!

Yang muda pula, walaupun ada yang pada awalnya mengagumi kelantangan suaranya, terlalu ramai kini merasa hambar akibat tindak-tanduk Zaid yang menghina Islam, Melayu dan Raja-Raja Melayu. Zaid tidak menghalang, malah menggalakkan supaya kedudukan mahkamah syariah dipersoalkan oleh Bar Council harbi. Dah lah tu, ada hati pulak nak tuntut perletakkan jawatan pemimpin UMNO seperti Tan Sri Muhyiddin yang lebih Melayu kelakuan darinya.

Maka begitu tenang rasanya hati bila pembakar kelambu seperti Datuk Zaid ini dengan sendirinya mahu berundur.

Tetapi apakah ini? Kenapakah Pak Lah MENOLAK perletakkan jawatan Zaid? Bagi cuti pulak tu! Katanya supaya Zaid boleh memikirkan semula niat perletakkan jawatannya. Amende ni? Kata nak dia kekal kerja, tetapi bagi cuti! Kenapakah Datuk Zaid ini dimanjakan sebegitu sekali? Pak Lah memerlukan sangat ka pencalonan darinya kalau beliau menang sebagai Ketua Bahagian Kota Bharu?

Yang merunsingkan kaum muda lagi adalah, kenapakah Pak Lah masih belum mengadakan mesyuarat khas MKT untuk mengaktifkan semula keahlian Tun Dr Mahathir? Takkanlah orang berbudi macam Tun pun kena tunggu borang lagi?! Malah, atas dasar mengagumi kesetiaan mereka, MKT sepatutnya mengaktifkan semula SEMUA ahli yang meletakkan jawatan bersama-sama dengan Tun! Yang Datuk Zaid boleh pulak dibuat manja...

Masih Melayukah, masih Islamkah kepimpinan Pak Lah kalau begini perlakuannya? Wallahualam...

Isnin, 15 September 2008

Zaid Ibrahim Tidak Layak Jadi Ketua Bahagian UMNO KB

Dipetik dari:
http://www.suaragenerasimuda.com/

Laporan UTUSAN ONLINE



Zaid desak Muhyiddin dipecat



KUALA LUMPUR 12 Sept. - Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tan Sri Muhyiddin Yassin wajar meletakkan jawatan sebagai Menteri Kabinet jika beliau tidak berpuas hati dengan kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim berkata, jika Muhyiddin enggan berbuat demikian, Abdullah pula mempunyai kuasa untuk memecat beliau.

''Perkara ini cukup mudah, jika Muhyiddin tak puas hati dan tidak yakin dengan Abdullah, beliau harus meletakkan jawatan sebagai menteri,'' katanya.

Zaid bercakap kepada pemberita selepas merasmikan pameran bertajuk Wallscapes: Catan Merdeka oleh Wang Lan, Wang Xu dan Shen Jiawei dan Dunia Ketiga oleh Shen Jiawei di Galeri Petronas di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas tindakan Naib Presiden UMNO itu yang mempersoalkan tarikh peralihan kuasa pucuk pimpinan tertinggi negara yang telah dipersetujui akan diadakan pada 2010.

Kelmarin, Muhyiddin dilaporkan menggesa Abdullah supaya memikirkan semula tarikh peralihan kuasa yang dijadualkan pada 2010 kerana tempoh tersebut terlalu lama.

Muhyiddin mendakwa, pelan peralihan yang telah diumumkan dua bulan lalu itu kini telah 'tenggelam' dan rakyat tidak lagi memikirkan mengenainya.

Zaid menegaskan Abdullah tidak wajar memiliki menteri seperti Muhyiddin yang cuba mempertikaikan kepimpinannya.

''Jika saya tidak berpuas hati dengan Abdullah tindakan yang akan saya ambil adalah meletakkan jawatan,'' katanya.

Sementara itu Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan menyelar mana-mana pemimpin tertinggi UMNO yang mempersoalkan kepimpinan Perdana Menteri.

Kata beliau, perbuatan itu tidak bertanggungjawab dan amat mendukacitakan seolah-olah satu sokongan yang membawa rebah.

