Jumaat, 29 Ogos 2008

Sejarah Jalur Gemilang

Surat Hamzah ketika menghantar rekaan bendera Malaysia.
JALUR GEMILANG yang dilihat sekarang sebenarnya wujud beberapa tahun sebelum negara merdeka. Sejarah sepintas lalu, merekodkan Bendera Persekutuan Tanah Melayu diilhamkan menerusi satu pertandingan mereka cipta bendera peringkat kebangsaan. Pertandingan dikelolakan Jawatankuasa Khas dan dipengerusikan Ketua Setiausaha Negara ketika itu, Sir Alec Newboult dianjurkan bagi mencari lambang kewujudan kerajaan Persekutuan.

Pada 15 November 1949, Jawatankuasa ini mengemukakan 373 reka bentuk bendera kepada Majlis Perundangan Persekutuan untuk pertimbangan dan pemilihan. Daripada jumlah itu, tiga rekaan disenarai pendekkan membabitkan lambang keris bersilang dikelilingi 11 bintang pecah lima manakala rekaan kedua mempertaruhkan reka bentuk hampir serupa kecuali 11 bintang pecah lima membentuk dua bulatan mengelilingi keris bersilang.

Bagaimanapun, rekaan ketiga ciptaan arkitek Jabatan Kerja Raya Johor, Mohamed Hamzah yang menampilkan sebelas jalur biru-putih dengan bulan bintang berwarna putih di bahagian tepi kiri mendapat pilihan majoriti dan perkenan Mesyuarat Majlis Raja-raja yang berlangsung pada 22 dan 23 Februari 1950.



<--- Mohamed Hamzah


Sebelum kekal dengan rekaan sekarang, beberapa pindaan dibuat termasuk mengikut cadangan Sultan Kedah yang meminta warna putih bulan sabit ditukar kuning bagi mewakili warna Diraja.

Pada 19 April 1950, Majlis Perundangan Persekutuan menerusi perkenan Majlis Raja-raja Melayu meluluskan usul yang dibentangkan Pemangku Ketua Setiausaha Negara mengenai Bendera Persekutuan Tanah Melayu.

Pada 26 Mei tahun yang sama, bendera itu dikibarkan buat pertama kalinya di Istana Sultan Selangor, Kuala Lumpur. Majlis pengibaran yang berlangsung pada 9.30 pagi itu dihadiri wakil Sultan seluruh tanah Melayu.

Selama 47 tahun digelar Bendera Malaysia, pada kemerdekaan ke-40 pada 1997, namanya ditukar kepada Jalur Gemilang. Nama diusulkan pegawai dari Jabatan Muzium Negara dan Antikuiti, Redzuan Tamin dalam satu peraduan membabitkan pihak tertentu ini berjaya menewaskan 28 cadangan antaranya, Malaysia Raya, N.U.S.A, Mega Sakti, Saga Merah dan sebagainya.

Jalur Gemilang dalam catatan sejarah

1. Pada 1999, Azhar Mansur, rakyat Malaysia pertama mengelilingi dunia secara solo membawa Jalur Gemilang merentasi Cape Leeuwin di Australia, South Cape di New Zealand, Cape Horn di Amerika Selatan, Kepulauan Fernando de Noronha di Lautan Atlantik dan Cape of Good Hope di Afrika Selatan.

2. Pada 23 Mei 1997, dua pendaki Projek Malaysia-Everest 97, M Magendran dan N Mohandas berjaya memacakkan bendera di puncak Everest setinggi 8,848 meter diseliputi salji selepas kira-kira dua bulan mendaki.


3. Angkasawan Negara, Datuk Dr Sheikh Muszaphar Shukor, membawa bendera Malaysia ketika berada di Stesen Angkasa Lepas Antarabangsa (ISS) selama 11 hari mulai 10 Oktober 2007.

4. Pemain badminton negara, Lee Chong Wei berjaya memenangi pingat perak pada temasya Olimpik Beijing 2008. Beliau sebelum ini pernah memenangi emas pada Sukan Komanwel 2006.

Fakta Jalur Gemilang

Ilham untuk menamakan bendera Malaysia kepada Jalur Gemilang diusulkan Datuk Hashim Mat Idris. Cadangan berkenaan dikemukakan kepada mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir pada 11 Julai 1995.

Pada 1 Julai 1996, Urus setia menguruskan nama mengemukakan 75 cadangan berserta ulasan dan huraian. Tiga nama disenarai pendekkan iaitu Setia Perkasa, Seri Setia Perkasa dan Seri Setia Negara.

Tiga nama ini bagaimanapun ditolak Jemaah Menteri ketika mesyuarat pada 11 September 1996.

28 nama lagi dicadangkan dan pada 2 Jun 1997, tiga nama dicalon mengikut keutamaan iaitu Jalur Gemilang, Jalur Nusa Gemilang dan Jalur Sinar Gemilang.

Pengisytiharan Jalur Gemilang dilakukan Tun Dr Mahathir, pada 31 Ogos 1997, jam 11.58 di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur.


Maksud lambang dan warna;

- Lambang Jalur pada bendera menggambarkan satu laluan lurus, hala tuju dan arah yang sama dianuti rakyat negara ini.

