Rabu, 29 Oktober 2008

Sebagai betung seruas!

Salam para sahabat, maaf kerana tidak dapat menulis kerana kesibukan yang tidak dapat dielak sementara ini. Insyaallah saya dapat meluangkan lebih masa disini selepas ini. Dikala kehangatan pemilihan UMNO sedang membara ini saya ingin berkongsi satu artikel dari Utusan Malaysia untuk renungan bersama.

Kepimpinan: Amanah Yang Berat

Ketika Abu Zarr meminta Rasulullah SAW supaya meletakkan dirinya dalam barisan kepimpinan dan pentadbiran negara, Baginda lantas menyatakan bahawa Abu Zar memiliki kelemahan yang tidak melayakkannya untuk menjawat jawatan sebagai pentadbir negara. Baginda Rasulullah SAW mengingatkan bahawa jawatan sebenarnya amanah yang sangat berat dan amanah ini hanya akan menyebabkan kekesalan dan duka cita semata-mata, kecuali jika jawatan tersebut disandang oleh kalangan yang layak.

Pada ketika yang lain Rasulullah SAW melarang Abdur Rahman bin Samurah r.a daripada meminta-minta untuk menjadi pentadbir negara. Ini kerana penyandangan jawatan atas sebab permintaan adalah suatu tugas yang sukar untuk dilaksanakan. Sebaliknya jika jawatan tersebut disandang atas keperluan negara, tugasan tersebut merupakan sesuatu yang sifatnya lebih mudah untuk dilaksanakan dan ia juga akan menerima bantuan dalam pelaksanaan tugas tersebut.

Kita melihat Sahabat Rasulullah ini hanyalah segelintir dari kalangan yang mendapati bahawa penyandangan jawatan sebagai pemimpin adalah sesuatu yang dipandang hebat dan dihormati. Mereka terlupa di sebalik kehebatan dan penghormatan yang diberi adalah tugas rumit dan sekiranya ia tidak dilaksanakan dengan baik maka menyebabkan kesan yang tidak baik kepada orang bawahan dan juga rakyat. Apabila sampai pada hari pembalasan, maka hanya api neraka yang layak untuk pemimpin yang gagal. Walau bagaimanapun sebagai insan beriman sekalipun teruja untuk menjadi pemimpin, mereka adalah kalangan yang berhati mulia dan berlapang dada kerana tidak menolak teguran atau nasihat yang diberikan.

Sayyidina Abu Bakar al-Siddiq dilihat secara sepakat oleh Sahabat-sahabat sebagai orang yang paling layak untuk menggantikan Rasulullah SAW yang wafat sebagai pemimpin umat Islam. Walau bagaimanapun sifat tawadu' yang ada pada peribadi beliau menjadikan beliau menerimanya dengan penuh rendah diri. Kesedihan yang masih berkabung di dalam hati atas kewafatan Rasulullah SAW juga sangat memberi kesan kepada perasaan beliau pada ketika itu dan menjadikan beliau tidak teruja dengan apa yang diterimanya.

Dalam ucapan sulung sebagai pemimpin, beliau menyatakan pelantikan beliau sebagai pemimpin tidak memadai untuk menjadi lambang bahawa beliau adalah yang terbaik dari kalangan mereka. Seterusnya, beliau mengharapkan sokongan selagi berada dalam kebenaran dan sebaliknya, sekiranya umat Islam melihat sebarang keburukan atau kebatilan daripada pihaknya, maka beliau meminta supaya ditegur dan dibetulkan.

Harapan yang sama juga dimajukan oleh pengganti Khalifah Sayyidina Abu Bakar, iaitu Sayyidina Umar al-Khattab. Sesuai dengan perwatakannya yang sangat tegas dan bengis, seorang lelaki mewakili rakyat menyambut harapan Sayyidina Umar dengan mengatakan bahawa sekiranya Khalifah melakukan penyelewengan, pihak rakyat akan membetulkannya dengan menggunakan ‘mata pedang'.