''Saya amat sakit hati, dukacita dan kecewa kerana orang yang dipercayai oleh Abdullah semakin hari semakin menuding jari kepada Perdana Menteri,'' katanya.{http://utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0913&pub=Utusan_Malaysia&sec=Politik&pg=po_01.htm}


KOMEN SGMM
Terlebih dahulu penulis ingin soalkan apakah hak Zaid Ibrahim yang meminta Tan Sri Muhyidin Yasin dipecat. Adakah beliau sedar sebagai seorang Menteri yang dilantik melalui 'pintu belakang' meminta 'seorang menteri kabinet yang sememangnya layak' untuk dipecat.

Tidak sedarkah beliau bahawa tindakan beliau bakal membuat ahli akar umbi UMNO Kota Bharu 'tersentak' dan boleh tawar hati denganya sebagai calon Ketua Bahagian UMNO Kota Bharu. Sebelum ini, ahli akar umbi UMNO Kota Bharu begitu simpati dengan Zaid Ibrahim ini kerana dikenakan tindakan oleh Presiden AAB, tetapi hari ini dia tampil dengan pembela Presiden AAB pula.

Dalam beberapa artikel penulis sebelum ini penulis telah beberapa kali mengulangi kenyataan bahawa sebagai ahli politik sepatutnya beliau (Zaid Ibrahim) berfikir sebelum bercakap bukanya bercakap sebelum berfikir. Ingat kata-kata orang politik kadang-kadang membawa kepada kejayaan dan kadang-kadang ia membawa kepada kegagalan.
Bercakap mengenai UMNO Kota Bharu, penulis sempat bertanyakan beberapa orang ahli UMNO mengenai kenyataan yang dinyatakan oleh Zaid Ibrahim ini. Boleh dikatakan 99% yang penulis temui melahirkan rasa kesal di atas perbuatan Zaid Ibrahim ini.

Mereka juga menuntut agar Zaid Ibrahim membuat permohonan maaf secara terbuka di atas kenyataan yang boleh dimaksudkan dengan berunsur 'ugutan' ini. Mereka juga berharap di masa-masa akan datang Zaid perlu rasional di dalam membuat kenyataan.

Isnin, 8 September 2008

Eksklusif: Catatan Pengorbanan Melayu untuk bangsa lain !

Ketua UMNO Bukit Bendera yang mengeluarkan kenyataan yang dianggap "perkauman" oleh kaum-kaum lain terutama bangsa cina yang merasa kecil hati dengan kenyataan yang dikeluarkan oleh Ketua UMNO bukit bendera tersebut sehingga media-media arus perdana juga turut campur menyerang Ketua UMNO tersebut. Apa yang penulis perhatikan di sini, sekali lagi bangsa Melayu dituduh bersifat perkauman, ironinya isu-isu yang melibatkan perkauman akhirnya orang Melayu jualah yang dipersalahkan.

Terlebih dahulu penulis ingin jelaskan kepada bangsa-bangsa lain tujuan penulis ketengahkan artikel atau isu ini bukanlah bertujuan untuk menyemarakkan semangat perkauman di kalangan Melayu ataupun ingin memusuhi bangsa lain terutamanya cina. Tidak sama sekali, penulis sendiri mempunyai ramai kawan yang berketurunan cina. Penulis hanyalah bertujuan 'menjernihkan air yang keruh' bagi membuka minda kaum-kaum lain terutamanya cina menganai pengorbanan-pengorbanan yang pernah dilakukan oleh bangsa Melayu yang sering dianggap 'racist' oleh mereka sedangkan sudah banyak Melayu berkorban untuk mereka.

Kita mulakan dengan Perlembagaan Malaysia, walaupun di dalam perlembagaan kita ada fasal yang dikaitkan dengan 'kontrak sosial' yang melibatkan hak istimewa Melayu tetapi itu bukanlah penanda aras yang boleh melabelkan masyarakat Melayu sebagai perkauman, tetapi itulah yang sepatutnya diberikan kepada Melayu yang pada masa ini pun masih ketinggalan berbanding bangsa-bangsa lain di Malaysia. Sebagai contoh, cuba andaikan Melayu ini 'tuan rumah' kepada rumah yang bernama 'Malaysia' dan kaum lain-lain pula adalah 'tetamu kehormat' kepada rumah bernama "Malaysia', namun di atas keterbukaan Melayu, mereka sanggup menerima 'bangsa lain ini' sebagai ahli keluarga rumah yang bernama 'Malaysia'. Walaupun pengorbanan mereka sudah lama berlalu, namun ia tetap perlulah dihormati oleh kaum-kaum lain dan dihargai.