- Gemilang bermaksud bercahaya, terang benderang dan cemerlang. Jalur Gemilang melambangkan kecemerlangan negara dan rakyat Malaysia dalam mengharungi suasana kehidupan dengan penuh gigih, taat dan bersatu padu bagi menjaga nama dan menaikkan imej negara.

- Warna merah pada jalur melambangkan kesanggupan, keberanian, kegagahan dan kegigihan rakyat menghadapi segala cabaran. Warna putih melambangkan keluhuran dan keikhlasan, biru melambangkan perpaduan hidup yang rukun dan damai manakala warna kuning melambangkan kesetiaan rakyat kepada Raja dan negara.

Rabu, 27 Ogos 2008

Siapa yang berkehendakkan Merdeka?

Siapa yang berkorban untuk Tanah Melayu termasuk Temasik demi mencapai 'kemerdekaan'?

Melayu? Cina? India? Banggali? Orang Asli?
Sudah tentu Melayu.

Siapa yang terkorban selepas 'MERDEKA'?
Sudah tentu Melayu.

'Kemerdekaan' tu untuk siapa sebenarnya?
Sudah tentu bukan untuk Melayu sahaja.

Adakah benar Melayu telah merdeka?
Suatu ketika dahulu - Ya
Kini - melayu sedang bergelora dijajah semula.

Mampukah Melayu pertahan kemerdekaan?
Ya, dengan perpaduan Melayu dari akar umbi.

Adakah Melayu masih bersatu padu?
...........

Sebenarnya kita sedang menuju kearah penjajahan selepas merdeka.
Kita tak layak sambut hari 'kemerdekaan' jika kita gagal mempertahankannya.

Untuk mengekalkan kemerdekaan kita perlu perjuangan, pengorbanan dan keikhlasan.

KITA MASIH BELUM MERDEKA!!!! PERJUANGAN WAJIB DITERUSKAN SEMULA.

NYAWA DAN HARTA KITA PERTARUHKAN - MERDEKA!

Wallahualam,

Wassalam.

Melayu Mudah Berubah!!!!

Suatu ketika dahulu dalam satu-satu kampung ikatan persaudaraan antara sanak saudara, jiran tetangga, rakan taulan bagai aur dengan tebing. Sehinggakan satu tahap dimana anak-anak mendapat layanan "Anak aku anak engkau, anak engkau anak aku". Komuniti melayu pada ketika itu begitu menjaga anak bangsanya sehinggakan wujud persefahaman tersebut.

Katakanlah ada seorang anak remaja melayu bernama Kasim yang membuat kesalahan diluar rumah, ada pulak Pak Ngah (Bapa saudara) dapat tangkap lalu dirotannya si Kasim tadi, kemudian dibawa si Kasim ni tadi balik ke rumahnya untuk diserah kepada bapa si Kasim disamping perjelaskan apa yang berlaku. Pak Ngah dapat terima kasih, Kasim dapat pelempang tambahan.

Itu belum kat masjid, kalau kat masjid ada anak-anak nakal yang bermain-main di saf belakang mau kena lelau dengan getah paip takpun dengan rotan segera. Kemudian kalau mak bapak tau, dapat lagi tambahan rotan percuma.

Tapi itu dulu, zaman 20 tahun dulu masih ada melayu yang begitu, yang menganggap anak melayu sebagai anak mereka sendiri.

"Zaman dah berubah, Dunia dah maju"

Berikut adalah petikan dari email yang saya terima dari seorang rakan:

mak sy org singapura, tapi dah dapat kerakyatan malaysia dah lame... adik beradik mak saya masih tinggal di Singapura, ade satu kejadian.. sepupu saya tgh "minum" kat satu bar kat hotel nie.. kebetulan sorg pakcik sy yang lalu kat datang kat bar tu ngan bos dia pasal nak book tpt tu buat party utk company... nak dijadikan cerita sepupu sy ni nampak pakcik sy n KANTOI la citenye... 2 org da cabut.. dapat sorg.. nak tau ape nasihat yang pakcik sya bagi... "korang nak minum.. korang punya pasal..aku xcampur.. pandai2 korang la".. itulah ayat pakcik kepada anak2 buahnya, pakcik yg bole dikategorikan sbg warak... bagi nasihat mcm tu...
kalo malaysia macam mane ek???


Saya pasti perkara yang terjadi diatas juga berlaku di bandar besar dalam 'Malay'sia seperi Kuala Lumpur, Penang, Jb dan byk tempat lagi seluruh 'Malay'sia.

Fikir!

p/s: Doktrin Melayu?

Prinsip-Prinsip Utama Seorang Pemimpin

Agama Islam adalah agama yang sempurna. Ia turun untuk memberikan petunjuk dan dasar yang betul kepada setiap perjalanan kehidupan manusia dengan mencakupi setiap aspek dan sudut.

