Rabu, 29 Oktober 2008

Sebagai betung seruas!

Salam para sahabat, maaf kerana tidak dapat menulis kerana kesibukan yang tidak dapat dielak sementara ini. Insyaallah saya dapat meluangkan lebih masa disini selepas ini. Dikala kehangatan pemilihan UMNO sedang membara ini saya ingin berkongsi satu artikel dari Utusan Malaysia untuk renungan bersama.

Kepimpinan: Amanah Yang Berat

Ketika Abu Zarr meminta Rasulullah SAW supaya meletakkan dirinya dalam barisan kepimpinan dan pentadbiran negara, Baginda lantas menyatakan bahawa Abu Zar memiliki kelemahan yang tidak melayakkannya untuk menjawat jawatan sebagai pentadbir negara. Baginda Rasulullah SAW mengingatkan bahawa jawatan sebenarnya amanah yang sangat berat dan amanah ini hanya akan menyebabkan kekesalan dan duka cita semata-mata, kecuali jika jawatan tersebut disandang oleh kalangan yang layak.

Pada ketika yang lain Rasulullah SAW melarang Abdur Rahman bin Samurah r.a daripada meminta-minta untuk menjadi pentadbir negara. Ini kerana penyandangan jawatan atas sebab permintaan adalah suatu tugas yang sukar untuk dilaksanakan. Sebaliknya jika jawatan tersebut disandang atas keperluan negara, tugasan tersebut merupakan sesuatu yang sifatnya lebih mudah untuk dilaksanakan dan ia juga akan menerima bantuan dalam pelaksanaan tugas tersebut.

Kita melihat Sahabat Rasulullah ini hanyalah segelintir dari kalangan yang mendapati bahawa penyandangan jawatan sebagai pemimpin adalah sesuatu yang dipandang hebat dan dihormati. Mereka terlupa di sebalik kehebatan dan penghormatan yang diberi adalah tugas rumit dan sekiranya ia tidak dilaksanakan dengan baik maka menyebabkan kesan yang tidak baik kepada orang bawahan dan juga rakyat. Apabila sampai pada hari pembalasan, maka hanya api neraka yang layak untuk pemimpin yang gagal. Walau bagaimanapun sebagai insan beriman sekalipun teruja untuk menjadi pemimpin, mereka adalah kalangan yang berhati mulia dan berlapang dada kerana tidak menolak teguran atau nasihat yang diberikan.

Sayyidina Abu Bakar al-Siddiq dilihat secara sepakat oleh Sahabat-sahabat sebagai orang yang paling layak untuk menggantikan Rasulullah SAW yang wafat sebagai pemimpin umat Islam. Walau bagaimanapun sifat tawadu' yang ada pada peribadi beliau menjadikan beliau menerimanya dengan penuh rendah diri. Kesedihan yang masih berkabung di dalam hati atas kewafatan Rasulullah SAW juga sangat memberi kesan kepada perasaan beliau pada ketika itu dan menjadikan beliau tidak teruja dengan apa yang diterimanya.

Dalam ucapan sulung sebagai pemimpin, beliau menyatakan pelantikan beliau sebagai pemimpin tidak memadai untuk menjadi lambang bahawa beliau adalah yang terbaik dari kalangan mereka. Seterusnya, beliau mengharapkan sokongan selagi berada dalam kebenaran dan sebaliknya, sekiranya umat Islam melihat sebarang keburukan atau kebatilan daripada pihaknya, maka beliau meminta supaya ditegur dan dibetulkan.

Harapan yang sama juga dimajukan oleh pengganti Khalifah Sayyidina Abu Bakar, iaitu Sayyidina Umar al-Khattab. Sesuai dengan perwatakannya yang sangat tegas dan bengis, seorang lelaki mewakili rakyat menyambut harapan Sayyidina Umar dengan mengatakan bahawa sekiranya Khalifah melakukan penyelewengan, pihak rakyat akan membetulkannya dengan menggunakan ‘mata pedang'.

Selanjutnya dalam satu peristiwa, Khalifah Sayyidina Umar al-Khattab berlapang dada menerima teguran daripada seorang wanita berkenaan saranan Khalifah supaya kadar mas kahwin yang diletakkan oleh pihak pengantin perempuan haruslah rendah kadarnya. Wanita berkenaan menempelak pandangan Khalifah dan menegaskan bahawa sebarang penetapan kadar mas kahwin sememangnya hak pengantin perempuan dan ia tidak sepatutnya dipertikaikan. Khalifah tidak menganggap teguran tersebut sebagai perkara yang memalukan bahkan menegaskan dengan kata-katanya, "Perempuan ini benar dan Umar telah bersalah". Penegasan Khalifah seiring dengan doa beliau sebagai seorang pemimpin yang menyebut sebagai, "Semoga Allah merahmati seseorang yang menunjukkan kepadaku tentang keaiban diriku".

Sifat-sifat berlapang dada yang ditunjukkan oleh pemimpin-pemimpin ulung ini membuktikan mereka adalah kalangan insan yang tinggi taqwanya. Mereka tidak mengejar pangkat dan kedudukan, sebaliknya pangkat dan kedudukan itu digunakan untuk mendapatkan keredaan Allah SWT. Melalui jawatan tersebut mereka membuat keputusan dan dasar-dasar kenegaraan yang memberikan kebaikan kepada agama, rakyat dan negara.

Selanjutnya, sangat menarik untuk kita meneladani keperibadian Khalifah Umar Abdul Aziz yang memerintah dari tahun 717H sehingga 720H, sebagai seorang pemimpin dan ketua negara. Sebelum pelantikan tersebut yang dilakukan oleh Khalifah Sulayman Abdul Malik berlaku, beliau beberapa kali berikhtiar supaya Khalifah Sulayman mengubah keputusannya. Dan apabila beliau menerima pelantikan tersebut, beliau telah merubah budaya dengan meletak jawatan dan memulangkan semula jawatan tersebut kepada rakyat. Memberi kebebasan kepada rakyat untuk memilih calon yang lebih layak untuk memimpin rakyat dan negara. Akan tetapi, disebabkan beliau sememangnya calon yang paling layak dan amat dekat di hati rakyat, maka beliau juga yang akhirnya dipilih. Ini menunjukkan bahawa kesediaan beliau untuk meletak jawatan dan mengundur diri daripada menjadi pentadbir negara adalah disebabkan ketaqwaannya kepada Allah SWT. Ketaqwaan melahirkan kebimbangan untuk menerima tanggungjawab yang amat berat; bimbang sekiranya pelantikan itu hanya mengundang keburukan kepada rakyat dan negara. Kesediaan untuk mengundurkan diri adalah sebahagian daripada usaha memelihara kemaslahatan rakyat.

Daripada pengalaman pemimpin-pemimpin ulung ini, kesediaan menerima teguran, pembetulan sehinggalah ke peringkat berundur diri, bukanlah sikap yang menjatuhkan maruah peribadi. Pengalaman lampau membuktikan sikap dan tindakan tersebut menjadikan golongan rakyat lebih menghormati dan mengkagumi keperibadian pemimpin sebegini. Kebaikan kepimpinan akan dinilai dan dirasai oleh pihak rakyat, maka sia-sialah sikap sesetengah pemimpin yang terus mendakwa dirinyalah yang paling layak untuk memimpin sedangkan rakyat yang menjadi hakimnya.