Isnin, 14 Julai 2008

Semua Bahagian UMNO Pulau Pinang Sokong Pak Lah : Kenyataan Akhbar Yang Melanggar Perlembagaan UMNO ?

Pada 5hb Julai 2008, Badan Perhubungan UMNO Pulau Pinang telah berikrar menyokong penuh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan Timbalannya, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk terus menerajui parti.


Persetujuan turut dicapai untuk mencalonkan kedua-duanya mempertahankan jawatan Presiden dan Timbalan Presiden pada pemilihan Disember ini.


Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Abdul Rashid Abdullah berkata, ''Semua bahagian ini juga telah membuat perakuan akan mencalonkan kedua-dua pemimpin ini mempertahankan jawatan masing-masing pada pemilihan akan datang," katanya.


PERTAMA, penulis terkejut dengan kenyataan akhbar tersebut.


Lebih-lebih lagi apabila TP Badan Perhubungan UMNO negeri telah membuat andaian bahawa SEMUA bahagian telah membuat perakuan akan mencalonkan keuda-dua pemimpin tersebut.


Bagi pendapat penulis, kenyataan tersebut tidak wajar dikeluarkan kerana ianya tidak bertepatan dengan semangat demokrasi di dalam parti UMNO itu sendiri.


Malah, kenyataan yang dikeluarkan di masa bahang mesyuarat cawangan dan bahagian Pulau Pinang yang bakal tiba, telah menimbulkan pelbagai reaksi yang negatif daripada ahli-ahli akar-umbi.


Ini adalah kerana :-

1. Bagaimana pula 'perakuan bahawa SEMUA bahagian UMNO telah bersetuju' sedangkan ahli-ahli akar umbi di peringkat cawangan-cawangan belum lagi bermesyuarat, mengundi dan memilih pemimpin-pemimpin mereka?

2. Bila masanya ahli-ahli akar-umbi telah bersuara dan memberi izin kepada perhubungan UMNO negeri untuk membuat keputusan sesama pemimpin sahaja TANPA merujuk ahli-ahli akar-umbi?

3. Apakah tindakan perhubungan UMNO negeri mengeluarkan kenyataan tersebut sebelum mulanya mesyuarat cawangan dan bahagian, adalah untuk 'menutup' mulut ahli-ahli ?

4. Apakah ahli-ahli UMNO dari akar-umbi tidak boleh menggunakan hak mereka terlebih dahulu untuk menentukan sendiri pilihan mereka tanpa sekatan atau disekat?

5. Apakah perhubungan UMNO negeri sudah lupa bahawa kuasa sebenarnya terletak di tangan ahli-ahli UMNO dan bukannya hak mereka untuk membuatkan keputusan sesama mereka?



Melanggar Perlembagaan UMNO ?


Persoalannya, apakah tindakan perhubungan UMNO negeri Pulau Pinang mengeluarkan kenyataan bahawa “SEMUA bahagian telah membuat PERAKUAN akan mencalonkan kedua-dua pemimpin tersebut” telah melanggar FASAL 20 di dalam Perlembagaan UMNO itu sendiri ?

Sila rujuk Fasal tersebut:-

FASAL 20
DISIPLIN

20.12 Majlis Tertinggi berkuasa penuh membuat kaedah-kaedah dan peraturan-peraturan berkaitan dengan Tataetika Ahli UMNO, yang di antara lain:-


- melarang penyalahgunaan kuasa dan wang dengan tujuan mendapat undi atau sokongan


- atau untuk mempengaruhi mana-mana pemilihan bagi pihak sendiri atau bagi pihak lain


- atau supaya jangan mengundi mana-mana orang dalam mana-mana pemilihan parti.

Dan jika berdasarkan kepada perenggan tersebut, tindakan Perhubungan UMNO negeri boleh diintepretasikan sebagai menyalahgunakan kuasa untuk mendapat undi atau sokongan.


Oleh kerana mesyuarat cawangan dan bahagian belum lagi dijalankan, tindakan perhubungan UMNO negeritersebut telah terlebih dahulu cuba mempengaruhi mana-mana pemilihan untuk pihak lain (Pak Lah dan DS Najib.)


Tindakan perhubungan negeri Pulau Pinang tersebut secara tidak langsung telah mengheret nama Pak Lah dan DS Najib di dalam keputusan mereka itu.


HUKUMANNYA


20.9 Mana-mana ahli yang melanggar peruntukan Perlembagaan ini atau Tataetika Ahli UMNO boleh dikenakan mana-mana hukuman yang tersebut dibawah:


(a) Diberi amaran;
(b) Digantung hak-haknya dalam parti;

(c) Dilarang daripada bertanding bagi mana-mana jawatan dalam parti ataupun sebagai calon dalam Pilihan Raya Negeri atau Umum bagi mana-mana tempoh yang ditentukan oleh Majlis Tertinggi;
(d) Dipecat daripada parti;
(e) Dikenakan lain-lain hukuman yang difikirkan wajar dan selaras dengan Perlembagaan ini.



Walaubagaimana pun, penulis tidak memberi komen mengenai tindakan perhubungan UMNO negeri Pulau Pinang yang mengeluarkan kenyataan akhbar yang sama (27hb April 2008) sebaik sahaja selesai PRU-12 kerana penulis tahu bahawa ianya strategi politik dan tidak menyalahi Fasal 20.


Akan tetapi, kenyataan akhbar perhubungan UMNO negeri Pulau Pinang pada 27hb April 2008 itu turut menimbulkan keraguan kerana ianya bertentangan dengan kenyataan mereka pada 12hb April 2008 iaitu "badan Perhubungan UMNO Pulau Pinang tidak menafikan ada permintaan daripada beberapa UMNO bahagian negeri itu yang mahukan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi melepaskan jawatan ekoran prestasi buruk parti itu dalam pilihan raya umum lalu."


Tetapi kali ini, di musim mesyuarat cawangan-cawangan dan bahagian yang bakal tiba, kenyataan perhubungan negeri UMNO itu tidak dapat diterima dan tidak sensitif kepada perasaan ahli-ahli UMNO dari akar-umbi.


Pak Lah akan membuat lawatan kerja ke negeri-negeri lain selepas ini. Apa yang diharapkan ialah agar perhubungan UMNO negeri-negeri tersebut tidak mengulangi tindakan perhubungan UMNO Pulau Pinang.


Pak Lah tentu bersetuju dengan penulis bahawa transperensi di dalam politik dan menghargai ahli-ahli UMNO adalah elemen-elemen yang sangat penting serta perlu dititikberatkan oleh pemimpin-pemipin UMNO hari ini.


Realitinya, pemimpin-pemimpin UMNO perlu menghormati dan cuba meraih kembali keyakinan seluruh ahli UMNO dari akar-umbi. Ahli-ahli perlu dilihat sebagai seorang yang mempunyai makna kepada parti dan bukan hanya 'pak turut' dan untuk mencukupi korum mesyuarat sahaja.

Mesyuarat cawangan dan bahagian UMNO kali ini merupakan titik tolak kepada survival UMNO di masa hadapan. Maksudnya, ahli-ahli UMNO mesti terlibat secara langsung di dalam decision making parti.

Itu yang paling mustahak !!

Dan bukannya sebagai 'yes man' dan 'mengangguk tak tentu pasal' sahaja. Jika 'tradisi' begini masih berlaku, UMNO berkemungkinan tidak relevan, dibenci, dijauhi dan akan jatuh tersungkur seperti parti Golkar dan lain-lain.

Sumber: Minda Intelek Melayu

Tiada ulasan: