Dalam sejarah UMNO, saya rasa ini adalah kali pertama kita akan dapat melihat penggal paling panjang (5 tahun/sepenggal) sekiranya MKT UMNO memutuskan pemilihan ditangguhkan ke tahun hadapan. Apa yang jelas, berlaku penafian kepada demokrasi dan hak kepada ahli UMNO terutama kepada sayap-sayap UMNO yang mempunyai had umur (Pemuda & Puteri). Ahli Pemuda dan Puteri yang berpotensi memimpin sayap yang sepatutnya dipilih pada pemilihan 18 bulan lalu atau tahun ini terpaksa bergelut didalam UMNO dan Wanita jika pemilihan ditunda dan melebihi had umur mereka.
Selepas kekalahan BN kelmarin, hajat ahli UMNO diperingkat akar umbi yang ingin memperbetulkan kepimpinan diperingkat cawangan contohnya, telah terbantut dan terpaksa menurut kepimpinan yang tidak efektif pada mereka untuk setahun lagi. Pada hemat saya jika ia berlaku, ahli akan jemu dan UMNO akan menanggung akibatnya.
Ia juga seakan-akan menganggap dengan penangguhan pemilihan ini ahli-ahli UMNO akan dapat dipujuk dari api kemarahan mereka sekarang. Jika dilihat pengangguhan pemilihan yang sepatutnya dijalankan 18 bulan dahulu adalah kerana faktor pilihanraya dan ia relevan. Tetapi apakah justifikasi untuk menangguhkannya setahun lagi?
"Cadangan ini bagi mengelakkan 'mala petaka' kepada politik negara kerana dalam keadaan sekarang semua orang tidak boleh berfikir dengan waras," - Tan Sri Muhd Taib
Siapa yang tidak waras? Adakah yang dimaksudkan itu rakyat dan ahli UMNO?
Kepada Ahli-ahli MKT, buatlah keputusan dengan wajar dan dengar keluhan ahli UMNO secara keseluruhan. Jangan 'Kuda'kan ahli setahun lagi.
“…Bersatulah sebagaimana belum pernah kita bersatu dahulu dan berusahalah sebagaimana belum pernah kita berusaha. Tunjukkanlah bahawa kita ini sebenar-benarnya keturunan datuk nenek kita yang pernah menghadapi merbahaya dengan bersatu hati. Dengan bersatu itu sahaja akan dapat kita menghadapi masa yang akan datang dengan harapan akan jaya cita-cita kita itu”. – Dato’ Onn Ja’afar Persidangan Kongres Melayu 1 Mac 1946
Tiada ulasan:
Catat Ulasan