Selanjutnya dalam satu peristiwa, Khalifah Sayyidina Umar al-Khattab berlapang dada menerima teguran daripada seorang wanita berkenaan saranan Khalifah supaya kadar mas kahwin yang diletakkan oleh pihak pengantin perempuan haruslah rendah kadarnya. Wanita berkenaan menempelak pandangan Khalifah dan menegaskan bahawa sebarang penetapan kadar mas kahwin sememangnya hak pengantin perempuan dan ia tidak sepatutnya dipertikaikan. Khalifah tidak menganggap teguran tersebut sebagai perkara yang memalukan bahkan menegaskan dengan kata-katanya, "Perempuan ini benar dan Umar telah bersalah". Penegasan Khalifah seiring dengan doa beliau sebagai seorang pemimpin yang menyebut sebagai, "Semoga Allah merahmati seseorang yang menunjukkan kepadaku tentang keaiban diriku".

Sifat-sifat berlapang dada yang ditunjukkan oleh pemimpin-pemimpin ulung ini membuktikan mereka adalah kalangan insan yang tinggi taqwanya. Mereka tidak mengejar pangkat dan kedudukan, sebaliknya pangkat dan kedudukan itu digunakan untuk mendapatkan keredaan Allah SWT. Melalui jawatan tersebut mereka membuat keputusan dan dasar-dasar kenegaraan yang memberikan kebaikan kepada agama, rakyat dan negara.

Selanjutnya, sangat menarik untuk kita meneladani keperibadian Khalifah Umar Abdul Aziz yang memerintah dari tahun 717H sehingga 720H, sebagai seorang pemimpin dan ketua negara. Sebelum pelantikan tersebut yang dilakukan oleh Khalifah Sulayman Abdul Malik berlaku, beliau beberapa kali berikhtiar supaya Khalifah Sulayman mengubah keputusannya. Dan apabila beliau menerima pelantikan tersebut, beliau telah merubah budaya dengan meletak jawatan dan memulangkan semula jawatan tersebut kepada rakyat. Memberi kebebasan kepada rakyat untuk memilih calon yang lebih layak untuk memimpin rakyat dan negara. Akan tetapi, disebabkan beliau sememangnya calon yang paling layak dan amat dekat di hati rakyat, maka beliau juga yang akhirnya dipilih. Ini menunjukkan bahawa kesediaan beliau untuk meletak jawatan dan mengundur diri daripada menjadi pentadbir negara adalah disebabkan ketaqwaannya kepada Allah SWT. Ketaqwaan melahirkan kebimbangan untuk menerima tanggungjawab yang amat berat; bimbang sekiranya pelantikan itu hanya mengundang keburukan kepada rakyat dan negara. Kesediaan untuk mengundurkan diri adalah sebahagian daripada usaha memelihara kemaslahatan rakyat.

Daripada pengalaman pemimpin-pemimpin ulung ini, kesediaan menerima teguran, pembetulan sehinggalah ke peringkat berundur diri, bukanlah sikap yang menjatuhkan maruah peribadi. Pengalaman lampau membuktikan sikap dan tindakan tersebut menjadikan golongan rakyat lebih menghormati dan mengkagumi keperibadian pemimpin sebegini. Kebaikan kepimpinan akan dinilai dan dirasai oleh pihak rakyat, maka sia-sialah sikap sesetengah pemimpin yang terus mendakwa dirinyalah yang paling layak untuk memimpin sedangkan rakyat yang menjadi hakimnya.

Selasa, 14 Oktober 2008

Kekalkan amanat akar umbi

"Perjalanan masih jauh," itulah salah satu komen yang diterima oleh penulis daripada calon-calon yang bertanding dalam pemilihan UMNO kali ini. Istilah 'perjalanan masih jauh' ini bukan sahaja dizahirkan oleh calon yang sudah layak, malah yang masih memburu pencalonan pun memberi ulasan yang sama.

