Rabu, 23 Julai 2008

Mendoktrinkan Melayu Pasca PRU12

Berikut adalah petikan ucapan Saudara Karim Bin Yaacob, Ketua Pegerakan Pemuda UMNO Bahagian Bukit Katil yang saya kira perlu dipaparkan untuk tatapan saudara semua:

Saudara-saudara semangat mestilah mendasari perjuangan dan kita percaya UMNO masih lagi relevan untuk orang melayu. Sesungguhnya kita kena bekerja kuat untuk mengembalikan semula keyakinan rakyat terutama golongan muda yang menjadi kumpulan pengundi terbesar pilihanraya.

Masa depan UMNO masih cerah dan ini merupakan cerminan melayu pada masa depan. Didalam perjuangan kadang-kadang ada kelemahan dan kelemahan perlu di perbaiki. Pemuda menyedari kelemahan-kelemahan ini dan akan membaikinya sebaik mungkin.

Ahli-ahli UMNO percaya bahawa kita perlu kembali ke perjuangan asal. Kita sewajarnya mendekati akar umbi dengan lebih kerap dan mengadakan pelbagai program yang boleh menimbulkan kesedaran terhadap pentingnya wadah perjuangan melayu terus di pertahankan. Saya amat berterima kasih di atas sokongan saudara-saudara kepada saya selama memimpin pergerakan ini dan sokongan ini akan lebih bermakna jika kita dapat mengembalikan semula keyakinan pengundi muda kepada Kerajaan BN dalam mengharungi cabaran masa kini.

Pergerakan Pemuda sedang mengambil langkah-langkah positif untuk memastikan semua peringkat umur pemuda antara 18 hingga 40 tahun bakal menjadi asset kepada parti. Antaranya telah menubuhkan Kelab Kembara Pemuda untuk menyuburkan aktiviti-aktiviti rekreasi dan lasak. Kita telah memulakan program pertama dengan mendaki Gunung Ledang

Pergerakan Pemuda Bahagian juga menubuhkan blog rasmi Pemuda yang dinamakan arus gelombang.Blogspot.com dan pelanduk putih. Blogspot.com 4 hari selepas pilihanraya. Ini menunjukkan yang pergerakan Pemudas amat merasai derita keputusan pilihanraya dan mengambil pendekatan segera untuk memulihkan semula sebuah perjuangan. Saya telah meminta setiap AJK Pemuda supaya menggunakan segala kemudahan terkini yang di bina oleh Kerajaan demi kepentingan parti. Saya juga merayu kepada rakan-rakan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO dan semua ahli Pemuda supaya melakukan perkara yang sama. Pengujudan kepelbagaian infra seperti MSC oleh kerajaan telah di menfaatkan 0leh pembangkang. Setiap di antara kita mengorak langkah dan menyusun semula entity Pemuda agar mas depan dan sinar kecemerlangan UMNO dapat di pertahankan.


Saudara-saudara yang dikasihi sekelian

Kita harus bermula untuk mendoktrinkan setiap jiwa mleayu agar mereka memahami, menginsafi malah menyayangi bangsanya. Ini saya telah nyatakan berkali-kali dan slogan hidup melayu, hidup UMNO harus di semarakkan di setiap jiwa anak-anak kita supaya mereka tidak terlena di buai arus kemodenan yang di cipta sendiri oleh kita. Apa guna semua kehebatan ini kita ciptakan tetapi bila tiba pilihanraya parti kita kalah. Bangsa Yahudi telah mendoktrinkan anak-anaknya mereka sejak kecil beratus-ratus tahun dahulu. Dan hasilnya sesiapa juga yang benama Yahudi…. Jasad dan jiwanya amat membenci islam kerana ianya telah di semai sejak kecil


Saudara-saudara seperjuangan,

Didalam konteks pilihanraya di negeri Melaka, khususnya Bahagian Bukit Katil saya dapati sokongan pengundi muda di sebahagian besar peti undi amatlah baik. Saluran 5 dan 4 menunjukkan bahawa UMNO menjadi pilihan mereka. Sebagai contoh peti undi Kandang 71 % pengundi saluran 5 memilih Barisan Nasional. Saya percaya bahawa langkah-langkah yang diambil oleh Kerajaan Negeri Melaka di terajui oleh YAB seperti menyediakan peluang-peluang pekerjaan untuk generasi muda telah menyakinkan golongan muda ini bahawa masa depan mereka amat cerah di Negeri ini. Terima Kasih kepada semua Ketua-ketua Pergerakan Pemuda dan Puteri di atas usaha yang saudara-saudara lakukan di peringakt cawangan.

Saudara seperjuangan

Pegerakan Pemuda akan meneruskan program mendekati akar umbi iaitu melakukan kegiatan-kegiatan Pemuda Bahagian di Cawangan-cawangan seperti yang kita lakukan sekarang antara lain sambutan kemerdekaan Kemerdekaan, Qurban berkelompok, Pemuda Prihatin, sukan dan lain-lain. Program-program ini akan di perkasa dan di tambah nilai supaya kehadiran Pemuda bukan setakat di rasai malah di hadami.

Akhir sekali,

Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Bukit Katil mengucapkan tahniah dan syabas kepada YAB Datuk Seri di atas kejayaan mengemudi jentera pilihanraya Barisan Nasional Negeri Melaka dan Negeri Melaka kekal sebagai satu-satunya negeri di semenanjung yang kerusinya ditandingi UMNO menang kesemuanya samada di DUN dan di Parlimen . Oleh itu marilah sama-sama kita bekerja keras dan mendoakan agar YAB Datuk Seri Mohd Ali bin Mohd Rustam dapat mengekalkan kerusi Naib Presiden UMNO Malaysia padas pemilihan Disember ini. Kepada rakan-rakan pergerakan Pemuda sekalian, selamat Bersidang dan ingatlah musuh politik kita adalah PKR, DAP dan PAS bukannya sesama ahli UMNO.

Isnin, 14 Julai 2008

Generasi Muda - Apa didalam fikiran mereka?

Selepas membaca byk artikel mengenai kepimpinan UMNO, termasuk yg artikel Peralihan Kuasa yang patut diambil kira pandangannya selain Blog Tun Dr. Mahathir Mohamad dan lain-lain blog, saya rasa sangat risau, takut dan kasihan kepada generasi anak melayu pada masa akan datang. Kerana jika silap perhitungan, silap membuat keputusan akan membawa bencana kepada tanah bertuah ini.