Bercakap pasal perlembagaan, sedar atau tidak sedar Melayu yang mengikut Perlembagaan beragama Islam tidak begitu defensif untuk melaksanakan apa yang dikatakan 'undang-undang Islam' yang dituntut di dalam Islam ke atas umatnya demi menjaga hubungan baik kaum-kaum lain di Malaysia walaupun pengorbanan itu kemudianya membawa kepada 'persengketaan Melayu' namun demi bangsa lain mereka terpaksa berkorban tetapi malangnya pengorbanan ini langsung tidak dihargai walaupun pengorbanan ini adalah 'pengorbanan besar' bagi umat Melayu.

Kita beralih pula kepada sektor pendidikan, di dalam sektor pendidikan juga orang Melayu telah banyak bekorban untuk bangsa lain. Sebagai contoh, sekolah-sekolah jenis kebangsaan yang mewakili kaum-kaum lain dibenarkan dibuka oleh kaum cina dan india sedangkan dalam masa yang sama Melayu terpaksa mengorbankan 'sekolah Melayu' dan digantikan dengan Sekolah Kebangsaan di mana penyertaanya terbuka kepada semua kaum Melayu tidak membantah.

Pengorbanan Melayu di dalam pengajian tinggi juga tidak terkira besar nilainya, sebagai contoh Universiti Tengku Abdul Rahman yang penuntutnya majoritinya adalah kaum cina, tidak juga ditentang oleh Melayu walaupun orang Melayu masih ketinggalan di dalam sektor ini. Sebagai perbandingan cuba kita lihat perbezaan "Universiti Tun Abdul Razak" dengan "Universiti Tengku Abdul Rahman" walaupun pemiliknya adalah Melayu tetapi ia tidak menyekat kemasukkan pelajar bukan Melayu untuk menimba ilmu di universiti ini, Universiti Tengku Abdul Rahman pula 'memang' ia tidak meletakkan syarat untung bangsa cina, tetapi 99% pelajarnya berbangsa cina. Dari segi fasiliti pula, UNITAR lebih ketinggalan berbanding UTAR namun ianya tidak sedikitpun menimbulkan kebencian Melayu terhadap bangsa lain.

Dari sektor pengajian tinggi, kita beralih pula kepada sektor ekonomi, Tujuan Dasar Ekonomi Baru atau DEB diperkenalkan ialah untuk merapatkan jurang ekonomi di antara bangsa Melayu dengan bangsa-bangsa lain di Malaysia di mana pada ketika itu Melayu berupakan bangsa yang 'mundur', selepas DEB dilaksanakan memang kekuatan ekonomi Melayu dapat dipertingkatkan sedikit namun, hingga pada hari ini ia tidak berjaya mencapai sasaran 30% penguasaan ekonomi, memandangkan kaum cina tetap menjadi peneraju utama di dalam bidang ekonomi. Sebagai contoh kontraktor bumiputera walau besar mana sekalipun terpaksa bergantung kepada 'pembekal-pembekal besar' yang lazimnya dimiliki oleh bangsa Cina dan ia membuktikan 'kebergantungan Melayu' terhadap bangsa Cina atau bangsa lain juga boleh dikira satu perngorbanan Melayu.

Kita beralih pula kepada isu semasa mengenai tuntutan HINDRAF terlebih dahulu izinkan penulis senaraikan dakwaan HINDRAF yang dipetik daripada blog Ayahnda Tun Dr. Mahathir iaitu http://www.chedet.com :

a) Kerajaan dikatakan dibantu oleh "Islamic Extremist violent armed terrorists" (orang Melayu)


 

b) Mereka berkata Kerajaan Malaysia melakukan "Ethnic Cleansing" iaitu Kerajaan sedang membunuh dan menghapuskan orang Tamil.


 

c) 100 orang keturunan India "ditetak dan dibunuh oleh Kerajaan yang dikuasai oleh UMNO." Perbuatan ini kononnya adalah "mini genocide" (pembunuhan beramai-ramai mini)


 

d) Tiap tiga minggu kuil Hindu diroboh.


 

e) Kerajaan yang kononnya dikuasai oleh UMNO telah lancar serangan bersenjata dengan 600 anggota polis, polis simpanan, pelampau Islam dan pengganas (terrorist) bersenjata (orang Melayu).


 

f) Pegawai Bandaraya dan Polis dikatakan membaling batu dan menyerang orang Hindu dengan pisau, kayu dan batang besi. Kononya 20 orang Hindu mengalami cedera parah.


Walaupun tuduhan-tuduhan mereka boleh menjurus ke arah perkauman namun orang Melayu tetap berdiam diri dan langsung tidak melabelkan tuduhan tersebut sebagai provokasi 'perkauman' bagi menghina kaum Melayu, tidak ada Melayu yang 'melenting' berhubung tuduhan HINDRAF tersebut. Bukan itu sahaja, tidak ada tuntutan daripada Melayu agar mereka memohon maaf di atas tindakan mereka bahkan ada yang dah bergelar Yang Berhormat yang penulis percaya ada juga pengundi Melayu yang mengundi mereka.

Sebelum penulis terlupa, kita sentuh sedikit mengenai 'kerakyatan' oleh kerana Melayu terkenal dengan sifat 'terbukanya' mereka telah membuka 'kerakyatan' Malaysia kepada bangsa-bangsa lain melalui apa yang dikatakan 'jus soli', ini merupakan pengorbanan yang tidak kurang besarnya orang Melayu terhadap bangsa lain di Malaysia.

Begitulah rentetan 'kesabaran' orang Melayu terhadap bangsa lain di Malaysia. Walaupun bangsa mereka terus dipijak, namun mereka tidak sanggup 'memijak' bangsa lain. Perlu diingatkan juga kesabaran orang Melayu ada batasnya, jika sampai kami bangsa Melayu terus diperhambakan dan diperkotak-katikkan oleh bangsa lain ia akan membawa kepada kebangkitan orang Melayu sepertimana kebangkitan orang Melayu menentang penjajah inggeri satu ketika itu.

Penulis berharap dengan penjelasan ini, kaum-kaum lain dapat menilai dengan setelus-telusnya mengenai pengorbanan-pengorbanan yang dibuat oleh Melayu untuk bangsa lain. Jangan lagi 'menuduh' orang Melayu 'racist' kerana Melayu sememangnya tidak 'racist' apa yang mereka buat hanyalah mempertahankan hak mereka sahaja. Dengan penjelasan ini jugalah harapnya 'bangsa-bangsa lain' dapat membuka minda dan menerimanya dengan hati yang terbuka.

http://www.suaragenerasimuda.com

Siapa sebenarnya yang rasis?

"Rasis" dan "perkauman" telah lama menjadi istilah yang mengikat orang-orang Melayu daripada bercakap tentang kepentingan Melayu. Dua istilah ini sekaligus menjadi fobia kepada orang Melayu, mereka bimbang kalau apa yang dikatakan terjebak dalam erti rasis atau perkauman. Kalau ini berlaku, fikir mereka, sudah tentu akan menyinggung perasaan kaum lain yang datang kemudian tetapi diterima menjadi rakyat negara ini. Bagaimanapun dari sudut lain, fobia dilabel dua istilah ini pula membuka laluan kepada kaum lain bertindak sebaliknya kepada orang Melayu.

Sebenarnya kedua-dua istilah ini tidak ada dalam perbendaharaan kata adat dan berbudaya orang Melayu. Orang Melayu tidak diajar untuk berlaku rasis kepada kaum lain, biar pun kaum yang datang kemudian itu membawa maksud pendatang. Dalam budaya dan tradisi Melayu, tetamu tetap dirai, silap dan lantangnya pula terpaksa ditelan dengan senyum dan bermanis muka. Inilah orang Melayu. Sejak turun temurun mereka diasuh mendahulukan yang datang seperti kata bidalan, orang asing yang singgah kekenyangan, anak di rumah mati kelaparan. Dalam konteks politik, orang Melayu berpesan kepada diri sendiri supaya memegang etika sebagai tuan rumah. Tetapi pada masa yang sama, sesetengah pihak dalam kalangan kaum yang datang ke negara ini tidak membawa budaya pendatang yakni menjaga hati tuan rumah.