Betapa sempurnanya Islam, sehinggakan kepada tatacara membuang air juga ia turut diperjelaskan dengan begitu terperinci. Begitu jugalah dalam persoalan yang lebih rumit seperti permasalahan politik dan pentadbiran. Islam memberikan gambaran dan ciri-ciri yang begitu jelas bagi tujuan mewujudkan atau melahirkan kepemimpinan yang berkesan, adil, dan benar. Maka, secara ringkasnya, tulisan yang berikut ini adalah bertujuan membawakan kepada kita berkaitan ciri-ciri utama lagi asas yang perlu dimikili dalam diri setiap pemimpin yang beriman serta bertanggungjawab terhadap jawatan yang dipegangnya untuk sesebuah masyarakat dan negara.

1 – Memiliki Sikap Ikhlas Kerana Allah.

Walau siapapun dia, selagi dia berpegang kepada prinsip-prinsip Islam, dalam apa jua tindakannya, dia mestilah memiliki dan mendahulukan sikap ikhlas di dalam setiap tindakan gerak kerja yang dilakukannya. Seseorang muslim yang sejati, dia perlu memiliki sikap ikhlas yang semuanya adalah kerana mengaharap keredhaan dari Allah. Kerana dia tahu, tujuan dia diciptakan adalah untuk memperhambakan diri (beribadah) kepada Allah Subhanahu wa Ta’ala semata.

“... mereka tidak disuruh kecuali supaya menyembah Allah dengan memurnikan ketaatan kepada-Nya dalam (menjalankan) agama yang lurus” (al-Baiyinah, 98: 5)

“Dan Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka mengabdikan diri kepada-Ku.” (adz-Dzariyat, 51: 56)

2 – Pemimpin Mestilah Dari Kaum Lelaki.

“Tidak akan berjaya suatu kaum yang menyerahkan kepemimpinannya kepada seorang wanita.” (Hadis Riwayat al-Bukhari, 4425, 7099)

Salah satu hikmahnya adalah kerana wanita memiliki beberapa kelemahan dan keadaan yang dapat menghalanginya untuk melaksanakan tugas dengan baik dan sempurna jika dibandingkan dengan kaum lelaki. Wanita memiliki mental dan daya fizikal yang lebih lemah, tidak terlepas dari permasalahan biologi yang fitrah seperti haid, nifas, melahirkan anak, menyusui anak dan seumpamanya.

3 – Tidak Bersikap Meminta-minta Jawatan.

Nabi Shalallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda, “Kamu selalu berusaha untuk menjadi penguasa, padahal akan menjadikan kamu menyesal pada hari Kiamat kelak. Sungguh perkara tersebut (ibarat) sebaik-baik susuan dan seburuk-buruk penyapihan (cerai susu). (Hadis Riwayat al-Bukhari, 7148)

Nabi Shalallahu ‘alaihi wa Sallam juga pernah bersabda kepada Abdur Rahman bin Samurah radhiyallahu ‘anhu, “Ya Abdur Rahman bin Samurah, janganlah engkau meminta jawatan pemerintahan. Apabila jawatan itu diberikan kepadamu disebabkan engkau memintanya, maka jawatan itu sepenuhnya akan dibebankan kepadamu. Namun apabila jawatan itu diberikan bukan kerana permintaanmu, maka engkau akan dibantu dalam memikulnya. Jika engkau bersumpah atas sesuatu perkara, setelah itu engkau melihat ada yang lebih baik dari sumpahmu, maka tunaikan kafaratnya dan lakukanlah apa yang lebih baik.” (Hadis Riwayat al-Bukhari, 7147, Muslim, 1652)

Rasulullah Shalallahu ‘alaihi wa Sallam juga pernah menolak permintaan seorang sahabat yang datang meminta agar diberi jawatan. Beliau bersabda,

“Kami tidak akan memberikan jawatan pemerintahan ini kepada orang yang memintanya dan berusaha untuk mendapatkannya.” (Hadis Riwayat al-Bukhari, 7149, Muslim, 1733. Hadis dari Abu Musa radhiyallahu ‘anhu)

4 – Berhukum Berdasarkan Syariat Yang Betul.

“Dan hendaklah kamu memutuskan perkara di antara mereka menurut apa yang diturunkan Allah.” (al-Ma’idah, 5: 49)

“Maka demi Tuhanmu, mereka (pada hakekatnya) tidak beriman hingga mereka menjadikan kamu hakim terhadap perkara yang mereka perselisihkan, kemudian mereka tidak merasa dalam hati mereka sesuatu keberatan terhadap putusan yang kamu berikan, dan mereka menerima dengan sepenuhnya.” (an-Nisaa’, 4: 65)

Menurut Imam Ibnu Katsir rahimahullah, “Allah Subhanahu wa Ta’ala bersumpah dengan diri-Nya yang Maha Mulia, bahawa seseorang tidak beriman sehingga dia berhukum kepada Rasulullah Shalallahu ‘alaihi wa Sallam dalam setiap urusan dan perkara. Hukum apa sahaja yang beliau tetapkan, itulah kebenaran yang wajib dipatuhi dengan sebaiknya, zahir dan batin. (Rujuk: Shahih Tafsir Ibnu Katsir, terbitan Pustaka Ibnu Katsir, jil. 2, m/s. 572)

Ini adalah suatu kewajiban yang terbesar yang wajib dilaksanakan oleh seseorang pemimpin atau penguasa. Seseorang pemimpin perlu memastikan perjalanan pemerintahannya/pentadbirannya berjalan menepati dasar-dasar syariat agama bermula dari dasar aqidahnya, hukum-hakamnya dan dalam soal membuat keputusan. Seterusnya, sehinggalah kepada sistem pentadbiran, perundangan dan lainnya.