Adakah generasi muda hari ini berminat ingin meneruskan perjuangan Bangsa Melayu?

Dengan senario politik negara yg terumbang ambing, dengan kesangsian terhadap Perdana Menteri 'Family and crony', Negarawan dan pejuang bangsa dipinggir dan dibuang, yg semakin hari semakin terserlah Kepimpinan Diktator - Kearah Kapitalism, kepimpinan yg 'jilat menjilat', serta byk lagi.....

Kumpulkan 10 anak muda atau 100 atau 1000 atau lebih anak muda melayu..... tanyakan kepada mereka tentang keperihatinan mereka terhadap politik, perjuangan dan kedudukan melayu hari ini..... Nasib-nasiblah kalau ada 40% yang memberi respon positif, tetapi mungkin jumlahnya lebih kecil.

Tahukah mereka tentang sejarah melayu, sejarah perjuangan melayu, tokoh-tokoh perjuangan melayu, Dato Bahaman, Mat Kilau, Rosli Dhobi, Datu Maharajalela dan lain-lain....

Mungkin ramai anak muda yang menyayangi negara tercinta ini, tetapi adakah mereka menyayangi bangsa dan agama mereka? Itu yang perlu kita selami demi untuk memastikan perjuangan dlu, kini dan selamanya.......

Pak Lah Letak Jawatan 2010... HAH! TIDAAAAAAK!!!

Terlebih dahulu, kita harus bersyukur Alhamdulillah kerana para pemimpin UMNO yang masih ikhlas berjuang berjaya menangkis usul tiada pertandingan untuk kedudukan Presiden dan Timbalan Presidan UMNO menjelang Disember 2008.

Ongkosnya mungkinlah pengisytiharan Najib yang beliau akan mempertahankan kedudukan Timbalan Presiden, tetapi masakan Najib akan menolak desakan dari bawah untuk mecabar kedudukan Pak Lah kelak?

Tetapi, janji Pak Lah yang beliau akan meletakan jawatan Presiden UMNO pada 2010 susah nak percaya; selepas janji kosongnya tentang tarikh PRU-12, tarikh naik petrol dan pelbagai kepalsuan yang dijaja anak-anak buahnya... Semasa taklimat pun Pak Lah boleh lupa Najib bukanlah pilihannya sebagai TPM. Tetapi kami ingat... Pak Lah dahulu bercadang memilih Mahyuddin sebagai TPM kerana beliau ingin seseorang yang lebih mudah diketepikan... oleh menantunya?

Lagi pun, 2010 tu lama sangat nak tunggu untuk dia letak jawatan. Khabarnya, 500 orang yang hadir dari kalangan G4 pada majlis taklimat tersebut memberi tepukan gemuruh bila Pak Lah isytihar akan meletakan jawatan... TEPUKAN GEMURUH! Masa zaman Tun Dr M isytihar letak jawatan dahulu, semua pakat terkejut, terdiam, kemudian ada yang menangis atau menjerit,"Tidak! Jangan!". Ini Pak Lah isytihar letak jawatan, depa sorak! Pak Lah, toksah la sampai 2010...

(Cerita yang tak rasmi pula mengatakan G4 yang hadir cuma sekadar 300 orang, kurang dari 40% jumlah G4 dalam UMNO, dan majoritinya dari kalangan yang lebih cenderung kearah Pak Lah... sikit ni pun gemuruh noh Dewan Merdeka!)

Tetapi Rakyat, baik Melayu mahupun bukan Melayu, semua cemas yang Pak Lah ingin tetap kekal begitu lama. Dalam masa 2 tahun menjelang 2010, macam-macam bencana Lah yang boleh menimpa negara! Nanti bila tiba masa peralihan kuasa, katalah betul Pak Lah nak letak jawatan pada 2010, adakah Pak Lah bercadang untuk menyerahkan puing-puing sahaja kepada penggantinya? Bagaimana kalau Najib pun sudah dipenggal-ganti oleh Khairy pada masa itu?

Makanya, orang-orang UMNO di pelbagai peringkat tidak boleh dilamun-leka oleh 'janji' baru Pak Lah. Orang-orang UMNO yang ikhlas memperjuangkan hak dan kepentingan Melayu haruslah terus berontak melawan ide kekalnya Pak Lah sehingga 2010. Lagi cepat Pak Lah pergi, lagi bagus! Mari kita calonkan juga Najib sebagai Presiden. Yang nak KuLi pun KuLi lah. Yang Rais atau Mahyuddin pun depa lah! Biar Pak Lah tak dapat cukup pencalonan pun untuk Disember ini!

Kalau tak sedia mendengar seruan saya... kerana siapalah saya, seorang anak muda sahaja... bukan menantu Perdana Menteri pun... dengarlah saranan orang-orang yang lebih ulung dan lebih berjasa seperti di www.sanusijunid.blogspot.com ...

http://thoughtsintangents.blogspot.com/

Semua Bahagian UMNO Pulau Pinang Sokong Pak Lah : Kenyataan Akhbar Yang Melanggar Perlembagaan UMNO ?

Pada 5hb Julai 2008, Badan Perhubungan UMNO Pulau Pinang telah berikrar menyokong penuh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan Timbalannya, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk terus menerajui parti.


Persetujuan turut dicapai untuk mencalonkan kedua-duanya mempertahankan jawatan Presiden dan Timbalan Presiden pada pemilihan Disember ini.


Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Abdul Rashid Abdullah berkata, ''Semua bahagian ini juga telah membuat perakuan akan mencalonkan kedua-dua pemimpin ini mempertahankan jawatan masing-masing pada pemilihan akan datang," katanya.


PERTAMA, penulis terkejut dengan kenyataan akhbar tersebut.


Lebih-lebih lagi apabila TP Badan Perhubungan UMNO negeri telah membuat andaian bahawa SEMUA bahagian telah membuat perakuan akan mencalonkan keuda-dua pemimpin tersebut.


Bagi pendapat penulis, kenyataan tersebut tidak wajar dikeluarkan kerana ianya tidak bertepatan dengan semangat demokrasi di dalam parti UMNO itu sendiri.


Malah, kenyataan yang dikeluarkan di masa bahang mesyuarat cawangan dan bahagian Pulau Pinang yang bakal tiba, telah menimbulkan pelbagai reaksi yang negatif daripada ahli-ahli akar-umbi.