Sememangnya, pencalonan amat penting dan melalui sistem kuota yang dilaksanakan oleh UMNO, pemilihan di peringkat bahagian ibarat 'pusingan kelayakan' sebelum calon-calon yang terpilih bertanding pada 'pemilihan akhir' Mac depan. Walaupun sesetengah calon sudah pun layak tetapi timbul kerisauan di kalangan mereka apakah momentum sokongan yang diberikan akan berterusan?

Ini kerana sejarah pemilihan UMNO sudah membuktikan berkali-kali bahawa memiliki pencalonan yang tinggi acap kali berakhir dengan 'tragedi' pada pemilihan yang bakal berlangsung di Perhimpunan Agung UMNO.

Oleh itu dalam memburu pencalonan ini, biarlah ia ditentukan secara tulen oleh ahli-ahli UMNO di peringkat akar umbi dan bukannya bersandarkan kepada kehendak kepimpinan bahagian.

Adalah sesuatu yang merugikan jika pencalonan dilakukan kerana kehendak kepimpinan bahagian sedangkan di peringkat akar umbi mereka menolak pemimpin yang dicalonkan itu.

Justeru semangat akar umbi bukan sahaja harus diterjemahkan ketika mesyuarat bahagian malah lebih kritikal lagi ia perlu disemarakkan ketika pemilihan akhir nanti. Sebarang tindakan mengkhianati semangat akar umbi tersebut hanya akan mendatangkan keburukan kepada UMNO dalam pilihan raya umum akan datang.

Sehingga kelmarin, jelas sebahagian besar pencalonan terutama bagi jawatan Timbalan Presiden, Naib Presiden, Ketua Pemuda dan Naib Ketua Pemuda dilakukan melalui pengundian terbuka oleh ahli-ahli akar umbi. Ketika ini mungkin kepimpinan bahagian merasakan mereka ada calon pilihan sendiri tetapi ia mungkin tidak serasi dengan kehendak akar umbi.

Ini kerana pencalonan tidak harus bersandarkan kepada usaha untuk 'membalas budi' atau 'mengambil hati' mana-mana pemimpin. Sebaliknya ia harus berteraskan kepada keupayaan dan kemampuan seseorang calon itu membawa panji-panji perjuangan parti dalam berhadapan dengan pembangkang dalam pilihan raya umum akan datang.

Tindakan memberi pencalonan untuk 'membalas budi' atau 'mengambil hati' bukan sahaja tidak akan menguntungkan UMNO malah calon itu sendiri. Ini kerana mungkin di peringkat bahagian beliau mendapat sokongan yang kuat tetapi bagaimana dengan pengundian nanti?

Penentu

Apakah perwakilan yang melangkah ke Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pada Mac ini akan membawa semangat berkenaan atau ia ditinggalkan semata-mata bagi memburu 'apa yang ada' di PWTC nanti?

Namun begitu apa yang perlu difahami oleh kepimpinan dan ahli di peringkat bahagian bahawa UMNO berada dalam zon bahaya. Pemilihan kali ini akan menjadi penentu seperti kata seorang calon Naib Ketua Pemuda sama ada "UMNO membina kekuatan atau dikuburkan" oleh rakyat dalam pilihan raya nanti.

Berdasarkan hakikat itu, pemilihan barisan kepimpinan hatta untuk satu pencalonan sekalipun haruslah dilontarkan kepada calon-calon yang benar-benar layak dan hanya yang terbaik sahaja melepasi pusingan kelayakan ini. Ini bermakna dalam membuat pemilihan, ahli-ahli UMNO bukanlah berpandu semata-mata kepada cita rasa mereka tetapi juga apakah cita rasa rakyat di luar UMNO.

Selain itu, mereka juga perlu menyingkirkan sebarang sentimen ketika membuat pencalonan sebaliknya berpandu kepada hasrat mewujudkan satu barisan kepimpinan UMNO yang ampuh dan mantap bukan sahaja demi masa depan parti itu malah demi memperjuangkan agenda Melayu dan umat Islam.