5 – Memutuskan Dan Menetapkan Sesuatu Dengan Adil.

Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman,

“Hai Daud, sesungguhnya Kami menjadikan kamu khalifah (penguasa) di muka bumi, maka berilah keputusan (perkara) di antara manusia dengan adil dan janganlah kamu mengikuti hawa nafsu, kerana ia akan menyesatkan kamu dari jalan Allah. Sesungguhnya orang-orang yang sesat dari jalan Allah akan mendapat azab yang berat, kerana mereka melupakan hari perhitungan.” (Shad, 38: 26)

“... dan (menyuruh kamu) agar sentiasa apabila menetapkan hukum di antara manusia supaya kamu menetapkan dengan adil...” (an-Nisaa’, 4: 58)

Rasulullah Shalallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda,

“Sesungguhnya orang-orang yang berlaku adil, pada hari kiamat kelak, ia berada di atas mimbar dari cahaya di sebelah kanan Allah yang maha Pengasih. Kedua tangan Allah sebelah kanan. (Mimbar tersebut) diberikan untuk orang yang berlaku adil dalam hukum mereka, keluarga mereka, dan yang mereka kuasai.” (Hadis Riwayat Muslim, 1827)

“Tidaklah seseorang lelaki memimpin sepuluh orang, kecuali ia akan didatangkan dalam keadaan tangan yang terbelenggu pada hari Kiamat. Keadilan yang ia lakukan akan melepaskannya dari ikatan, atau kezalimannya akan menjadikannya celaka.” (Hadis Riwayat al-Baihaqi dalam al-Kubra, 10/96)

Maka, atas sebab itulah, seorang pemimpin wajib untuk sentiasa berlaku adil dalam setiap tindakan serta keputusan yang dibuat.

“..berlaku adillah, kerana adil itu lebih dekat kepada sikap taqwa...” (al-Ma’idah, 5: 8)

6 – Bersedia Memenuhi Keperluan Rakyat.

Rasulullah Shalallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda,

“Tidaklah seseorang pemimpin atau penguasa menutup pintunya dari orang-orang yang memiliki keperluan, rayuan serta orang-orang faqir, kecuali Allah akan menutup pintu langit dari keperluannya, rayuan, dan hajatnya.” (Hadis Riwayat Ahmad, 4/231, at-Tirmidzi, 1332)

7 – Memberi Nasihat Kepada Orang Yang Dipimpimnya.

Dari Ma’qal bin Yasar radhiyallahu ‘anhu, Rasulullah Shalallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda,

“Tidak seorang pemimpin yang mengawal selia urusan kaum muslimin, kemudian ia tidak merasa susah payah untuk kebaikan mereka dan menasihati mereka, kecuali pemimpin itu akan masuk ke dalam Syurga bersama mereka.” (Hadis Riwayat Muslim, 142)

Dari Tamim ad-Daari, bahawa Nabi Shalallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda,

“Diin (agama) itu adalah ketulusan (nasihat).” Kami bertanya, “Untuk siapa?” beliau menjawab, “Untuk Allah, kitab-kitab-Nya, rasul-rasul-Nya, pemimpin kaum muslimin dan rakyatnya.” (Hadis Riwayat Muslim, 55)

8 – Tidak Menipu Rakyatnya.

Rasulullah Shalallahu ‘alaihi wa sallam bersabda,

“Tidaklah seorang hamba yang mendapat amanah dari Allah untuk memimpin rakyatnya, lantas dia meninggal pada hari meninggalnya dalam keadaan menipu rakyatnya, kecuali Allah telah haramkan Syurga baginya.” (Hadis Riwayat al-Bukhari, 7150, 7151, dan Muslim, 142)

9 – Tidak Menerima Hadiah.

Apabila seseorang rakyat, atau sekumpulan orang yang dipimpin datang dengan membawa hadiah, pemimpin harus bersiap sedia untuk menolak hadiah tersebut. Ini kerana pertamanya ia boleh menimbulkan fitnah, dan sudah tentu ada yang tidak kena apabila rakyat yang datang memberi hadiah kepada pemerintah. Ini mungkin bertujuan agar pemimpin sentiasa dekat dengan si pemberi hadiah, dan menjadikan pemimpin suka dengan dirinya.

Dalam hal ini, Rasulullah Shalallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda,

“Hadiah-hadiah yang diberikan kepada seseorang pemimpin adalah pengkhianatan.” (Hadis Riwayat at-Thabrani di dalam Mu’jam al-Kabir, 11/11486. Rujuk: Shahih al-Jami’ ash-Shagheir, no. 7054 oleh al-Albani)

“Hadiah-hadiah yang diberikan kepada penguasa adalah pengkhianatan.” (Hadis Riwayat Ahmad, 5/424, al-Baihaqi, 10/138 dari Abu Humaid. Rujuk: Shahih al-Jami’ ash-Shagheir, 7071 oleh al-Albani)

Seorang Gabernor Rasulullah Shalallahu ‘alaihi wa Sallam ada yang berkata, “Yang ini untuk kalian dan yang ini dihadiahkan untukku.” Lantas Rasulullah Shalallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda,

Amma ba’du, mengapa pegawai yang kami angkat berkata, “Yang ini dari hasil pekerjaan kalian, sementara yang ini khusus dihadiahkan untukku?” Mengapa ia tidak duduk sahaja di rumah ayah atau ibunya, lalu ia tunggu, adakah masih ada orang yang mahu memberikan hadiah untuknya ataukah tidak?” (Hadis Riwayat al-Bukhari, 1500, 6979, dan Muslim, 1832 dari Abu Humaid as-Sa’di)

Selain tidak menerima hadiah, ia juga tidak boleh menyembunyikan harta tertentu dan menyimpannya sebagai hak milik peribadinya.