Ini adalah kerana :-

1. Bagaimana pula 'perakuan bahawa SEMUA bahagian UMNO telah bersetuju' sedangkan ahli-ahli akar umbi di peringkat cawangan-cawangan belum lagi bermesyuarat, mengundi dan memilih pemimpin-pemimpin mereka?

2. Bila masanya ahli-ahli akar-umbi telah bersuara dan memberi izin kepada perhubungan UMNO negeri untuk membuat keputusan sesama pemimpin sahaja TANPA merujuk ahli-ahli akar-umbi?

3. Apakah tindakan perhubungan UMNO negeri mengeluarkan kenyataan tersebut sebelum mulanya mesyuarat cawangan dan bahagian, adalah untuk 'menutup' mulut ahli-ahli ?

4. Apakah ahli-ahli UMNO dari akar-umbi tidak boleh menggunakan hak mereka terlebih dahulu untuk menentukan sendiri pilihan mereka tanpa sekatan atau disekat?

5. Apakah perhubungan UMNO negeri sudah lupa bahawa kuasa sebenarnya terletak di tangan ahli-ahli UMNO dan bukannya hak mereka untuk membuatkan keputusan sesama mereka?



Melanggar Perlembagaan UMNO ?


Persoalannya, apakah tindakan perhubungan UMNO negeri Pulau Pinang mengeluarkan kenyataan bahawa “SEMUA bahagian telah membuat PERAKUAN akan mencalonkan kedua-dua pemimpin tersebut” telah melanggar FASAL 20 di dalam Perlembagaan UMNO itu sendiri ?

Sila rujuk Fasal tersebut:-

FASAL 20
DISIPLIN

20.12 Majlis Tertinggi berkuasa penuh membuat kaedah-kaedah dan peraturan-peraturan berkaitan dengan Tataetika Ahli UMNO, yang di antara lain:-


- melarang penyalahgunaan kuasa dan wang dengan tujuan mendapat undi atau sokongan


- atau untuk mempengaruhi mana-mana pemilihan bagi pihak sendiri atau bagi pihak lain


- atau supaya jangan mengundi mana-mana orang dalam mana-mana pemilihan parti.

Dan jika berdasarkan kepada perenggan tersebut, tindakan Perhubungan UMNO negeri boleh diintepretasikan sebagai menyalahgunakan kuasa untuk mendapat undi atau sokongan.


Oleh kerana mesyuarat cawangan dan bahagian belum lagi dijalankan, tindakan perhubungan UMNO negeritersebut telah terlebih dahulu cuba mempengaruhi mana-mana pemilihan untuk pihak lain (Pak Lah dan DS Najib.)


Tindakan perhubungan negeri Pulau Pinang tersebut secara tidak langsung telah mengheret nama Pak Lah dan DS Najib di dalam keputusan mereka itu.


HUKUMANNYA


20.9 Mana-mana ahli yang melanggar peruntukan Perlembagaan ini atau Tataetika Ahli UMNO boleh dikenakan mana-mana hukuman yang tersebut dibawah:


(a) Diberi amaran;
(b) Digantung hak-haknya dalam parti;

(c) Dilarang daripada bertanding bagi mana-mana jawatan dalam parti ataupun sebagai calon dalam Pilihan Raya Negeri atau Umum bagi mana-mana tempoh yang ditentukan oleh Majlis Tertinggi;
(d) Dipecat daripada parti;
(e) Dikenakan lain-lain hukuman yang difikirkan wajar dan selaras dengan Perlembagaan ini.



Walaubagaimana pun, penulis tidak memberi komen mengenai tindakan perhubungan UMNO negeri Pulau Pinang yang mengeluarkan kenyataan akhbar yang sama (27hb April 2008) sebaik sahaja selesai PRU-12 kerana penulis tahu bahawa ianya strategi politik dan tidak menyalahi Fasal 20.


Akan tetapi, kenyataan akhbar perhubungan UMNO negeri Pulau Pinang pada 27hb April 2008 itu turut menimbulkan keraguan kerana ianya bertentangan dengan kenyataan mereka pada 12hb April 2008 iaitu "badan Perhubungan UMNO Pulau Pinang tidak menafikan ada permintaan daripada beberapa UMNO bahagian negeri itu yang mahukan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi melepaskan jawatan ekoran prestasi buruk parti itu dalam pilihan raya umum lalu."


Tetapi kali ini, di musim mesyuarat cawangan-cawangan dan bahagian yang bakal tiba, kenyataan perhubungan negeri UMNO itu tidak dapat diterima dan tidak sensitif kepada perasaan ahli-ahli UMNO dari akar-umbi.


Pak Lah akan membuat lawatan kerja ke negeri-negeri lain selepas ini. Apa yang diharapkan ialah agar perhubungan UMNO negeri-negeri tersebut tidak mengulangi tindakan perhubungan UMNO Pulau Pinang.


Pak Lah tentu bersetuju dengan penulis bahawa transperensi di dalam politik dan menghargai ahli-ahli UMNO adalah elemen-elemen yang sangat penting serta perlu dititikberatkan oleh pemimpin-pemipin UMNO hari ini.


Realitinya, pemimpin-pemimpin UMNO perlu menghormati dan cuba meraih kembali keyakinan seluruh ahli UMNO dari akar-umbi. Ahli-ahli perlu dilihat sebagai seorang yang mempunyai makna kepada parti dan bukan hanya 'pak turut' dan untuk mencukupi korum mesyuarat sahaja.

Mesyuarat cawangan dan bahagian UMNO kali ini merupakan titik tolak kepada survival UMNO di masa hadapan. Maksudnya, ahli-ahli UMNO mesti terlibat secara langsung di dalam decision making parti.

Itu yang paling mustahak !!

Dan bukannya sebagai 'yes man' dan 'mengangguk tak tentu pasal' sahaja. Jika 'tradisi' begini masih berlaku, UMNO berkemungkinan tidak relevan, dibenci, dijauhi dan akan jatuh tersungkur seperti parti Golkar dan lain-lain.

Sumber: Minda Intelek Melayu

Jumaat, 11 Julai 2008

PKR bukan parti melayu....


Hari ini saya terbaca satu artikel mengenai "PKR-Umno 'bertaut' di Rembau", dan terlinas di fikiran saya tentang berapa banyakkah parti-parti politik di Malaysia tercinta ini yang memperjuangkan melayu dan islam? Yg jelas dan terang lagi nyata cuma UMNO dan PAS.

