Isnin, 24 Mac 2008

Asal Perjuangan Yang Dilupakan

Saya cuba imbas sedikit rentetan perjuangan bangsa Melayu suatu ketika dahulu, dikala perjuangan bangsa bukan sahaja memelihara bangsa tetapi yang utama memelihara Institusi kesultanan dan Raja-Raja Melayu yang menjadi lambang ketuanan bangsa Melayu:

Menjelang subuh 1 April 1946, hari dianggap padah untuk orang Melayu, Raja-Raja yang bersemayam di Station Hotel, telah bersiap sedia untuk berangkat menghadari upacara perlantikan Sir Edward Gent. Walhal , Baginda sekalian telah dipersembahkan keputusan kedua (2) mesyuarat “Tergempar” (Kongres Melayu Kedua di Batu Road, Kuala Lumpur) oleh pemimpin-pemimpin Melayu pada malam sebelumnya , iaitu, pada malam 31 Mac, memohon supaya Baginda Raja-Raja tidak berangkat menghadiri upacara perlantikan Gabenor Malayan Union itu.

Dengan takdir Tuhan Yang Maha Kuasa, beberapa minit sebelum Raja-Raja berangkat meninggalkan Station Hotel, Dato’ Onn dan pemimipin-pemimpin Melayu lain telah tiba di Hotel itu, dengan tujuan hendak bersama Duli-Duli Yang Maha Mulia sekalian, di saat yang dianggap padah untuk orang Melayu dan Tanah Pusaka mereka.
(Apa yang sebenarnya berlaku telah tidak dimasukkan ke dalam catatan mesyuarat Kongres Tergempar. Namun, perwakilan yang mengetahuinya telah menceritakan peristiwa yang berlaku).

Dengan perasaan kecewa, Dato’ Onn mengingatkan Raja-Raja akan ketetapan orang Melayu, melalui Kongres Tergempar , yang dipersembahkan kepada Baginda sekalian pada malam 31 Mac. Seterusnya, Dato’ Onn telah mempersembahkan sepatah dua kata kepada Baginda sekalian:

“Sekiranya Tuanku sekalian turut menghadiri upacara perlantikan Gabenor Malayan Union itu, rakyat Tuanku sekalian tidak akan mengaku Tuanku sebagai Raja lagi. Rakyat Melayu menganggap bahawa menghadiri majlis istiadat perlantikan Gabenor Malayan Union ialah seolah mengusung jenazah Umat Melayu”.

Menurut punca yang boleh dipercayai, Dato’ Onn dikatakan telah mengingatkan Raja-Raja bahawa rakyat Melayu akan mengamuk sekiranya Baginda turut serta dalam upacara perlantikan Sir Edward Gent, yang secara langsung menandakan penubuhan Malayan Union. Itu adalah pertama kalinya dalam sejarah, Raja-Raja Melayu mendengar amaran tegas rakyat secara terus-terang, dengan telinga mereka sendiri.

Seterusnya, Dato’ Onn mempersilakan Raja-Raja sekalian untuk berangkat ke anjung hotel, di mana mereka dapat melihat sendiri beribu rakyat Melayu sedang berhimpun di bawah, melaung-laungkan “Daulat Tuanku” dan “Hidup Melayu” dengan suara yang bergemuruh dan semangat yang berkobar-kobar. Ada Raja-Raja yang kelihatan mengalirkan air mata, mungkin disebabkan oleh perasaan sesal dan insaf.

- Petikan dari UMNO dan MALAYAN UNION - Lt. Jen. (B) Dato’ Ja’afar Onn

Apa yang jelas, kini rakyat dapat melihat bagai mana pertembungan diantara ‘Demokrasi Berparlimen’ dan ‘Raja Berpelembagaan’ yang selama ini saling melengkapi. Pertembungan yang tidak pernah berlaku sepanjang lebih 50 tahun ini telah terjadi di Terengganu, dan ini menguji kemampuan Pak Lah. Saya sangat pasti walaupun Pak Lah menyuarakan kehendak majoriti ADUN dari Terengganu ini, Titah Perintah Sultan tidak boleh disanggah. Jika ia disanggah, tiada lagi erti perjuangan UMNO membela bangsa.

Yang pasti Pak Lah perlu mengadap dengan pihak Istana bagi menyelesaikan isu yang telah berlarutan lebih dari dua minggu ini. Sepatutnya ia telah dilakukan sebelum watikah perlantikan dikeluarkan lagi, jika dari awal langkah-langkah ini diambil saya pasti tiada pertembungan atau perselisihan faham berlaku. Harus diingat bahawa rakyat pasti akan kurang senang dengan keadaan ini terutama dari kalangan bangsa Melayu.

Sekali lagi saya memohon supaya Pak Lah mengadap pihak Istana untuk menyelesaikan isu ini dengan meletakkan kepentingan dan perjuangan bangsa sebagai keutamaan. DAULAT TUANKU!!!!!

2 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Idris Jusoh is the new "Sir Edward Gent". If the Sultan of Trengganu backs down to appoint Pak Lah's man, it will be like the Malay Sultans bowing to London in 1946. Question is, " Who will act like the old UMNO did in 1946 to face Kuala Lumpur in 2008?".

Tanpa Nama berkata...

Who will act?? I think all the people wanna act, but nobody wanna lead!!!