Petikan artikel wawancara Prof Diraja Ungku Aziz tentang perlunya sifat 'kiasu' didalam diri bangsa Melayu:
Orang Melayu perlu mempunyai sifat kiasu, iaitu sentiasa mahu menjadi nombor satu atau yang terbaik dalam apa jua bidang yang mereka ceburi, kata pakar ekonomi dan cendekiawan negara, Prof Diraja Ungku Aziz Ungku Abdul Hamid di sini hari ini.
Beliau berkata, walaupun sifat kiasu, perkataan Hokkien yang bermakna ‘terlalu takut untuk kalah’ mempunyai kebaikan dan keburukannya, dan orang Melayu perlu mengambil aspek keberaniannya dalam berusaha mencapai kecemerlangan dalam kehidupan mereka.
Sifat kiasu itu adalah antara tujuh kebaikan yang perlu dimiliki orang Melayu untuk berjaya yang digariskannya pada Forum Khas Konvensyen Pertanian Kebangsaan 2007 yang bertemakan ‘Melayu Dalam Pertanian: Dulu, Kini dan Akan Datang’ di sini hari ini.
Ungku Aziz berkata, orang Melayu juga perlu mempunyai sikap berani serta berani menanggung risiko, selain sifat siddique yang bermakna ‘berkata benar’ serta beramanah, telus dan mempunyai sifat ingin tahu.
Beliau berkata, sebelum zaman penjajahan, orang Melayu terkenal sebagai pedagang di rantau ini berikutan keberanian mereka mengembara menjaja barangan dagangan di peringkat antarabangsa serta berani mengambil risiko.
‘‘Malangnya dengan kedatangan British, orang Melayu telah ditindas dan minda serta pemikiran mereka dipengaruhi secara halus menyebabkan sehingga kini masih tidak mampu bangkit untuk mencapai kecemerlangan zaman Kesultanan Melayu,’’ katanya.
Bagaimanapun beliau yakin orang Melayu, terutama yang terlibat dalam bidang usahawan akan menggubah sikap mereka secara automatik dengan lebih menitikberatkan ilmu dan sentiasa berusaha bagi memajukan diri kerana wujudnya sikap ‘ingin tahu’ untuk membangun dan memperluaskan bidang yang mereka ceburi.
Terdahulu, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam ucaptamanya turut menyentuh mengenai pentingnya orang Melayu mempunyai sikap kiasu.
“Kita kena fikirkan, cari jalan dan kaedah, bagaimana kita boleh ubah minda dan fikiran orang Melayu terhadap diri mereka sendiri dan persekitarannya supaya mereka boleh jadi kiasu, aktif, gila kerja, tak suka duduk diam, sungguh-sungguh, setia, bertanggungjawab, cinta serta sayangkan bangsa dan agamanya,” katanya.
Naib Presiden UMNO itu berkata: “Kita perlu membentuk satu pandangan hidup orang Melayu, memperbetulkan world view mereka dengan cara yang baru dan konkrit, sistematik dan praktikal.”
Beliau yang tidak menafikan kerajinan orang Melayu bagaimanapun berkata, usaha perlu dilakukan bagi menjadikan mereka lebih rajin, serius dan bersungguh dalam kerjaya.
“Orang Melayu memang mahu jadi kaya tapi mahu ambil jalan yang mudah dan cepat, takut mengambil risiko dan hanya melakukan pelaburan yang paling minimum. Mereka suka membina dunia fantasi, dibuai dengan membayangkan yang indah dan seronok, tetapi hakikatnya mereka tidak serius dan bersungguh melakukan kerja dan tugasan,” katanya.
Muhyiddin berkata, akhirnya orang Melayu menjadi bangsa yang lemah, tidak berani, tidak agresif untuk mencapai kejayaan sehingga timbul cerita seperti ‘agan-angan Mat Jenin’, iaitu jenaka yang menghina bangsanya sendiri.
Beliau berkata, orang Melayu secara relatifnya masih rendah dari segi produktiviti, malah lebih rendah daripada pendatang tanpa izin walaupun mereka tidak ada kemahiran.
“Adakah ini akibat penjajahan yang begitu lama, hampir lebih 500 tahun menyebabkan minda orang Melayu beku dan statik bagaikan tanah yang tidak berbaja dan tidak ditimpa hujan sehingga tanah menjadi gersang dan me‘layu’?” katanya.
“…Bersatulah sebagaimana belum pernah kita bersatu dahulu dan berusahalah sebagaimana belum pernah kita berusaha. Tunjukkanlah bahawa kita ini sebenar-benarnya keturunan datuk nenek kita yang pernah menghadapi merbahaya dengan bersatu hati. Dengan bersatu itu sahaja akan dapat kita menghadapi masa yang akan datang dengan harapan akan jaya cita-cita kita itu”. – Dato’ Onn Ja’afar Persidangan Kongres Melayu 1 Mac 1946
3 ulasan:
Ini retorik lama. Tahun 80'an, kita disuapkan supaya "orang Melayu perlu menjadi kurang ajar". Saranan moden alaf baru oleh intelektual 'terkemuka' seperti Prof Diraja ialah supaya jadi "kiasu". Makanya jadilah orang Melayu kurang ajar dan kiasu. Sakit telinga mendengarkan nasihat 'berguna' macam ni.
Minda manusia (didalam konteks ini minda melayu) perlu sering di kejut dan disegarkan, cara kita menggarap dan menyemai idea2 yang disuapkan yg menentukan kejayaan bangsa.
Saudara 'tanpa nama' nampaknya telah disuapkan dengan idea "orang Melayu perlu menjadi kurang ajar", hasilnya nampak dalam komen saudara.
Kedua2 ideologi yg disebut sebenarnya bertentangan dengan budaya Melayu, tetapi ia diperlukan utk memastikan kemajuan bangsa. Yang penting ialah cara, kaedah dan pendekatan dalam melaksanakannya.
Orang Melayu bukan anak-anak. Pada zaman kolonial, penjajah memandang pribumi sebagi 'anak' yang perlu di'didik' atau di'terperanjatkan' dengan retorik demikian. Baca memoir Frank Swettenham dan saudara akan faham maksud saya. Kalau nak mudah, lihat wayang "Last of the Mohicans", dimanah Magua mambahasakan penjajah Perancis sebagai "My Father" dan kaum dayaknya sebagai "His children.".
Pada hemat saya, yang perlu ialah satu gerakan yang bona fide dan tanpa niat untuk kepentingan politik atau peribadi untuk membangunkan orang Melayu daripada tidurnya. Di kalangan teman-teman dari kalangan professional, ramai yang menjauhkan diri dari NGO atau gerakan yang di'taja' oleh ahli politik kerana jijik dengan agenda mereka. Mereka ini mengendalikan projek jutaan ringgit syarikat-syarikat besar dengan jaya dalam diam tanpa perlu disorak atau diberi pingat. Selain itu badan-badan seperti MARA dsbnya telah diselewengkan untuk kepentingan politik, menjadi 'harta' Menteri dan kroni sebagai alat 'feudal' untuk terus mencengkam pada kuasa.
Hidupkan kembali jentera sebegini melalui injeksi tenaga manusia yang benar-benar ingin memajukan orang Melayu. Ini adalah lebih baik dari melontarkan buah pendapat dan saranan-saranan 'berfaedah' seperti "jadilah kiasu". Sekiranya demikian, lagi baik borak denagn pengunjung warung Jalil dekat Balai Polis Bukit Baru yang juga mampu memberi pendapat dan saranan sedemikian. Sekurang-kurangnya ia akan diusung oleh gelak ketawa :-)
Catat Ulasan