Ramai yang telah maklum bahawa perlembagaan negara telah mentakrifkan Melayu sebagai pengamal, penganut dan pelaksana ajaran Islam. Perkara ini sangat difahami oleh bangsa cina terutamanya sehinggakan jika ada individu berbangsa cina memeluk agama islam akan dirujuk sebagai "masuk melayu" oleh mereka.

Tidak perlu saya ulas tentang bagaimana UMNO memperjuangkan melayu dan PAS mempertahankan idealogi Islamiknya.

PKR bagaimana?
Parti-perti seperti PKR, PPP, Gerakan, DAP dan lain-lain parti seumpamanya mempunyai keahlian terbuka -> berbilang bangsa; perlembagaan mereka sama bermakna tiada perjuangan secara khusus untuk bangsa. Cuma senario pada hari ini bilangan ahli PKR adalah melayu lebih sedikit dari bilangan ahli dari bangsa lain, maka ia dipandang kononnya sebagai parti melayu.

Maka, jika ada diantara orang-orang melayu mengatakan PKR adalah parti melayu, saya menganggap orang tersebut sebagai dibutakan dan dikaburi oleh pengasas PKR. Apatah lagi melayu yang menjadi ahli PKR.... diperbodoh secara terang-terangan....

Rabu, 9 Julai 2008

KARPAL DAN MAT SABU DEDAHKAN SALAHLAKU SEKS ANWAR

Mungkin ramai yang tidak menyedari bahawa Karpal Singh dan Mat Sabu, Naib Presiden PAS sekarang adalah merupakan orang pertama yang mendedahkan salahlaku seks Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 1998 semasa DAP mengadakan Konvensyen mereka di Kuala Lumpur.

Karpal Singh telah menegaskan di hadapan ahli-ahli DAP di konvesyen itu dan mendakwa bahawa dia mempunyai bukti bahawa Timbalan Perdana Menteri pada masa itu melakukan salahlaku seks yang teruk. Dia turut mencabar Perdana Menteri pada masa itu, Tun Dr Mahathir mengambil tindakan ke atas Anwar kerana salahlaku seksnya dan membicarakan Anwar. Pendedahan salahlaku Anwar oleh Karpal Singh berlaku 5 bulan sebelum salahlaku seks Anwar didedahkan kepada umum oleh Dr Mahathir.


Pelik tetapi benar, apabila dua orang pemimpin Pakatan Rakyat adalah orang pertama yang membuat tuduhan terhadap Anwar dan hari ini mereka amat menyanjungi Anwar. Tentu sukar untuk mempercayai bahawa orang yang sama membuat dakwaan pertama tentang salahlaku Anwar ialah orang yang sama turut menjadi sebahagian daripada pasukan peguambela Anwar dalam kes tersebut. Tetapi kenapa Karpal Singh yang pernah menuduh Anwar dengan tuduhan tersebut, bertindak menjadi peguambela bagi kes yang sama? Tidakkah ini kelihatan seperti “ada udang di sebalik batu “? Lebih menghairankan lagi apabila Anwar sendiri rela diwakili oleh Karpal Singh yang pernah menuduhnya melakukan salahlaku seks. Atau adakah disebabkan dendam Karpal Singh terhadap Tun Dr. Mahathir pada masa itu?

Penulis berpendapat Anwar bersetuju menerima Karpal sebagai sebahagian pasukan peguambelanya kerana beliau tidak perlu malu dan segan untuk dia meluahkan segala rahsia seksnya kerana yakin Karpal sendiri sudah mempunyai maklumat yang sama apabila membuat dakwaan sebelum ini. Jadi Anwar tidak perlu berselindung dengan Karpal dan memudahkan Karpal Singh mengatur strategi untuk membela Anwar dalam perbicaraan nanti. Pada masa itu, Karpal Singh mengambil peluang ini untuk menawarkan khidmatnya sebagai peguambela Anwar. Karpal sedar bahawa Anwar akan terpaksa mendedah segala maklumat penting bagi membolehkannya membela Anwar.

Jadi, boleh disimpulkan bahawa setiap sejarah hidup, perilaku dan tindakan yang pernah diambil oleh Anwar sudah berada di tangannya. Karpal juga mengambil kesempatan untuk menjadi popular apabila membuat tuduhan bahawa ada konsipirasi untuk membunuh Anwar menggunakan asernik dan sebagainya. Hakikat sebenarnya tuduhan konspirasi ini tidak pernah wujud kerana apabila diperiksa oleh pihak doktor tiada sebarang sisa arsenik dalam tubuh badan Anwar. Malah jika benar dakwaan Wan Azizah bahawa Anwar disuntik oleh virus HIV, penulis yakin Anwar sudahpun meninggal dunia hari ini kerana penyakit AIDS. Tidakkah Anwar sudah masuk ke perangkap Karpal Singh sehingga beliau bebas melakukan segala bentuk konspirasi selepas ini? Tidakkah Anwar telah dicucuk hidung dan bakal diheret kemana-mana oleh DAP.

Kenapakah sekarang DAP dan Karpal Singh setuju sebulat suara untuk melantik Anwar sebagai PM sekiranya Pakatan Rakyat berjaya menubuhkan Kerajaan Pusat.
Alasannya cukup mudah dan hebat!. Semasa menjadi peguambela Anwar, Karpal telah berjaya mengumpulkan banyak bukti hasil pengakuan Anwar sendiri dalam usaha untuk membebaskan dirinya daripada tuduhan salahlaku seks. Penulis yakin Karpal Singh dan DAP masih menyimpan bukti-bukti ini bagi mengawal tindakan Anwar apabila dia menjadi PM nanti. Kita tahu bahawa sememangnya terdapat peruntukan undang-undang yang mewajibkan peguam menyimpan rahsia anak guamnya.

DAP dan Karpal Singh mandapat faedah yang besar jika mereka berjaya memastikan Anwar Ibrahim mengikut telunjuk mereka dengan bukti-bukti yang ada pada Karpal. Anwar yang sememangnya gilakan populariti sudah pasti tidak berani untuk melawan kerana bimbang rahsia yang memalukan akan terdedah kepada umum terutama penyokongnya yang setia. Jika ini berlaku, setiap tindakan dan keputusan Anwar tentunya akan memihak kepada Karpal Singh dan DAP. Pada masa itu nanti, orang Melayu hanya mampu melihat tanpa dapat melakukan apa-apa tindakan. Jadi siapa sebenarnya yang melakukan dan mengatur konspirasi, DAP dan Pas ataupun Barisan Nasional?