Rasulullah Shalallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda,

“Barangsiapa di antara kamu yang kami tugaskan untuk memimpin lalu ia menyembunyikan satu jarum atau lebih, maka pada hari Kiamat nanti dia akan datang membawanya.” (Hadis Riwayat Muslim, 1833)

10 – Mengambil Dan Bersedia Menerima Nasihat Dari Orang Yang Memahami.

Dari Abu Sa’id radhiyallahu ‘anhu, Nabi Shalallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda,

“Tidak ada nabi yang Allah utus, dan tidak pula ada seorang pemimpin yang Dia angkat, kecuali mereka mempunyai dua jenis teman terdekat. Teman yang menyuruhnya untuk berbuat baik serta selalu mendorongnya untuk berbuat kebaikan, dan teman yang menyuruhnya berbuat jahat serta selalu mendorongnya untuk melakukan tindak kejahatan. Orang yang selamat, ialah orang yang sememangnya mendapat jagaan dari Allah.” (Hadis Riwayat al-Bukhari, 6611, 7198)

Oleh itu, seseorang pemimpin seharusnya mengambil dan mendapatkan khidmat nasihat dari kalangan orang-orang yang berilmu dan taat kepada agama. Dengan itu, penasihat tersebut berupaya memberikan nasihat, peringatan, dan dorongan yang betul di ketika si pemimpin terlupa dan berbuat kesilapan. Si penasihat juga berupaya untuk mengawasi dan memastikan si pemimpin agar sentiasa berada pada tindakan yang betul dan mendorongnya sentiasa berbuat kebaikan sekaligus menjauhi tindakan yang tidak baik.

11 – Bersikap Mesra Dan Sayang Terhadap Rakyat.

Seorang pemimpin yang bersikap mesra terhadap rakyatnya dan sentiasa mengambil tahu persoalan rakyatnya dengan baik sehingga menjadikan rakyatnya senang kepadanya maka dia berhak mendapatkan doa Rasulullah Shalallahu ‘alaihi wa Sallam,

“Ya Allah, bagi siapa yang menjadi penguasa umatku, lalu dia menyulitkan mereka, maka timpakanlah kesulitan kepadanya. Dan barang siapa yang menjadi penguasa umatku, lalu ia menyayangi mereka, maka sayangilah dia.” (Hadis Riwayat Muslim, 1848)

12 – Bersikap Jujur Serta Amanah Dalam Semua Urusan Dan Tugasannya.

Secara kesimpulannya, setiap pemimpin yang mentadbir rakyatnya haruslah bertindak dengan jujur dan amanah terhadap peranan dan tanggungjawab yang dipikulnya. Dia harus jujur dan amanah terhadap penyebar-luasan agamanya, menjaga agamanya agar terjauh dari tindakan penyimpangan kelompok yang tidak bertanggungjawab, menjalankan amar ma’ruf nahi mungkar, menjaga keamanan negaranya, harta rakyatnya, dan memastikan kelangsungan rakyatnya serta negaranya berjalan dengan lancar dan baik. Ia juga perlu mengawasi setiap pegawai-pegawai yang dilantik sentiasa menjalankan tugasan dengan baik, cekap, dan betul.

@an-Nawawi

Isnin, 4 Ogos 2008

Muqabalah: Helah Atau Demi Perpaduan Ummah?

HARAKAHDAILY, pada hari Ahad, 27 Julai melaporkan Mursyidul Am PAS, Nik Abdul Aziz Nik Mat sebagai mempelawa ahli serta penyokong Umno menyertai PAS bagi memastikan Islam dan nasib orang Melayu lebih terbela.

Akhbar Internet Pas itu memetik Nik Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan sebagai berkata bahawa muqabalah di antara pemimpin PAS dan Umno boleh diadakan bagi mencari kaedah satu parti sahaja bagi orang Islam dan Melayu di negara ini.

"Ini kerana PAS telah lama berjuang di atas landasan Islam. Saya pun tak faham mengapa orang Umno tidak mahu menyertai PAS, apa yang tidak kena bagi Umno terhadap PAS.

"Sedangkan kita terima hakikat bahawa Islam mesti diutamakan," katanya selepas merasmikan Muktamar Dewan Ulama PAS Kelantan di Markas Dewan Ulama (Madu) di Machang.

(Muqabalah diistilahkan sebagai perbincangan/soal jawab/wawancara/pertemuan.)