Tetapi apalah gunanya menjadi tuan rumah kalau terlalu kerap disuruh beralah dengan gelagat orang asing yang datang ke rumah mereka? Sebenarnya orang Melayu di negara ini sudah lama dimangsai oleh dua istilah di atas yang dilabelkan dengan sewenang-wenangnya kepada kepada orang Melayu yang menyuarakan tentang hak mereka. Ketidakadilan menggunakan label ini sangat jelas apabila rasis tidak dirujuk kepada kaum lain, melainkan orang Melayu. Persoalannya benarkah orang Melayu rasis ketika ada kaum lain yang berarak dan membuat keganasan di jalan-jalan raya mempertikaikan hak orang-orang Melayu?

Isu Ketua UMNO Bahagian Bukit Bendera Pulau Pinang, Datuk Ahmad Ismail yang menganggap orang Cina sebagai "pendatang" memberi peluang terbaru untuk melabelkan orang Melayu sebagai rasis. Ahmad Ismail "diserang" bertalu-talu oleh parti Gerakan, sebuah parti yang duduk bersama UMNO dalam Barisan Nasional (BN). Gerakan yakni orang Cina menuntut Ahmad Ismail meminta maaf kerana menganggap orang Cina sebagai pendatang. Gerakan melabelkan Ahmad Ismail sebagai rasis dan kecinaan Gerakan pun semakin terserlah apabila mahu mengkaji semula kedudukan parti itu dalam BN. Label rasis begitu mudah digunakan untuk merujuk tindak tanduk orang Melayu yang menyebut asal usul orang Cina di negara ini. Padahal dalam konteks sejarah apa yang disebut oleh Ahmad Ismail itu memang tertulis kebenarannya.

Dalam sebuah kampung yang dihuni oleh orang Melayu bukanlah suatu fenomena yang luar biasa kalau ada sebuah kedai runcit Cina yang begitu maju perniagaannya. Siapakah yang memajukan perniagaan kedai runcit ini kalau bukan semua orang Melayu di kampung berkenaan? Kalau benar orang Melayu mengamalkan racisme, percayalah tidak ada kedai India atau Cina di kampung-kampung Melayu. Orang Melayu tidak ada masalah untuk berurusan jual beli di kedai milik Cina dan sikap ini bukan dibuat-buat sebaliknya memang menjadi amalan sejak dulu lagi.

Sikap terbuka

Di pekan atau bandar-bandar pula, sebahagian besar kedai dimiliki oleh orang Cina dan segelintir saja dimiliki orang Melayu. Orang Cina tidak pergi ke kedai orang Melayu seperti orang Melayu berduyun-duyun ke kedai Cina. Malah sikap terbuka orang Melayu ini juga banyak membunuh perniagaan orang Melayu di pekan dan bandar-bandar besar apabila orang Melayu pilih kedai Cina dan orang Cina pilih kedai kaumnya. Itu pun orang Melayu tetap dianggap kaum yang mengamalkan racisme terhadap kaum lain.

Nampaknya orang Melayu tidak boleh lagi berterusan mengambil langkah yang apologetik semata-mata untuk mengambil hati kaum-kaum lain di negara ini. Apa saja yang menyentuh kepentingan orang Melayu sebagai penduduk asal negara ini dan yang terkandung dalam Perlembagaan perlu terus diperjuangkan. Orang Melayu perlu mempunyai keberanian untuk menangkis pihak lain yang menggunakan istilah rasis dan perkauman untuk menutup hujah mengenai orang Melayu. Malah orang Melayu perlu menyerlahkan keberanian untuk tidak menjadikan Perlembagaan sebagai kitab usang. Caranya ialah dengan tidak membiarkan pihak lain dengan mudah memanipulasikan sentimen yang menjuruskan kepada rasis sesuatu kaum.

Isu Ketua UMNO Bukit Bendera ini perlu dijadikan titik penting untuk orang Melayu bangun menangkis sikap honar sesetengah pihak yang membakar api kaum di negara ini. Tentu banyak yang masih ingat kenyataan seorang anggota Gerakan ketika Hindraf melancarkan demonstrasi besar-besaran di jalan-jalan utama di Kuala Lumpur dulu. Katanya, memang benar dasar UMNO menjadikan orang India di negara ini hidup terpinggir. UMNO itu Melayu dan menuduh dasar UMNO dengan sendirinya mengaitkan kononnya amalan rasis dilakukan oleh orang Melayu ke atas orang India di negara ini. Malangnya UMNO tidak agresif seperti yang dilakukan Gerakan dalam isu Ahmad Ismail. Ini satu kegagalan UMNO menangani isu yang dijuruskan kepada rasis. Tolong tanya kepada Gerakan, apakah tindakan yang diambil ke atas anggota Gerakan berkenaan yang bukan saja bertentangan dengan amalan Barisan Nasional tetapi lebih bahaya lagi menyalakan api rasis antara Melayu dengan India.