Nasihat kepada Anwar Ibrahim supaya jangan pandai membuat tuduhan melulu kepada kerajaan. Belajarlah dari pengalaman yang lepas siapa yang sebenarnya melakukan konspirasi terhadap anda. Ingat satu jari anda menuding kepada orang lain, empat jari menuding kepada anda kembali. Tidak hairanlah kalau Karpal Singh menyokong kecaman Amerika terhadap Malaysia untuk menunjukkan sokongannya terhadap Anwar sebagai membalas sokongan Anwar mempertahankannya dalam kes biadapnya terhadap Sultan Perak. Anuar dan Karpal Singh ibarat lagu dan irama yang tak dapat dipisahkan. Jika kes liwat terbaru ini naik ke mahkamah, adakah Anuar akan melantik Karpal Singh sebagai peguambelanya. Sama-samalah kita tunggu dan lihat?

Yang benar,
Rakyat Marhaen
Contributed by pejuangbebas

Internet: Pengkhianat Atau Penyelamat?

HERDIKAN Perdana Menteri Abdullah Ahmad Badawi terhadap media yang berasaskan Teknologi Maklumat dan Komunikasi(ICT) seperti blog, laman perkongsian fail YouTube dan sistem pesanan ringkas (SMS) wajib dipandang berat.

Jelas daripada kenyataan yang dimukahadapankan oleh hampir semua akhbar arus perdana hari ini bahawa Perdana Menteri telah membuat “kerja rumah” atau telah dinasihati oleh pihak-pihak tertentu yang tahu mengenai peranan ICT dalam pembentukan pendapat umum.

Bahasa yang digunakannya boleh dianggap keras dan mengancam. Beliau menggunakan istilah seperti pengkhianatan, perbuatan khianat, pembohongan, “treason” dan “treachery.”

Beliau menuduh pengguna saluran siber ini sebagai tidak menunjuk hormat kepada prinsip-prinsip Rukun Negara.

Katanya segala fitnah dan pembohongan yang disebarkan melalui blogs dan YouTube tidak menyumbang ke arah mewujudkan perasan lega dan keyakinan di kalangan rakyat jelata.

Eloklah kalau Perdana Menteri sendiri kini mengakui secara terbuka di hadapan kakitangan awam mengenai kesan dan implikasi media yang berlandaskan ICT ini terhadap pendapat umum.

Walaupun mungkin ada pihak yang akan melihat kenyataan Abdullah itu sebagai ancaman atau permulaan kepada satu tindakan yang lebih keras, saya melihatnya sebagai sesuatu yang positif.

Kalau pendukung pemerintahan dan jentera mereka mahu mengambil iktibar daripada artikulasi Perdana Menteri itu, mereka akan segera mendalami, memahami dan menangani isu ini.

Pertama, bukan semua blog dan kandungan YouTube berunsur politik. Malah di negara kita, lebih banyak blog berupa blog peribadi yang tidak menyentuh politik.

Kedua, bukan semua blog politik dan kandungan politik YouTube dikendalikan oleh orang politik atau wartawan yang mahir dalam hal ehwal politik.

Dan ketiga, bukan semua blog anti-pemerintah atau dikendalikan oleh pembangkang. Banyak juga blog dimiliki atau dikendalikan oleh ahli politik pemerintah dan penyokong kuatnya.

Mungkin ada blog atau pemblog yang antikerajaan, yang membuat fitnah dan melanggar prinsip-prinsip Rukun Negara. Kalau ini terbukti, tindakan sivil dan jenayah boleh diambil ke atas mereka.

Tetapi pasti ada juga blog yang dikendalikan secara profesional dan rasional walaupun kritikal terhadap pemerintah dan parti pemerintah.

Sedikit sebanyak mereka telah menyumbang ke arah memberi kesedaran dan membantu pemerintah memperbetulkan beberapa kesilapan.

Misalnya, dalam isu penjualan Pantai Holdings Berhad kepada syarikat Singapura, Parkway Holdings Limited. Pada mulanya Perdana Menteri sendiri menafikan di dalam akhbar bahawa ada syarikat tempatan yang jatuh ke tangan asing.

Tetapi, beberapa minggu kemudian beliau mengaku bahawa Pantai Holdings telah jatuh ke tangan asing dan Khazanah Nasional Berhad terpaksa dikerah untuk membeli balik kawalan syarikat itu dengan belanja yang besar.

Begitu juga dalam isu-isu sensasi yang lain seperti pemberian kontrak Petronas di dalam dan luar negara kepada Scomi Berhad dan pembelian aset awam Avenue Capital oleh ECM Libra.

Kalau pemblog boleh disifatkan sebagai tidak menghormati prinsip-prinsip Rukun Negara, pemerintah pun boleh disifatkan demikian di dalam beberapa tindak-tanduknya.

Misalnya, ketika krisis pelantikan Menteri Besar Perlis dan Terengganu selepas pilihan raya umum 8 Mac lalu di mana peranan Istana telah dipertikaikan.

Lagipun, adalah terlalu mudah (simplistic, convenient) menyalahkan portal berita bebas, blog dan YouTube tanpa mengkaji dan memahami mengapa rakyat jelata memilih dan mempercayai mereka.

Salah satu sebab adalah media massa arus perdana tidak menyiarkan berita dan maklumat yang dianggap tidak memihak kepada pemerintah.

Kalau disiarkan pun, berita dan maklumat itu kerap kali diolah semula agar memihak kepada pemerintah atau sekurang-kurangnya tidak memberi kesan negatif kepada pemerintah.

Sama ada benar atau hanya persepsi semata-mata, ramai orang hari ini melayari Internet untuk mendapatkan maklumat dan bertukar-tukar fikiran daripada mengikuti media massa arus perdana.

Oleh sebab media massa arus perdana begitu berkait rapat dengan pemerintahan, maka kredibilitinya dan kredibiliti pemerintah saling kait-mengait.

Sama ada kandungan media Internet penuh pembohongan, fitnah dan konspirasi seperti yang didakwa oleh Perdana Menteri, kebenaran mutakhir bergantung kepada proses undang-undang dan kehakiman yang sedang berjalan sekarang.