Dalam permainan catur, kenyataan Tok Guru Nik Aziz itu disebut “checkmate” iaitu menyekat atau mematikan pergerakan Presiden Umno Abdullah Ahmad Badawi.

Seandainya tujuan Abdullah menghebahkan pertemuannya dengan Pas itu untuk mendapat perbatuan politik (political milage) maka matlamat beliau mungkin tidak tercapai. Sebaliknya ia telah mencetuskan keresahan di dalam Umno dan di kalangan parti-parti komponen Barisan Nasional.

Pada hemat saya, antara matlamat utama Abdullah mendedahkan pertemuannya sebanyak tiga kali dengan Pas adalah:

1. Percubaan menenangkan perasaan ahli dan penyokong Umno yang berasa hak dan keistimewaan orang Melayu sebagai bangsa induk semakin dipertikaikan dan Abdullah tidak melakukan apa-apa;

2. Cara tidak langsung memberi amaran kepada orang bukan Bumiputera mengenai bahaya mengancam atau mempertikaikan hak keistimewaan orang Melayu/Bumiputera;

3. Bukti bahawa dia masih berkuasa dan mampu berunding dengan sebuah parti lawan yang kuat; dan

4. Untuk memecahbelahkan gagasan Pakatan Rakyat dengan menimbulkan syak wasangka di kalangan mereka.

Malangnya, ketidakmampuan Abdullah berartikulasi dan sikap media massa arus perdana yang tidak kritikal, seperti biasa, menyebabkan kenyataan itu menjadi bahan pertikaian dan gurauan.

Sepatutnya dia menjawab pertanyaan media secara rasional dan meyakinkan, sebaliknya Abdullah membalas: “Tidak perlu bagi saya memberi butir kerana akhirnya kamu semua akan membuat bermacam-macam spekulasi.”

(Akhbar The Sun, 20 Julai -- "There’s no need for me to give you the details because you will end up speculating all kinds of things.")

Mungkin bukan tujuan Abdullah menggabungkan Umno dan Pas, tetapi tawaran Nik Aziz untuk membubarkan Pas dan bergabung dengan Umno bagi menubuhkan sebuah parti Islam yang besar adalah perang psikologi yang mantap.

Dengan merujuk kepada Islam sebagai landasan bagi menyatupadukan umat Islam, Nik Aziz mengepung Abdullah ke satu penjuru yang sukar baginya untuk melepaskan diri.

Adakah Abdullah dan penyokong-penyokong fanatiknya sanggup membubarkan Umno dan menghumbankan ideologi nasionalisme untuk bergabung dengan Pas dalam sebuah parti Islam yang besar?

Pendukung, ahli dan penyokong Pas tidak akan rugi apa-apa dengan membubarkan parti itu dan bergabung dengan Umno untuk menubuhkan sebuah parti Islam universal kerana ideologi dan perjuangan Islam mendapat anjakan besar.

Seperti biasa, bergegaslah pengikut Abdullah yang setia memberi pelbagai interpretasi dalam usaha mempertahankan ketua mereka dan menjaga periuk nasi.

Mufti pseudo Umno, Ahmad Zahid Hamidi yang suatu waktu dulu pengikut fanatik Anwar Ibrahim, misalnya mendakwa pendekatan muqabalah itu tidak semestinya membabitkan penyatuan Umno dan Pas.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu dilaporkan berkata bahawa konsep muqabalah tidak semestinya menjadi landasan bagi kedua-dua parti untuk membincangkan penggabungan tetapi lebih berupa kaedah membincangkan masalah yang dihadapi negara.

"Apa yang penting muqabalah itu nanti bukan bermakna Pas masuk UMNO atau UMNO masuk Pas. Tidak semestinya kita tidur sebantal mimpi sama, jika bersatu pun masih berlaku perbezaan pendapat, lebih baik lupakan saja,” katanya.

Bagi Pas, ia tidak rugi apa-apa dengan bertemu Abdullah. Pertamanya ia bertemu Perdana Menteri dalam kedudukan yang kuat setelah mengalahkan BN di Kedah, Kelantan, Pulau Pinang – negeri Abdullah – Perak, Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pada pilihan raya umum 8 Mac lalu.

(Gabungan Pas/PKR memperoleh 34.8 peratus undi popular berbanding 35.5 oleh Umno. Dengan bantuan DAP, gabungan Pakatan Rakyat memperoleh 51 peratus undi popular di Semenanjung.)

Melalui pertemuan itu, Pas boleh merisik banyak rahsia daripada Perdana Menteri. Abdullah tidak terkenal sebagai seorang yang pintar menggunakan maklumat atau berhati-hati menyimpan rahsia.

Pas juga boleh menggunakan pertemuan seperti itu untuk mendalami dan mengukur pemikiran serta keadaan minda (state of mind) Perdana Menteri.

Secara peribadi saya tidak menjangka pertemuan itu akan membawa sebarang hasil konkrit. Ia sekadar ulang tayang cerita lama dengan "promo" baru.

Sebagai Perdana Menteri, Abdullah bebas bertemu dan bermuqabalah dengan sesiapa sahaja. Itu adalah hak dan budi bicara seorang Perdana Menteri. Tetapi sebagai Presiden Umno, beliau terikat dengan hasrat dan pendirian parti.