Adakah orang Melayu masih dianggap rasis selepas orang India dalam Gerakan menuduh dasar sebuah parti Melayu mengamalkan racisme hingga mereka terpinggir daripada pembangunan? Orang Melayu mesti membetulkan tanggapan begini supaya sejarah tidak terus ditipu kononnya Melayu itu rasis. Dalam masa yang sama adakah Hindraf yang dengan terang terang berkata mereka memusuhi UMNO itu bukan rasis dan orang Melayu masih boleh duduk diam tanpa berbuat apa-apa? Memusuhi UMNO adalah memusuhi Melayu kerana UMNO itu parti Melayu sekali pun tidak semua Melayu berada dalam UMNO. Adakah satu kaum mengakui secara terbuka memusuhi kaum lain masih tidak dianggap rasis?

MIC sebuah parti komponen Barisan Nasional. MIC dianggotai oleh orang India. Hindraf sebuah pergerakan haram juga dianggotai oleh orang India. Tetapi apabila ada beberapa orang kuat Hindraf ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), MIC dan Hindraf mendesak kerajaan membebaskan kaum mereka yang ditahan dalam ISA. Tahanan ISA bukan saja terdiri daripada orang India. Orang Melayu lebih banyak ditahan di bawah ISA. Tetapi orang Melayu tidak pula mendesak kerajaan membebaskan tahanan Melayu di bawah ISA atau menganjurkan "parti hari jadi" anak tahanan ISA di lobi bangunan Parlimen. Tindakan memperjuangkan nasib orang India saja yang ditahan di bawah ISA adalah menjurus kepada racisme, yakni memperjuangkan kepentingan satu kaum saja. Tetapi orang Melayu masih "berbudi bahasa" dan tidak melabelkan tindakan MIC dan Hindraf itu sebagai rasis.

Toleransi

Di Selangor pula misalnya terdapat 700,000 orang beragama Hindu tetapi mereka mempunyai lebih 1,000 buah kuil. Padahal orang Islam di Selangor berjumlah empat juta orang tetapi hanya mempunyai 380 buah masjid. Sekiranya orang Melayu rasis, sudah tentu di Selangor tidak akan ada 700 kuil kalau melihat nisbah dengan jumlah masjid dan orang Islam. Semua ini berjalan lancar kerana toleransi orang Melayu yang faham peri pentingnya agama lain kepada kaum lain.

Kaum lain tidak perlu sengaja membuat andaian salah terhadap orang Melayu, kononnya Melayu kaum yang rasis dan penindas kepada kaum lain. Buktinya, dalam sejarah dan ketamadunan Melayu tidak mencatatkan Melayu sebagai penakluk. Lihatlah mana-mana catatan sejarah sekali pun, adakah mencatatkan bahawa orang Melayu menjadi penakluk seperti bangsa-bangsa lain di dunia? Kalau dilihat di luar konteks negara, dunia Melayu bukanlah sempit dan tidak berpengaruh. Tetapi memilik pengaruh besar tidak pernah menjadikan Melayu sebagai bangsa penakluk seperti sekian banyak penjajah yang menjajah negara ini. Jadi, orang Cina dan India perlu mengakui bahawa label rasis yang diberikan kepada orang Melayu sebenarnya membongkar sikap rasis mereka sendiri.

Toleransi orang Melayu sebenarnya hingga ke peringkat memakan diri. Semua ini tentunya dilakukan demi keamanan dan kestabilan politik di negara yang dihuni oleh pelbagai kaum ini. Apa lagi yang perlu orang Melayu korbankan supaya tidak dianggap rasis oleh orang bukan Melayu? Hinggakan menghunus keris yang menjadi salah satu daripada resam budaya Melayu tidak boleh dilakukan kerana orang Cina mentafsirkan keris itu melambangkan keganasan. Dalam budaya Melayu menghunus keris tidak ada kena mengena dengan mengamuk atau rasis terhadap kaum lain. Maka berkorbanlah orang Melayu memohon maaf kerana menghunus keris. Sebenarnya cerita tentang keris ini sangat sukar dipercayai tetapi begitulah realitinya yang terpaksa dihadapi oleh orang Melayu bagi menjaga keharmonian hidup di negara ini.