Kebenaran mutakhir akan muncul dan pihak-pihak yang tertuduh akan mendapat pengadilan yang saksama hanyalah jika proses penyiasatan, penuduhan, pembelaan dan penghakiman dibenarkan berlaku tanpa sebarang gangguan, campur tangan dan ancaman oleh sesiapa pun.

posted by A KADIR JASIN

Selasa, 8 Julai 2008

Perjanjian Pangkor II - Bukti Nizar hanya MB Boneka DAP

Perjanjian Pangkor 2 ini ditandatangi antara Nga Kor Ming (Pengerusi DAP Perak) dengan Nizar Jamaluddin. Lihatlah apa yang telah berlaku sekarang bila Karpal Singh (Pengerusi DAP) telah mula berani mencabar Sultan dan tidak menghiraukan lagi undang undang.

Perjanjian Pangkor merupakan satu perjanjian yang ditandatangani pada 20 Januari 1874 antara Sir Andrew Clarke di pihak Inggeris dan Raja Abdullah ibni Sultan Ja’afar Mua’azzam Shah.

Perjanjian ini memberi kebenaran untuk Inggeris mencampuri urusan negeri Perak. Dengan perjanjian ini ianya telah membuka kepada campur tangan Inggeris secara rasmi dalam urusan negeri Melayu. Perjanjian ditandatangan di atas kapal HMS Pluto.

Kemudian, Gabenor Sir Andrew Clarke berani bertindak menjalan dan menurunkan Sultan Ismail yang bersemayam di Tanjong Belanja, Parit dari pangkat Sultan dan membenarkan Sultan

Ismail memakai gelaran “Sultan Muda” dengan memberi pencen seribu ringgit tiap-tiap bulan. Che Ngah Ibrahim tidak lagi diakui sebagai pemerintah Larut. Ini kesan Perjanjian Pangkor yang pertama. Apa pula Perjanjian Pangkor 2?

Ianya adalah surat perjanjian antara DAP dan wakil PAS bagi membolehkan PAS menjadi Menteri Besar di Perak. Menurut beberapa orang penyokong PAS, Nizar Jamaluddin (MB Perak) telah tandatangan surat ini secara terpaksa. Di kalangan pemimpin PAS yang tahu tentang surat perjanjian ini enggan mengulas lanjut tentang perjanjian ini kerana ianya memalukan pihak PAS sendiri.

Antara isi kandungan Perjanjian Pangkor 2 ialah:

1) Nizar Jamaluddin sebagai MB Perak tidak boleh menyebut Perak akan menjalankan pemerintahan Islam.

2) Nizar Jamaluddin sebagai MB tidak boleh menyebut mana mana terma yang berkaitan dengan PAS atau bahasa Arab seperti Hudud, Qisas dan lain lain lagi.

3) Nizar Jamaluddin sebagai MB tidak boleh membuat keputusan sendiri sebagai kuasa MB sebaliknya semua perkara yang ingin dibuat perlu diperakukan oleh semua Exco Perak terlebih dahulu.

4) Pembahagian Exco yang diputuskan adalah 6 wakil Exco DAP, 3 wakil Exco PKR dan 1 wakil PAS. DAP juga menuntut Speaker DUN Perak dari wakil DAP.

Perjanjian Pangkor 2 ini ditandatangi antara Nga Kor Ming (Pengerusi DAP Perak) dengan Nizar Jamaluddin. Lihatlah apa yang telah berlaku sekarang bila Karpal Singh (Pengerusi DAP) telah mula berani mencabar Sultan dan tidak menghiraukan lagi undang undang.

Apa yang Nizar buat? Hanya berdiam diri kerana sudah terikat dengan perjanjian? Kalau Dato’ Hishamuddin boleh mohon maaf kerana hunus keris, mengapa Karpal Singh yang hina Sultan ini tidak boleh mohon maaf? Bukankah tindakan Karpal ini lebih racist dari itu? Mana dia Ketua Pembangkang dalam Pakatan Rakyat? Kenapa tidak tegur pun Karpal Singh ini.... -pembelamelayu

Isnin, 7 Julai 2008

BATALKAN ISKANDAR MALAYSIA (WPI)?

Majoriti komen berkaitan kehilangan kedaulatan Malaysia ke atas Pulau Batu Putih yang dikirimkan ke blog kudakepang sejak Jumaat 23 Mei 2008, mendesak pemerintah kita mengkaji semula Iskandar Malaysia supaya projek mega itu dibatalkan buat selama-lamanya.

Iskandar Malaysia diumumkan kewujudannya oleh Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, di Johor Bahru, Johor, pada 30 Julai 2006.

Pada mulanya, projek mega ini hanya seluas 1,970 kilometer persegi dan dikenali sebagai Pembangunan Wilayah Selatan Johor (SJER). Kemudiannya, ia dikenali sebagai Wilayah Pembangunan Iskandar (WPI), merangkumi kawasan seluas 2,217 kilometer persegi - tiga kali ganda saiz Singapura atau 48 kali ganda keluasan Putrajaya. Selepas PRU12, projek ini dikenali sebagai Iskandar Malaysia

Sewaktu mengumumkan projek mega ini Abdullah berkata: ‘‘Ini cadangan saya. Bukan orang lain yang beri idea ini. Idea ini idea saya untuk memperkasakan pembangunan.. pembangunan yang boleh menjadi pemacu pembangunan negara kita supaya kita dapat mencapai matlamat Wawasan 2020.”


Kata Abdullah lagi, wilayah ini “memberi tanah yang begitu luas. Kawasan ini ada kelebihan. Kawasan ini mempunyai harga tanah yang tidak begitu tinggi berbanding tempat yang lain.”

Bagaimanapun, tidak lama selepas pengumuman Abdullah, satu demi satu kisah kontroversi mengenai projek mega ini mula menjelma.

Pertama sekali adalah mengenai zon akses bebas yang membolehkan sesiapa sahaja daripada Singapura masuk ke wilayah projek mega ini tanpa menggunakan apa-apa dokumen perjalanan. Perkara ini dibantah sekeras-kerasnya oleh rakyat Malaysia. Akhirnya kerajaan pun membatalkan keistimewaan berkenaan.

Seterusnya adalah mengenai penyertaan usahawan Bumiputera atas dasar merit. Maksudnya, semangat Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang diterapkan ke dalam Dasar Pembangunan Nasional (DPN) tidak relevan di Iskandar Malaysia. Kontroversi ini berlarutan hingga ke hari ini.

Kemudian wujud pula kisah sebidang tanah yang dipercayai sudah digazetkan oleh kerajaan untuk dijadikan pusat pemerintah pertahanan selatan oleh Kementerian Pertahanan. Gazet ke atas tanah ini dikatakan telah dibatalkan supaya tanah berkenaan dijadikan kawasan pembangunan komersil. Tiada sesiapa memberikan komen mengenai hal ini sehingga sekarang.