Bagi penganalisis politik Prof. Dr. Mohamed Mustafa Ishak, kempen dan pertarungan sebenar hanya akan berlaku selepas calon-calon disenarai pendek apabila mesyuarat bahagian berakhir November nanti.

"Kekuatan sebenar tiap-tiap calon hanya dapat dinilai selepas pencalonan selesai. Tetapi persoalannya apakah semangat pencalonan akan diterjemah sepenuhnya dalam pengundian nanti? Ini satu perkara penting yang para perwakilan UMNO harus fikirkan demi survival parti itu," katanya.

Setakat ini adalah jelas ahli-ahli UMNO akur dengan pelan peralihan kuasa, apabila memberi sokongan padu kepada Datuk Seri Najib Tun Razak untuk dicalonkan menduduki kerusi Presiden yang akan dikosongkan oleh Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Mengemudi

Mereka memahami bahawa Najib perlu mendapat pencalonan lengkap kerana beliau bakal mengemudi bahtera UMNO, Barisan Nasional (BN) dan kerajaan. Bagi kerusi Timbalan Presiden pula, setakat ini sudah ada isyarat yang jelas siapa yang ahli-ahli UMNO mahu untuk menjadi pembantu terbaik kepada beliau.

Tanpa mahu menyebelahi mana-mana calon tetapi berasaskan kepada pencalonan setakat ini adalah jelas Tan Sri Muhyiddin Yassin difikirkan oleh ahli-ahli UMNO paling layak menduduki jawatan berkenaan.

Perjalanan bagi Muhyiddin masih jauh. Walaupun beliau dijangka tidak menghadapi masalah untuk melepasi kuota bertanding tetapi ada harapan yang besar di kalangan sebahagian besar pemimpin dan ahli UMNO agar pemilihan peringkat Timbalan Presiden tidak sampai ke pusingan akhir. Ertinya, berakhir ketika mesyuarat bahagian sahaja.

Ini kerana dalam kedudukan UMNO sekarang biarpun kita sering mendengar bahawa ini adalah 'pemilihan persahabatan' tetapi demi secebis kuasa segala-galanya boleh berlaku. Apa pun ia adalah hak ahli-ahli UMNO menentukannya.

Apa yang pasti berdasarkan track record perkhidmatan dalam parti dan kerajaan serta karisma yang dimiliki, rakyat di luar UMNO sendiri mampu menilai siapa paling layak berganding dengan Najib.

Semangat akar umbi juga dilihat berterusan di peringkat Naib Presiden apabila beberapa calon yang sebelum ini dikatakan tidak begitu menonjol mula mendapat pencalonan tertinggi termasuklah Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein yang dilaporkan memperolehi pencalonan melalui pengundian terbuka.

Langkah mendapat pencalonan melalui cara itu jelas membuktikan bahawa beliau menjadi pilihan akar umbi dan bukannya berasaskan kepada penilaian sesetengah pemimpin bahagian sahaja. Sekali lagi, persoalan timbul sejauh manakah kehendak akar umbi ini akan direalisasikan pada pemilihan akhir nanti.

"Kita berharap momentum yang memaparkan kehendak akar umbi ini berterusan, ini kerana buat pertama kalinya pencalonan yang diperolehi adalah melalui pengundian terbuka.

''Keadaan ini berbeza berbanding pemilihan lalu di mana walaupun calon mendapat pencalonan yang tinggi, tetapi ia berdasarkan kehendak kepimpinan bahagian, bukan akar umbi," kata seorang pemimpin kanan UMNO kepada penulis ketika dihubungi.

Suara akar umbi adalah suara keramat ia juga adalah suara rakyat biasa yang bukan ahli UMNO dan sudah pasti ia juga ibarat denyut nadi pengundi-pengundi yang sedang memerhati dengan teliti proses menyediakan barisan kepimpinan oleh UMNO.

Seperti mana kata Muhyiddin dalam wawancara dengan Mingguan Malaysia, "Tiada gunanya kita melakukan sesuatu kalau ia ditolak oleh rakyat."