Kaum lain kena ingat, orang Melayu adalah manusia biasa yang mempunyai tahap kesabaran yang sama dengan orang lain. Sekiranya terlalu banyak provokasi yang melabelkan Melayu seolah-olah kaum yang rasis, sudah tentu suatu perasaan yang tidak baik wujud di antara pelbagai kaum di negara ini. Orang Melayu sebenarnya sangat terbuka. Lihatlah apabila ada anak muda Melayu yang membakar bendera Jalur Gemilang dalam kejadian di Batu Buruk, Terengganu, anak-anak muda itu menerima hukuman dan orang Melayu menerima dengan hati terbuka. Tetapi hati mereka remuk apabila seorang remaja Cina yang berada di luar negara menghina lagu Negaraku dengan mengubah lirik yang membawa maksud buruk tidak dikenakan apa-apa tindakan. Anak muda Melayu membakar Jalur Gemilang hanya disaksikan segelintir penduduk di Batu Buruk, tetapi lirik lagu Negaraku yang diubah dapat diakses di seluruh dunia menerusi Internet. MCA dan Gerakan juga mengkritik tindakan yang paling tidak patriotik itu tetapi nadanya sangat lembut dan akhirnya isu itu selesai tanpa penyudah.

Maka kepada isu Ahmad Ismail di Bukit Bendera, ketegasan untuk tidak memohon maaf perlu dihormati serta difahami oleh Gerakan. Hanya baru sekali ini orang Melayu bertegas, selepas banyak kali orang Melayu mengorbankan perasaan mereka untuk menjaga hati kaum lain. Kenyataan bahawa kedudukan kaum lain tidak sama dengan bumiputera di negara ini bukanlah luar biasa. Malah dalam Perlembagaan juga ada peruntukkan tertentu yang tidak diberikan kepada kaum lain. Mempertikaikan kenyataan Ahmad Ismail sama dengan mempertikaikan Perlembagaan. Adakah Gerakan cukup besar untuk mempertikaikan Perlembagaan? Sebaliknya Gerakan yang kelihatan sangat rasis apabila tidak melihat kenyataan Ahmad Ismail dalam konteks yang menyeluruh. Gerakan sengaja memetik frasa-frasa tertentu untuk memperlihatkan seluruh kenyataan itu menjurus kepada rasis. Sebenarnya ini adalah satu contoh tindakan yang rasis.

by real33

Jumaat, 5 September 2008

Aktivis Pertikai Kuasa Mahkamah Syariah: Dalang Sebenar Forum Peluk Islam

Artikel ini ditulis khas buat semua pembaca. Tujuan artikel ini adalah bagi menyalurkan maklumat dan menyedarkan kita semua tentang siapa individu atau dalang di sebalik keceluparan mempertikai kuasa Mahkamah Syariah apabila melibatkan kepentingan dan kedaulatan Islam.

Isu Forum Peluk Islam dan Subashini & Shamala Revisited telah menyentak ramai pihak. Ramai tertanya-tanya tentang apa sebenarnya motif utama forum sensitif ini dibuat secara terbuka.

Siapa aktivis yang mempertikai segala keputusan yang dibuat oleh Mahkamah Syariah sehinggakan Majlis Peguam merasakan perlu diadakan forum ini.

Siapakah suara pendesak yang begitu lantang sehinggakan Majlis Peguam begitu ego untuk meneruskan juga forum walhal dibantah sebegitu ramai umat Islam?

Majoritinya adalah aktivis PKR & DAP. Majlis Peguam yang didominasi oleh aktivis PKR/DAP/HINDRAF dalam menganjurkan forum yang membincangkan isu yang sensitif.

Isu ini bukannya isu baru, tetapi sudah lama dan ditimbulkan kerana ketidakstabilan politik di negara kita. Tengok siapa individu dan parti mana di sebalik aktivis ini?

Berikut saya nyatakan segala bukti dan fakta yang bakal menyedarkan semua yang hanya tahu menyokong berdasarkan politik persepsi.