Terbaru sekali adalah ura-ura pembinaan sebuah jambatan raya atau super bridge daripada Singapura ke Iskandar Malaysia. Sebuah syarikat perunding dikatakan telah mengenalpasti lokasi paling sesuai untuk super bridge ini. Salah satu lokasi yang dicadangkan adalah daripada Singapura menuju betul-betul ke arah Nusajaya - pusat pentadbiran Kerajaan Negeri Johor yang baru. Satu kertas kerja mengenai jambatan raya ini sudah pun dibentangkan di persidangan “North of the Border” di Ritz Carlton Hotel, Singapura, pada 27 Jun 2007.

Apa yang menarik mengenai jambatan raya adalah ciri-ciri strukturnya yang kalis bom. Setiap hala lorongnya pula adalah lebih lebar daripada jambatan biasa. Ini kerana jambatan seperti ini lazimnya dibina berasaskan keperluan ketenteraan dan lain-lain perkiraan strategik berkaitan dengannya.

Oleh itu, segolongan rakyat Malaysia prihatin pun berasa cuak dan prasangka akan matlamat sebenar di sebalik ura-ura pembinaan jambatan berkenaan yang kononnya didayausahakan oleh pihak Singapura.

Satu lagi maklumat mengenai Iskandar Malaysia yang tidak dihuraikan oleh Abdullah dan kurang diketahui oleh rakyat jelata adalah kisah di sebalik penubuhannya. Seorang blogger di Johor mendakwa bahawa penubuhan Iskandar Malaysia adalah idea Setiausaha Politik Abdullah bernama Dr. Vincent Lim, bekas anak didik Singapura dan graduan Universiti Oxford.

Sejak di peringkat gagasan, Singapura dikatakan dilibatkan sepenuhnya dalam merangka projek mega ini. Blogger yang sama mendakwa bahawa matlamat akhir Iskandar Malaysia adalah mewujudkan wilayah yang dikenali sebagai The Greater Singapore atau Singapura Raya!

Demikianlah antara profil ringkas Iskandar Malaysia. Kini majoriti rakyat Malaysia, terutamanya warga Johor, bimbang projek mega ini akan menjadi satu malapetaka di hari muka. Mereka bimbang, Iskandar Malaysia mungkin suatu hari kelak dituntut kedaulatannya oleh pihak asing.

Adakah kebimbangan seperti di atas munasabah dan perlu diartikulasikan dengan lebih tuntas dan rinci? Adakah pemerintah kita sensitif terhadap kebimbangan seperti ini? Bolehkah Iskandar Malaysia dibatalkan demi kedaulatan negara di hari muka?

Fikir-fikirkanlah dan sampaikan pandangan ikhlas anda menerusi blog ini. Salam perjuangan. – Ruhanie Ahmad

SELAMATKAN NEGARA-BANGSA

Ikut senario politik hari ini, Tan Sri Muhyiddin Yassin tergolong sebagai salah seorang pemimpin UMNO yang serius untuk selesaikan nasib malang yang menimpa partinya, BN, kerajaan dan masa depan rakyat jelata. Beliau berani ambil risiko menyatakan kebenaran. Beliau mengenepikan soal kedudukan demi kepentingan negara-bangsa.

Tapi agak aneh bila suara dan tindakan Muhyiddin, sama seperti suara Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tengku Razaleigh Hamzah, nampaknya macam tidak diterima baik oleh pucuk pimpinan tertinggi UMNO, BN dan kerajaan. Lain-lain personaliti di peringkat pusat, negeri dan bahagian juga seolah-olah dirasuk sindrom pak turut belaka.

Jika inilah corak dan rentaknya wadah perjuangan utama negara-bangsa Malaysia, alamat haru-birulah destini kita bersama. Ini mesti dielakkan dari berlaku. Keputusan segelintir minoriti yang berkuasa tidak seharusnya dipaksakan ke atas rakyat jelata yang jadi sumber kekuasaan dan mempunyai aspirasi yang berbeza.

Saya cadangkan Mahathir, Razaleigh dan Muhyiddin gemblengkan minda dan tenaga dengan segera demi agama, bangsa, negara. Pemimpin peringkat negeri, bahagian dan akar umbi wajar berikan sokongan penuh kepada gabungan ini untuk menyelamatkan negara-bangsa.

Ketepikanlah polemik siapa akan jadi Presiden UMNO dan Perdana Menteri selepas Abdullah. Semua ini hanya diversion untuk alihkan fokus kita kepada masalah yang sebenar, mendesak, strategik dan utama.

Apa kata kalau kita mulakan misi menyelamatkan negara-bangsa ini secara serius, terancang, menyeluruh dan berkesan mulai 11 Mei 2008 – harijadi UMNO 62 tahun? Mulai tarikh ini, seluruh cawangan, bahagian dan badan perhubungan UMNO di seluruh negara perlu adakan sesi muhasabah diri. Sesudah itu, kita salurkan hasilnya kepada Mahathir, Razaleigh dan Muhyiddin. Moga-moga gerakan penuh sopan dan santun ini menghasilkan manfaat yang kita mahukan. Mudah-mudahan kita diberkati Allah dalam usaha ini. Mudah-mudahan kita berjaya. - Putera Bentan

Nota: Pandangan di atas adalah reaksi kepada posting Suara Muhyiddin (4). Cadangan ini amat menarik kerana UMNO berusia 62 tahun pada Ahad, 11 Mei 2008. Soalnya, berapa ramai warga UMNO sanggup dan sedia bertindak seperti yang disarankan oleh Putera Bentan? – Ruhanie Ahmad

UMNO BERUSIA 62 TAHUN DALAM SITUASI DARURAT

Pada Ahad, 11 Mei 2008, UMNO menjangkau usia 62 tahun. Senario siasah yang melatarbelakangi kedewasaan ini amat berbeza dengan tahun-tahun sebelumnya. Kali ini UMNO dalam keadaan rapuh. Ia baru sahaja ditimpa bala yang dimanifestasikan menerusi keputusan Pilihan Raya Umum (PRU) 12 kira-kira dua bulan lalu.

Hakikatnya begitu kerana dalam PRU12, UMNO yang jadi induk Barisan Nasional (BN), kehilangan kuasa pemerintahan di Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Selangor. Ia gagal menebus maruahnya di Kelantan yang dikuasai PAS sejak 1990. Majoriti undi calon-calon BN di Johor – bumi kelahiran UMNO – merosot dengan amat ketara sekali. BN juga hanya memperolehi majoriti tipis di peringkat kerajaan pusat.