Saya rasa tidak ramai pembesar dan ahli Umno yang faham, yakin dan gembira dengan langkah Abdullah itu kerana daripada aspek psikologi dan perang saraf, kemenangan nampaknya memihak kepada Pas.

Penggunaan istilah dan bahasa berkod seperti muqabalah dan muzakarah sahaja sudah cukup untuk memberi gambaran bahawa Pas mempelopori penetapan agenda dan pembentukan pendapat umum.

Ini adalah khazanah bahasa – lazimnya bahasa Arab – yang sering digunakan oleh Pas sebagai senjata melemah dan melembutkan hati orang Melayu yang taasub dengan istilah-istilah yang eksotik yang mereka sendiri tidak fahami.

Pas pastinya tidak mahu mengulangi sejarah disingkir daripada BN seperti yang dilakukan oleh Allahyarham Tun Hussein Onn pada tahun 1977. Sebarang pakatan dengan Umno dan BN pastinya dengan syarat yang ketat dan daripada kedudukan yang kuat.

Lagipun, kalau Abdullah dengan bantuan kabinetnya gagal menamatkan “pemberontakan Mercedes” oleh kerajaan “renegade” Ahmad Said di Terangganu, apakah harapan dia melakukan “checkmate” terhadap Pas melalui muqabalah dengan tokoh-tokoh parti itu?

Anekdot: Bekas Ketua Pemuda PKR dan “returnee” terbaru Umno, Ezam Mohd Nor, dilaporkan bersedia mencabar bekas mentornya, Anwar, dalam pilihan raya kecil jika dicalonkan. Bagaimanapun, dia mengaku bahawa harapannya menang adalah tipis memandangkan faktor politik dan ekonomi semasa.
-Dato Kadir Jasin

Harapan Seorang Melayu !

Kemanakah akhirnya bangsa ku Melayu? Wajarkah dominan Melayu dalam politik dan pemerintahan negara kini digadaikan dengan perpecahan dan kehancuran? Wajarkah dominan itu digadaikan dengan masa depan yang gelap? Wajarkah dominan itu digadaikan dengan kelangsungan, kealpaan serta survival Melayu yang tidak punya arah dan tujuan di bumi bertuah ini?

Maka, seharusnyalah umat Melayu sedar bahawa kecenderungan untuk menimbulkan sebarang perselisihan dan perbalahan yang didorong oleh sesuatu kepentingan yang sempit, adalah suatu perbuatan yang patut dihindarkan. Penghindaran ini perlu kerana segala perselisihan dan perbalahan yang bertujuan untuk memecah belahkan hanya akan menghancurkan masyarakat seluruhnya.


Seharusnya jugalah umat Melayu hari ini patut sedar dan insaf bahawa setiap perjuangan yang menyimpang dari jalan yang diredai Allah hanya akan berakhir dengan kegagalan. Setiap langkah yang tidak lurus hanya akan menuju ke lembah kehancuran. Jadi, masalah pokoknya sekarang, umat Melayu sekarang sedang berpecah belah. Dalam konteks politiknya, umat Melayu berpecah kepada beberapa kelompok. Juga yang menjadi masalah pokok mutakhir ini ialah, jika gagal di atasi dengan segera, pasti akan terus menggugat dominan, ketuanan ataupun keindukan Melayu dalam politik dan pemerintahan tanahair.

Keadaan mutakhir ini juga menjadi kian haru biru apabila perpecahan Melayu dan gugatan kepada ketuanan Melayu diporak perandakan lagi dengan campurtangan pemimpin politik bukan Melayu yang memang jelas tidak mahu menerima Melayu sebagai teras politik negara, apatah lagi menjadi teras kepada bangsa Malaysia.

Bagaimanakah keadaan ini harus di atasi? Kemanakah akhirnya Melayu yang sedang berpecah belah dan sedang diganggu gugat ketuanannya sekarang?
Persoalan-persoalan sedemikian perlu dipecahkan dan dirungkai dengan segera demi keutuhan politik Melayu dan dominen Melayu. Persoalan ini penting di atasi segera kerana dalam Pilihanraya Umum akan datang, kesetiaan Melayu terhadap UMNO dan Barisan Nasional tidak lagi kukuh seperti dulu. Sebaliknya, kesetiaan itu nampaknya terlalu rapuh dan goyah.

Masalah kesetiaan Melayu kepada UMNO dan Barisan Nasional yang tidak total ini adalah hakikat dan ianya adalah suatu krisis. Krisis ini bukan krisis UMNO. Atau krisis PAS mahupun krisis pengikut Anwar. Tapi krisis ini adalah krisis Melayu seluruhnya.
Krisis yang melanda sekarang adalah krisis Melayu yang sebenarnya kerana cauvenis DAP serta ekstrimis PAS yang kini bergabung dengan para pendokong reformasi, sebenarnya adalah satu kombinasi yang amat berbahaya dan boleh menghancurkan bangsa Melayu dan negara Malaysia dalam masa yang begitu singkat. Masalah ini tidak boleh dipandang ringan atau diperkecil-kecilkan oleh umat Melayu.