Anne James pertikai keputusan Mahkamah Syariah berhubung kes S Shamala, Lina Joy, M Moorthy and R Subashini
http://www.malaysiakini.com/letters/65845
Siapa Anne James?
http://www.sivarasa4subang.com/site/archives/68
Anne James ialah isteri kepada YB R Sivarasa. Siapa Sivarasa dalam PKR? MP & Peguam.

Peter Ooi pertikai keputusan Mahkamah Syariah kes Subashini.
http://www.malaysiakini.com/letters/65541
Siapa Peter Ooi?
http://pakguard84.wordpress.com/
http://malaysiangate.blogspot.com/2008/06/gerakan-too-wanted-to-leave-once.html
Peter Ooi ialah aktivis DAP/PKR/HINDRAF.

Norman Fernandez mempertikai keputusan Mahkamah Syariah
http://www.malaysiakini.com/letters/65284
Siapa Norman Fernandez?
http://normanfernandez.blogspot.com/
Norman Fernandez ialah seorang peguam & Naib Pengerusi DAP Johor & calon DAP DUN Stulang 2004.

Bukalah minda dan hati anda. Jangan tertipu dengan laungan Ketuanan Rakyat (baca Malaysian Malaysia) yang Pakatan Rakyat dan mereka-mereka ini laungkan.

Pakatan Rakyat hanyalah platform bagi pihak tidak bertanggungjawab ini melaksanakan agenda tersembunyi mereka. Mereka menjadi MP yang mempunyai kuasa menggubal dan mengubah landskap politik dan kedudukan Islam.

Tiada guna jika majoriti dalam negara tapi kuasa menggubal di Parlimen dikuasai mereka-mereka yang tidak bertanggungjawab ini. War-warkanlah kepada rakan kita semua agar berhati-hati dengan taktik licik mereka-mereka ini. Jangan sudah terhantuk baru nak terngadah. Kepada rakan yang sudah tahu kebenaran, sebarkanlah pada rakan agar kepentingan Islam tidak diinjak-injak oleh pihak yang berselindung di sebalik Pakatan Rakyat.


PsyTroopers
kembarapolitik@yahoo.com

Rabu, 3 September 2008

Merdeka, Komunis dan Malaysia

Anwar Ibrahim menyarankan supaya 16 September dijadikan cuti umum dan diraikan bukannya 31 Ogos. Lim Guan Eng pantas menyambut dengan mengisytiharkan Pulau Pinang akan bercuti tahun hadapan pada 16 September.

Mengapa usaha meraikan pembentukan Malaysia pada 16 September lebih penting dan besar berbanding hari pegisytiharan kemerdekaan pada 31 Ogos bagi Pakatan Rakyat terutamanya DAP?

Mereka mahukan peritiwa ini diingat lebih baik kerana ia akan memadamkan perjuangan para pejuang Melayu dan bumiputera borneo yang berjuang untuk mendapatkan kemerdekaan tanah Melayu dan borneo. Setiap kali meraikan hari kemerdekaan kita akan mengulangi sejarah perjuangan lampau seperti Tok Janggut, Mat Kilau, Datuk Bahaman, Mat saleh, Dol Said, Rentap dan ramai lagi.

DAP sebagai cauvinis Cina lebih mahu mengingati hari pembentukan Malaysia pada 16 september kerana ia turut membabitkan peranan Parti Tindakan Rakyat (PAP) Singapura. Inilah yang mahu diuar-uarkan oleh DAP bahawa orang Cina memainkan peranan besar dalam kemerdekaan negara ini.

Malangnya bukan DAP sahaja yang terbabit, malah orang Melayu kerana kuasa dan pangkat sanggup sama bersengkongkol dengan anak didik Singapura di Malaysia ini.

Lebih menyedihkan ada juga penggerak propaganda PKR bernama Mohd Sofi Yassin menulis menganggap Komunis merupakan pejuang kemerdekaan sejati.

Demikianlah kerana terdesaknya mahukan kuasa maka hari kemerdekaan negara pun mahu ditukar, peranan UMNO juga mahu ditidakkan. Bayangkan mereka ini belum memegang kuasa. Bagaimana jika mereka berkuasa? Tidak mustahil Islam juga akan dipariahkan. Tidak mustahil mereka akan menganggap agama Hindu lebih layak mendapat tempat kerana ia lebih awal sampai di kepulauan Melayu.

Tiada sesiapa yang boleh menjahanamkan Melayu dan Islam di negara ini kecuali orang melayu sendiri.

artikel sumbangan Pokka