Selasa, 14 Oktober 2008

Kekalkan amanat akar umbi

"Perjalanan masih jauh," itulah salah satu komen yang diterima oleh penulis daripada calon-calon yang bertanding dalam pemilihan UMNO kali ini. Istilah 'perjalanan masih jauh' ini bukan sahaja dizahirkan oleh calon yang sudah layak, malah yang masih memburu pencalonan pun memberi ulasan yang sama.

Sememangnya, pencalonan amat penting dan melalui sistem kuota yang dilaksanakan oleh UMNO, pemilihan di peringkat bahagian ibarat 'pusingan kelayakan' sebelum calon-calon yang terpilih bertanding pada 'pemilihan akhir' Mac depan. Walaupun sesetengah calon sudah pun layak tetapi timbul kerisauan di kalangan mereka apakah momentum sokongan yang diberikan akan berterusan?

Ini kerana sejarah pemilihan UMNO sudah membuktikan berkali-kali bahawa memiliki pencalonan yang tinggi acap kali berakhir dengan 'tragedi' pada pemilihan yang bakal berlangsung di Perhimpunan Agung UMNO.

Oleh itu dalam memburu pencalonan ini, biarlah ia ditentukan secara tulen oleh ahli-ahli UMNO di peringkat akar umbi dan bukannya bersandarkan kepada kehendak kepimpinan bahagian.

Adalah sesuatu yang merugikan jika pencalonan dilakukan kerana kehendak kepimpinan bahagian sedangkan di peringkat akar umbi mereka menolak pemimpin yang dicalonkan itu.

Justeru semangat akar umbi bukan sahaja harus diterjemahkan ketika mesyuarat bahagian malah lebih kritikal lagi ia perlu disemarakkan ketika pemilihan akhir nanti. Sebarang tindakan mengkhianati semangat akar umbi tersebut hanya akan mendatangkan keburukan kepada UMNO dalam pilihan raya umum akan datang.

Sehingga kelmarin, jelas sebahagian besar pencalonan terutama bagi jawatan Timbalan Presiden, Naib Presiden, Ketua Pemuda dan Naib Ketua Pemuda dilakukan melalui pengundian terbuka oleh ahli-ahli akar umbi. Ketika ini mungkin kepimpinan bahagian merasakan mereka ada calon pilihan sendiri tetapi ia mungkin tidak serasi dengan kehendak akar umbi.

Ini kerana pencalonan tidak harus bersandarkan kepada usaha untuk 'membalas budi' atau 'mengambil hati' mana-mana pemimpin. Sebaliknya ia harus berteraskan kepada keupayaan dan kemampuan seseorang calon itu membawa panji-panji perjuangan parti dalam berhadapan dengan pembangkang dalam pilihan raya umum akan datang.

Tindakan memberi pencalonan untuk 'membalas budi' atau 'mengambil hati' bukan sahaja tidak akan menguntungkan UMNO malah calon itu sendiri. Ini kerana mungkin di peringkat bahagian beliau mendapat sokongan yang kuat tetapi bagaimana dengan pengundian nanti?

Penentu

Apakah perwakilan yang melangkah ke Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pada Mac ini akan membawa semangat berkenaan atau ia ditinggalkan semata-mata bagi memburu 'apa yang ada' di PWTC nanti?

Namun begitu apa yang perlu difahami oleh kepimpinan dan ahli di peringkat bahagian bahawa UMNO berada dalam zon bahaya. Pemilihan kali ini akan menjadi penentu seperti kata seorang calon Naib Ketua Pemuda sama ada "UMNO membina kekuatan atau dikuburkan" oleh rakyat dalam pilihan raya nanti.

Berdasarkan hakikat itu, pemilihan barisan kepimpinan hatta untuk satu pencalonan sekalipun haruslah dilontarkan kepada calon-calon yang benar-benar layak dan hanya yang terbaik sahaja melepasi pusingan kelayakan ini. Ini bermakna dalam membuat pemilihan, ahli-ahli UMNO bukanlah berpandu semata-mata kepada cita rasa mereka tetapi juga apakah cita rasa rakyat di luar UMNO.

Selain itu, mereka juga perlu menyingkirkan sebarang sentimen ketika membuat pencalonan sebaliknya berpandu kepada hasrat mewujudkan satu barisan kepimpinan UMNO yang ampuh dan mantap bukan sahaja demi masa depan parti itu malah demi memperjuangkan agenda Melayu dan umat Islam.

Bagi penganalisis politik Prof. Dr. Mohamed Mustafa Ishak, kempen dan pertarungan sebenar hanya akan berlaku selepas calon-calon disenarai pendek apabila mesyuarat bahagian berakhir November nanti.

"Kekuatan sebenar tiap-tiap calon hanya dapat dinilai selepas pencalonan selesai. Tetapi persoalannya apakah semangat pencalonan akan diterjemah sepenuhnya dalam pengundian nanti? Ini satu perkara penting yang para perwakilan UMNO harus fikirkan demi survival parti itu," katanya.

