Titah Sultan/Raja ibarat permata yang sangat berharga. Umat melayu sepatutnya menjaga dan memelihara kemuliaan institusi Raja Melayu ini sebaik-baiknya.
UMNO ditubuhkan dengan beberapa sebab dan salah satu sebab utamanya adalah untuk memelihara kedaulatan Raja dan Sultan dari dipermainkan oleh penjajah, dan UMNO telah berjaya membuktikannya.
Saya sering terfikir kenapa bukan Raja dan Sultan Melayu yang melaksanakan proses menuntut kemerdekaan. Pada waktu itu kita tiada kerajaan kerana sedang dijajah, pada waktu itu telah wujud Hak Istimewa Raja-Raja Melayu yang diiktiraf undang-undang dunia sehinggakan walaupun sedang dijajah namun setiap urusan berkaitan tanah dan kawasan yang dirancang oleh penjajah perlu kebenaran oleh Raja Melayu. Raja Melayu mempunyai kapasiti untuk menuntut kemerdekaan pada waktu itu, tetapi mengapa bukan Raja Melayu yang menjalankannya?
Kerana umat melayu pada ketika itu bersatu hati ingin memelihara Daulat Raja Melayu. Semenjak perjuangan menolak Malayan Union lagi, para pemimpin pengasas UMNO telah berusaha sedaya upaya supaya setiap tindakan mereka tidak membebankan Sultan dan Raja. Pemimpin UMNO pada ketika itu telah menjangkakan laluan yang sukar perlu dilalui untuk menuntut kemerdekaan dan tidak akan membiarkan Raja Melayu dipermainkan. Kerana itulah proses menuntut kemerdekaan dilaksanakan oleh UMNO yang bertindak sebagai wakil kepada Raja Melayu.
Itu hanya sedikit gambaran ringkas bagaimana orang-orang melayu memelihara kedaulatan raja suatu ketika dahulu. Namun pada hari ini keadaan agak berbeza, Raja dan Sultan telah bertitah untuk menjaga orang-orang melayu. Dan hari ini saya berasa terharu tetapi sangat sedih sekali lagi apabila mendengar Raja Melayu terus bertitah untuk memelihara orang-orang melayu. Terharu kerana Sulatan sanggup mencemar duli demi untuk kesejahteraan orang melayu, dan sedih kerana gagalnya melayu terpaksa melibatkan Raja dan Sultan.
Sila baca: Titah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan Sultan Azlan Muhibbuddin Shah di acara penyerahan memorandum oleh Gabungan Melayu Perak di Istana Iskandariah, Kuala Kangsar.
“…Bersatulah sebagaimana belum pernah kita bersatu dahulu dan berusahalah sebagaimana belum pernah kita berusaha. Tunjukkanlah bahawa kita ini sebenar-benarnya keturunan datuk nenek kita yang pernah menghadapi merbahaya dengan bersatu hati. Dengan bersatu itu sahaja akan dapat kita menghadapi masa yang akan datang dengan harapan akan jaya cita-cita kita itu”. – Dato’ Onn Ja’afar Persidangan Kongres Melayu 1 Mac 1946
1 ulasan:
Daulat Tuanku!
Catat Ulasan