Sehingga hari ini belum ada satu post-mortem secara serius dan menyeluruh dilakukan oleh UMNO. Agak sukar untuk memastikan mengapa begini realitinya. Segelintir kecil pemimpin UMNO yang lantang ke arah usaha menghapuskan musibah yang menimpa UMNO dan BN cuma disifatkan sebagai sinar dalam gerhana – kelihatan kelam, suram dan berbalam-balam.

Gagasan dan pandangan kelompok ini selaras dengan aspirasi warga UMNO dan rakyat Melayu yang jadi simpatisan UMNO di peringkat akar umbi. Malangnya, suara dan usaha kelompok ini seolah-olah dipersenda-senda dan diperkecil-kecilkan. Lebih serius lagi, suara dan usaha ini juga disifatkan oleh sesetengah pihak sebagai penentangan kepada pucuk pimpinan parti.

Keadaan seperti ini amat ironis. Setelah ditimpa musibah sehingga kehilangan kuasa di empat buah negeri, majoriti pembesar UMNO seolah-olah masih beranggapan bahawa UMNO hari ini adalah serupa dengan yang semalam.

Walau dalam situasi darurat, mindset pemimpin besarnya masih terus berada dalam zon selesa. Walau sudah diberikan “kad merah” menerusi PRU12, pemain yang perlu dibuang padang masih terus bermain seperti sediakala. Mungkinkah ini petanda awal bahawa UMNO sedang menuju kehancuran?

Lantaran itu, 11 Mei 2008 wajar dijadikan tarikh asas permulaan UMNO membuat muhasabah diri secara ikhlas, jujur, serius dan menyeluruh. Pelbagai aspek mengenai UMNO, termasuk matlamat, falsafah, roh dan jiwa perjuangannya perlu dituntasi secara rinci.

Usaha di atas wajar dihalusi secara makro dan mikro. Antara lainnya, usaha ini wajar merangkumi aspek-aspek berikut:

Satu: Halusi semula seluruh Fasal 3 Perlembagaan UMNO untuk memastikan sama ada parti ini masih lagi “berjuang mendukung cita-cita Kebangsaan Melayu demi mengekalkan maruah dan martabat bangsa, agama dan negara.”

Dua: Adakah matlamat UMNO dalam Fasal 3.1 perlembagaannya yang memaktubkan bahawa parti ini “mempertahankan kemerdekaan dan kedaulatan negara” memang benar-benar satu realiti pada saat dan ketika ini. Jika matlamat ini sudah tergelincir atau menyimpang, bukankah ianya mesti segera diperbetulkan seperti sediakala?

Tiga: Aspek insaniah di dalam UMNO perlu dirungkai dan dikaji sedalam-dalamnya. Ini penting untuk memastikan bahawa sesiapa sahaja yang dimandatkan menjunjung obor perjuangan parti di seluruh peringkat adalah pihak yang benar-benar memberikan sinar pembelaan demi rakyat jelata dan bukan diri sendiri.

Empat: Aspek insaniah ini juga perlu dikaji dan dirungkai sedalam-dalamnya supaya soal kepimpinan, kesetiaan dan kesetiakawanan dalam UMNO adalah benar-benar demi agama, bangsa dan tanahair dan bukannya demi sesuatu kelompok tertentu, lebih-lebih lagi elemen asing tertentu yang sedang berusaha mewujudkan hegemoni politik, sosial, ekonomi dan ketenteraan mengikut agenda geopolitik global dan serantau.

Lima: Berkaitan aspek insaniah ini juga, fikirkanlah keperluan mendesak supaya penerapan, pengukuhan dan penyemarakan daya juang dan jiwa perjuangan di kalangan seluruh warga UMNO, khususnya kelompok pemimpinnya, adalah keutamaan semasa yang wajar dilaksanakan secara terancang, konsisten dan berkesan menerusi satu blueprint yang mengandungi perincian etika, disiplin, prosidur dan gerak kerja yang standard.

Enam: Usaha-usaha sosialisasi siasah atau kerja-kerja memasyarakatkan UMNO wajar dilaksanakan pada setiap masa, di semua peringkat dan merangkumi pelbagai kegiatan, khususnya di sektor akar umbi.

Demikianlah antara pandangan saya selaku ahli akar umbi parti yang berusia hanya setahun lebih muda daripada UMNO. Saya mengemukakan pandangan ini demi masa depan agama, bangsa dan negara.

Pendek kata, seluruh matlamat, asas dan falsafah perjuangan UMNO yang termaktub di dalam perlembagaan parti wajar dikaji dinamismenya supaya boleh dijadikan program dan aktiviti.

Aspek-aspek perjuangan yang strategik pula wajar dijajarkan semula dengan Perlembagaan Persekutuan, Rukunegara dan Wawasan 2020. Ini mungkin boleh membentengi apa jua usaha untuk mempolemik dan mempolitikkan kontrak sosial supaya ia tidak melunturkan seluruh ciri-ciri keindukan Islam dan Melayu-Bumiputera dalam negara yang multi-etnik.

Lantaran itu, alangkah murninya jika “amanat khas” yang akan disampaikan oleh pembesar UMNO kepada seluruh warga parti di Kuala Lumpur Ahad ini sudi menimbangkan suara akar umbi yang cetek seperti di atas.

Lantaran itu juga, amat meleset sekali jika sambutan UMNO 62 tahun tersebut hanya untuk “mengingati perjuangan para pemimpin terdahulu yang berjaya membangunkan negara sehingga rakyat pelbagai kaum menikmati kemajuan dalam pelbagai bidang.”

Akhir kata, sekali lagi insafilah bahawa UMNO kini bukannya UMNO semalam. UMNO hari ini adalah UMNO yang dalam darurat. UMNO hari ini adalah UMNO yang wajar direkayasan serta diperkasakan semula. UMNO hari ini adalah parti yang dituduh sudah tidak relevan dengan zaman. UMNO ketika ini mestilah dipimpin oleh pembesar-pembesar yang berani mengakui bahawa PRU12 akan menjadi musibah yang lebih parah di hari muka jika tuntutan, hasrat dan aspirasi warga akar umbinya mutakhir ini hanya diperlekeh dan diperkecil-kecilkan. - Ruhanie Ahmad