Kegagalan Melayu membendung dan mengatasi krisis ini akan merugikan Melayu sendiri. Ia sungguh merugikan kerana jika UMNO yang menjadi teras Barisan nasional gagal mempertahankan kedudukannya, maka gabungan pembangkang itulah yang akan menang. Kalau mereka menang, siapakah yang boleh menjamin kestabilan politik di Malaysia dan kesejahteraan rakyat ketika itu?

Dalam konteks ini, adakah impian Pakatan Rakyat yang terdiri dari DAP, PAS, PKR dan sekutunya mahu menukar kerajaan dalam Pilihanraya Umum akan datang bakal menjadi kenyataan? Andaian yang digembar-gemburkan oleh pembangkang ialah mereka menerima `durian runtuh ’ hasil pembebasan Anwar Ibrahim. Mereka berpendapat isu Anwar itu `bak bulan jatuh ke riba’ dan sekaligus menyemarakkan lagi nafsu rakus mereka mahu menumbangkan kekuasaan Melayu yang kini diterajui oleh UMNO! Ditambah lagi dengan kesan kenaikan minyak menyemarakkan lagi tekanan mereka terhadap BN.

Memang andaian adalah andaian semata-mata. Manusia merancang tapi Tuhan yang akan menentukan segala-galanya. Bagaimanapun andaian ini bukan bertujuan untuk menakut-nakutkan Melayu tentang survival bangsanya. Tapi andaian ini cuma untuk meniupkan keinsafan dan kesedaran yang mendalam kepada bangsa Melayu dan pemimpin Melayu, betapa serius dan betapakah buruknya kesan percaturan politik yang mereka lakukan hari ini terhadap dominan Melayu dan masa depan bangsa Melayu. Senario inilah yang diandaikan sebagai krisis. Dan tanggungjawab mengatasi krisis ini adalah tanggungjawab seluruh bangsa Melayu. Melayu dari UMNO, Melayu dalam Pas atau Melayu yang bersimpati dengan gerakan reformasi tidak akan terlepas dari memikul tanggungjawab ini. Tidak ada siapa yang boleh menafikan amanah dan tugas berat ini.

Senjata yang paling keramat dalam mengatasi permasalahan Melayu Lawan Melayu ini adalah keinsafan dan kesedaran di kalangan seluruh jiwa bangsa Melayu bahawa apa yang disifatkan sebagai krisis Melayu ini adalah realiti, adalah suatu hakikat dan suatu yang memang wujud dan sedang dirasakan oleh keseluruhan bangsa Melayu.
Senjata yang amat keramat untuk mengatasi krisis Melayu ini adalah hati dan dada yang dibuka seluas-luasnya dan seikhlas-ikhlasnya disaingi dengan satu keinsafan yang mendalam bahawa di samping orang Melayu yang dikenali sebagai Melayu, orang Melayu juga sebenarnya adalah orang Islam, penganut agama Allah.

Apabila permis kesedaran dan keinsafan ini boleh diterima, semua pemimpin parti politik Melayu perlu bermusyawarah dan bermuzakarah. Ikatkan semula silaturahim yang tulen, gabungkan pemikiran yang tenang dan cetuskanlah gagasan perpaduan yang jitu dan diredai Allah.
Usaha seperti ini mustahil tidak boleh dijalankan kerana yang memecah belahkan umat Melayu hingga peringkat yang paling parah hari ini bukannya perbezaan akidah Islam. Yang memecah belahkan mereka adalah sebab-sebab yang `politikal’, sebab-sebab yang berunsur politik semata-mata. Pihak-pihak Melayu yang di luar politik, seharusnya mengambil usaha untuk menjadi `juru damai’ kerana sebaik-baik perbuatan dalam sesuatu persengketaan adalah menjadi juru damai yang ikhlas dan jujur dengan kepentingan bangsa dan agama melandasi segala usaha murni tersebut.

Sewajarnya, janganlah orang Melayu hanya mahu dan terdesak untuk kembali bersatu apabila nasi sudah menjadi bubur. Berpadulah segera. Hari ini juga. Ini penting kerana dalam keadaan orang Melayu yang masih tercicir dan tertinggal dalam mensejahterakan ekonominya, orang Melayu perlu memiliki kepemimpinan yang berkeupayaan, tabah, jujur dan ikhlas. Kepemimpinan Melayu, biar dari puak mana sekalipun, perlu kembali bertaut kerana orang Melayu masih memerlukan ketuanannya di negara yang berbilang kaum ini. Melayu masih perlu menjadi induk kepada bangsa Malaysia kerana orang Melayu tidak rela menjadi satu bangsa yang terhina akhirnya ditimpa nasib seperti " itik di air mati kehausan, ayam di kepok mati kelaparan ".

Ingatlah bangsaku! Melayu sudah tidak mampu berpecah. Melayu sudah tidak berupaya untuk bersengketa. Jangan biarkan Melayu terus lawan melayu! Bersatu kita teguh, bercerai kita roboh. Ingatlah masa depan anak cucu kita. Jangan jadikan mereka nanti merempat di tanahair mereka sendiri di sebabkan kelalaian kita sekarang.
Inilah harapan ku sebagai seorang Melayu yang beragama Islam…Bersatulah bangsaku..!

Artikel sumbangan Taminsari.