Begitulah juga dalam menyediakan barisan kepimpinan ini, ahli-ahli UMNO di peringkat bahagian perlu benar-benar menilai keupayaan seseorang.

Mereka tidak boleh menganggap 'beri sahaja pencalonan dan biarkan perwakilan tentukan', sedangkan dalam sistem kuota, kekurangan satu pencalonan sahaja boleh menyebabkan seorang pemimpin berwibawa kehilangan peluang untuk bertanding.

Biarlah pemilihan akhir nanti kalaupun berlaku pertandingan, ia berasaskan pertembungan memilih yang terbaik di kalangan terbaik dan bukannya menjadi bahan jenaka serta menimbulkan keraguan di kalangan rakyat berhubung masa depan kepimpinan UMNO.

Jika tidak timbul kesedaran di kalangan ahli UMNO untuk memberi pencalonan hanya kepada pemimpin-pemimpin yang mantap dan berwibawa, rakyat sudah pasti tidak akan menunggu bulan Mac untuk memutuskan sama ada mereka hendak menyokong UMNO atau tidak.

Mereka akan awal-awal lagi menolak parti itu. Oleh itu pastikan suara akar umbi bukan sahaja didengari tetapi juga dipatuhi.

Oleh Zulkiflee Bakar

Khamis, 9 Oktober 2008

Belayar sambil memapan, merapat sambil belayar

Satu pengorbanan besar pemimpin.

Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, tidak akan mempertahankan jawatan Presiden UMNO pada pemilihan umno Mac tahun depan.

Beliau yang membuat keputusan itu dalam taklimat Dewan Tertinggi Barisan Nasional (BN) sebentar semalam, tidak mahu melihat berlakunya perpecahan dalam BN.

DS Abdullah berkata beliau akan terus melaksanakan beberapa inisiatif bagi pengukuhan daya saing negara dalam menghadapi cabaran global.

Dengan keputusan itu, bermakna proses peralihan kuasa oleh Paklah kepada Timbalannya, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak, yang sebelum ini ditetapkan pada Jun 2010, diawalkan setahun.

HINDRAF KURANG AJAR, UMPAMA MELUDAH KEATAS SEJADAH!!!

Setelah 30 hari kita berpuasa di bulan Ramadhan, kita dituntut untuk merayakan kejayaan menjalani ibadat puasa pada 1 Syawal.

1 Syawal adalah hari dimana umat Islam beribadat dengan cara merayakannya (berlandaskan syariat). Sehinggakan pada hari tersebut juga diharamkan umat islam berpuasa.



Pada Hari Raya Aidilfitri, sekumpulan penyokong Hindraf telah bertindak menyerahkan patung beruang dan kad hari raya semasa majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Perdana Menteri dan anggota kabinet. Kad raya yang diserahkan meminta Perdana Menteri membebaskan beberapa pemimpin Hindraf yang ditahan di bawah ISA. Mengapa semasa Hari Raya Aidilfitri pun Hindraf datang dengan cara yang kurang ajar begini?

Kumpulan Hindraf ini terlalu kurang ajar kerana mencemari Aidilfitri, mencemari Majlis Rumah Terbuka yang di adakan oleh pemimpin negara, sudahlah datang tanpa di jemput kemudian buat hal pula. Mengapa orang melayu duduk diam sahaja? Apa tindakan yang di ambil terhadap Hindraf?

Hari Raya (bulan Syawal) adalah bulan yang mulia bagi umat islam dan bulan ini adalah bulan kemenangan dan bulan kemaafan, tetapi jangan pula ingin mengambil kesempatan terhadap bulan yag mulia ini.

Telah genap seminggu kejadian 'Pelampau Tamil a.k.a HINDRAF', masih tiada tindakan tegas yang diambil keatas meraka.

Kita harus pastikan Hindraf sedar akan ke dududukan mereka dan jangan sangat keterlaluan dan jangan ingat orang melayu senyap tanda takut.