Setakat ini adalah jelas ahli-ahli UMNO akur dengan pelan peralihan kuasa, apabila memberi sokongan padu kepada Datuk Seri Najib Tun Razak untuk dicalonkan menduduki kerusi Presiden yang akan dikosongkan oleh Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Mengemudi

Mereka memahami bahawa Najib perlu mendapat pencalonan lengkap kerana beliau bakal mengemudi bahtera UMNO, Barisan Nasional (BN) dan kerajaan. Bagi kerusi Timbalan Presiden pula, setakat ini sudah ada isyarat yang jelas siapa yang ahli-ahli UMNO mahu untuk menjadi pembantu terbaik kepada beliau.

Tanpa mahu menyebelahi mana-mana calon tetapi berasaskan kepada pencalonan setakat ini adalah jelas Tan Sri Muhyiddin Yassin difikirkan oleh ahli-ahli UMNO paling layak menduduki jawatan berkenaan.

Perjalanan bagi Muhyiddin masih jauh. Walaupun beliau dijangka tidak menghadapi masalah untuk melepasi kuota bertanding tetapi ada harapan yang besar di kalangan sebahagian besar pemimpin dan ahli UMNO agar pemilihan peringkat Timbalan Presiden tidak sampai ke pusingan akhir. Ertinya, berakhir ketika mesyuarat bahagian sahaja.

Ini kerana dalam kedudukan UMNO sekarang biarpun kita sering mendengar bahawa ini adalah 'pemilihan persahabatan' tetapi demi secebis kuasa segala-galanya boleh berlaku. Apa pun ia adalah hak ahli-ahli UMNO menentukannya.

Apa yang pasti berdasarkan track record perkhidmatan dalam parti dan kerajaan serta karisma yang dimiliki, rakyat di luar UMNO sendiri mampu menilai siapa paling layak berganding dengan Najib.

Semangat akar umbi juga dilihat berterusan di peringkat Naib Presiden apabila beberapa calon yang sebelum ini dikatakan tidak begitu menonjol mula mendapat pencalonan tertinggi termasuklah Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein yang dilaporkan memperolehi pencalonan melalui pengundian terbuka.

Langkah mendapat pencalonan melalui cara itu jelas membuktikan bahawa beliau menjadi pilihan akar umbi dan bukannya berasaskan kepada penilaian sesetengah pemimpin bahagian sahaja. Sekali lagi, persoalan timbul sejauh manakah kehendak akar umbi ini akan direalisasikan pada pemilihan akhir nanti.

"Kita berharap momentum yang memaparkan kehendak akar umbi ini berterusan, ini kerana buat pertama kalinya pencalonan yang diperolehi adalah melalui pengundian terbuka.

''Keadaan ini berbeza berbanding pemilihan lalu di mana walaupun calon mendapat pencalonan yang tinggi, tetapi ia berdasarkan kehendak kepimpinan bahagian, bukan akar umbi," kata seorang pemimpin kanan UMNO kepada penulis ketika dihubungi.

Suara akar umbi adalah suara keramat ia juga adalah suara rakyat biasa yang bukan ahli UMNO dan sudah pasti ia juga ibarat denyut nadi pengundi-pengundi yang sedang memerhati dengan teliti proses menyediakan barisan kepimpinan oleh UMNO.

Seperti mana kata Muhyiddin dalam wawancara dengan Mingguan Malaysia, "Tiada gunanya kita melakukan sesuatu kalau ia ditolak oleh rakyat."

Begitulah juga dalam menyediakan barisan kepimpinan ini, ahli-ahli UMNO di peringkat bahagian perlu benar-benar menilai keupayaan seseorang.

Mereka tidak boleh menganggap 'beri sahaja pencalonan dan biarkan perwakilan tentukan', sedangkan dalam sistem kuota, kekurangan satu pencalonan sahaja boleh menyebabkan seorang pemimpin berwibawa kehilangan peluang untuk bertanding.

Biarlah pemilihan akhir nanti kalaupun berlaku pertandingan, ia berasaskan pertembungan memilih yang terbaik di kalangan terbaik dan bukannya menjadi bahan jenaka serta menimbulkan keraguan di kalangan rakyat berhubung masa depan kepimpinan UMNO.

Jika tidak timbul kesedaran di kalangan ahli UMNO untuk memberi pencalonan hanya kepada pemimpin-pemimpin yang mantap dan berwibawa, rakyat sudah pasti tidak akan menunggu bulan Mac untuk memutuskan sama ada mereka hendak menyokong UMNO atau tidak.

Mereka akan awal-awal lagi menolak parti itu. Oleh itu pastikan suara akar umbi bukan sahaja didengari tetapi juga dipatuhi.

Oleh Zulkiflee Bakar

4 ulasan:

Kembara Politik berkata...

Kan cantik jika PAU tidak ditunda. Ikut jadual asal Disember ini. Nak tunggu sehingga Mac 2009 mcm2 boleh berlaku. Banyak bezanya jika ikut jadual dgn buat Mac depan...

Secara peribadi saya lebih suka PAU Disember 2008...masa terhad akan menghentikan segala kemungkinan aktiviti tidak sihat.

azlishukri berkata...

sama2 kita doakan UMNO tetap utuh.

Tanpa Nama berkata...

Perjuangan orang mukmin itu ibarat air, jika ada empangan di hadapannya, ia akan mendaki atau melencong ke kanan atau ke kiri. Jika tidak boleh juga, ia akan masuk ke dalam tanah, akhirnya ia akan celus juga ke sebelah.

UMNO PARTI PENJARA berkata...

Failure :-(
>> http://teampemudaumno.blogspot.com